suria

Mawi Buka Kedai Makan ‘Lambai-Lambai’

PENYANYI popular, Asmawi Ani atau Mawi kini melebarkan lagi empayarnya daripada bidang nyanyian, lakonan, penerbitan dan kini bergelar ‘tauke’ medan selera pula.

Mawi yang mengakui tidak arif tentang hal-hal masakan berkata, dia lebih senang menyediakan tapak kepada para peniaga untuk menjual makanan mereka dan membiarkan mereka. "Perancangan terbaru saya ialah untuk membuka kedai makan ala food court (medan selera), sekarang bangunan sedang dibina dan dijangkakan pertengahan bulan ini dah boleh mula operasi.

"Saya ingin namakan food court itu ‘Lambai-Lambai’. Sudah dua tahun saya simpan hasrat untuk buka kedai makan ini.

"Lokasinya di Jalan Mariamah, Johor Bahru. Dulu kawasan ini kosong tidak diusahakan jadi saya ambil peluang ini untuk buka kedai sebab lokasinya juga agak strategik," ujar Mawi.

Menurutnya, kedai tersebut boleh memuatkan 10 gerai makan dan bakal disewakan kepada orang ramai yang berminat untuk berniaga.

"Setakat ini sudah hampir RM40,000 telah dibelanjakan dan banyak juga proposal daripada peniaga yang saya terima," ujarnya yang bakal menerbitkan telefilem bertajuk Jiwa Kacau di Astro Prima dan akan disiarkan pada akhir Januari ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perancangan untuk menimang cahaya mata tahun ini, Mawi berkata, dia hanya menyerahkan semuanya kepada Allah.

"Saya tidak merancang apa-apa, sekarang masih muda, saya ingin tumpu perhatian dalam karier terlebih dahulu dan tidaklah terlalu mengharap dalam jangka masa terdekat ini.

"Tapi kalau boleh saya mahu anak kembar macam isteri saya," ujar Mawi yang juga akan menerbitkan drama episod berjudul Cinta Nami Island dan Gincu Cikgu Salbiah.

Dalam perkembangan lain, Mawi kini keluar dengan album Era Muzik Hits Terkini bersama bintang-bintang Akademi Fantasia dan bakal melancarkan album Idola yang melibatkan penyanyi ‘otai’ seperti Ramli Sarip, Datuk Jeffry Din, Jamal Abdillah, M. Nasir, Hattan, Aznil Hj Nawawi dan Ogy Ahmad Daud pada hujung bulan ini.

"Album bersama idola saya ini bukan kerana saya sudah tidak laku atau ingin tumpang publisiti mereka tetapi ini hasrat saya untuk berduet menyanyikan lagu-lagu tersebut bersama mereka," katanya yang bakal menyanyikan semula lagu Tidak Mungkin Berpaling bersama Zamani Slam.

Artikel Lain