suria

Lakonan 'Menjengkelkan'? Fouziah Ikut Skrip

Fouziah Gous (kiri) dan Yasmin Hani (kanan) 'melekat' demi lakonan. - Foto The Star oleh DARRAN TAN
 Fouziah Gous (kiri) dan Yasmin Hani (kanan) 'melekat' demi lakonan. - Foto The Star oleh DARRAN TAN
Fouziah Gous (kiri) dan Yasmin Hani (kanan) 'melekat' demi lakonan. - Foto The Star oleh DARRAN TAN

FILEM terbaru pengarah Razak Mohaideen, 2 Hati 1 Jiwa yang dipertontonkan kepada media baru-baru ini sekali lagi mengundang reaksi bercampur-baur.

Kali ini, bukan isi filem atau jalan cerita yang menarik perhatian, sebaliknya lakonan bintang utamanya, Fouziah Gous, 28, mencuri tumpuan gara-gara lakonan yang tidak memberangsangkan.

Biar pun sudah membintangi pelbagai genre filem dan drama, Fouziah masih 'goyah' sebagai bintang utama filem itu. Bukan ingin menghentam Fouziah, tetapi lakonannya sebagai Lana agak mengecewakan.

Watak yang menuntut gadis jelita ini untuk beraksi keanak-anakan dan periang, seakan ada yang tidak kena. Ia kelihatan keterlaluan dan terlalu mencuba sehingga mengundang rasa meluat.

Menurut Fouziah, setiap aksi yang dipamerkan dalam filem itu bukan sahaja diputuskan olehnya. Sebagai pelakon, dia cuba membawakan watak itu seperti kehendak skrip dan mengikut kemahuan pengarah.

Malah, setiap kali dia menjayakan satu-satu babak itu, dia pasti akan merujuk dan bertanya kepada Razak sama ada ia menepati kehendaknya sebagai pengarah dan mengikut skrip filem itu.

"Saya menghayati watak Lana mengikut kehendak skrip. Memandangkan watak itu memerlukan saya bersikap keanak-anakan dan ceria, sebagai pelakon saya cuba beri yang terbaik seperti yang dikehendaki.

"Bukan saya memandai-mandai atau sengaja menokok-tambah watak itu. Malah, ketika penggambaran pun, saya sering bertanya kepada Prof. (Razak) bagi memastikan lakonan yang disampaikan itu menepati kehendaknya dan tuntutan skrip," ujar Fouziah membuka bicara.

Menjawab pertanyaan mengenai lakonannya yang dilihat sedikit keterlaluan dengan pameran bahasa tubuh dan suara keanak-anakan yang menjengkelkan, Fouziah berkata, dia melakonkan aksi sebegitu atas kehendak skrip dan pengarah.

Akui Fouziah, terdetik juga perasaan bimbang dengan penerimaan dan pandangan penonton melihatkan lakonannya sebegitu.

Namun, sebagai pelakon yang profesional, dia akur dengan tanggungjawabnya dan berasa puas seandainya lakonan itu diterima oleh pengarah.

Malah, Fouziah tidak telepas daripada mengakui bukan mudah untuknya atau mana-mana pelakon sekalipun untuk memuaskan hati semua pihak.

Sekadar melakukan yang termampu, Fouziah tetap berbesar hati dengan usaha yang dicurahkan untuk watak itu dan percaya pasti ada juga pihak yang akan terhibur dengan lakonannya.

"Mungkin mudah untuk orang membuat penilaian itu dan ini tapi sebagai pelakon saya telah mencuba sebaik mungkin untuk jayakan watak itu.

"Seandainya ia tidak berjaya memikat hati penonton, saya tidak boleh buat apa sebab saya telah berikan yang termampu.

"Hakikatnya, saya tidak mampu untuk puaskan hati semua orang. Saya telah cuba buat mengikut kebolehan saya dan kehendak pengarah. Selebihnya, terserahlah kepada penonton untuk menilai," kata Fouziah dengan tenang.

Memainkan watak Lana, Fouziah bergandingan dengan Yasmin Hani (Lina) sebagai saudara kembar dalam 2 Hati 1 Jiwa.

Filem ini mengangkat isu dan dilema yang dilalui oleh pasangan adik-beradik kembar ini dalam mengharungi realiti kehidupan.

Melekat di bahagian kepala dan lengan sejak dilahirkan, kedua-dua gadis ini bagaimanapun, mula berdepan dengan dilema untuk berpisah dan melayari laluan hidup sendiri apabila mereka menyambung pengajian di alam universiti.

Selain Fouziah, 2 Hati 1 Jiwa yang diinspirasikan daripada kisah kembar siam dari Iran, Laden dan Laleh ini turut dibintangi Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Mustapha Kamal, Ziela Jalil, Jalil Hamid, Iqram Dinzly dan ramai lagi.

Filem bergenre drama komedi terbitan bersama Primeworks Studio dan Lineclear Motion Pictures ini bakal menemui penonton pada 28 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain