suria

Filem Kita Tidak Mudah Dikenalpasti Kerana Kurang Ciri-ciri Malaysia

Pengarah Urusan Manjafilm Anwardi Jamil.
Pengarah Urusan Manjafilm Anwardi Jamil.
Pengarah Urusan Manjafilm Anwardi Jamil.

PENERBIT filem di Malaysia secara amnya boleh dibahagikan kepada dua kategori - penerbit aliran utama dan penerbit bebas.

Penerbit filem aliran utama cenderung untuk bekerja dalam kumpulan tertutup yang memulaukan bukan-konformis, amalan yang menghalang semangat berani untuk cuba dan inovasi.

Bagaimanapun, pembuat filem daripada kumpulan yang satu lagi bekerjasama dalam menulis, menerbit dan saling membantu dalam membiayai penerbitan filem.

Sementara arena filem aliran utama yang didominasi orang Melayu terus dibanjiri tawaran lazim yang cenderung kepada budaya Melayu; lebih banyak perkara menarik berlaku dalam arena filem penerbit bebas yang diwakili pelbagai kumpulan etnik.

Selain itu, penerbit bebas ini juga menunjukkan kehebatan mereka dengan memenangi anugerah pada pelbagai festival filem antarabangsa.

MENCARI SUMBER INSPIRASI

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Manjafilm Anwardi Jamil berkata sementara penonton Eropah dan Amerika boleh membezakan filem dari setiap negara Asia yang diskrin di festival seumpama, filem kita tidak mudah dikenalpasti kerana mereka kekurangan ciri-ciri yang menunjukkan Malaysia.

"Lihatlah di dalam bagi mencari sumber inspirasi, jangan hanya pinjam dan ubahsuai idea daripada karya asing," jelas Anwardi.

Bagaimanapun, ciri-ciri yang menjadikan sesuatu karya 'filem Malaysia' tidak ditakrifkan dengan jelas.

"Selagi penerbit itu adalah warga Malaysia, ia dianggap sebagai filem Malaysia," kata Pengarah Perancangan dan Penyelidikan FINAS Balaraman Narayanasamy.

Sebaliknya pula, Presiden Persatuan Pengarah-pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim berpendapat selaras dengan mantra 'Filem Kita, Wajah Kita', sebuah filem Malaysia seharusnya berbahasa Melayu dengan majoriti barisan pelakon adalah orang Melayu.

Sementara keanekaragaman budaya dan etnik dipromosi dengan agresif di papan iklan pelancongan dan brosur, mengapa pula terdapat andaian di kalangan kumpulan tertentu yang 'Imej Kita' adalah eksklusif dan homogenus?

Apabila ditimbulkan persoalan ini, penerbit filem Abdul Rahman Sallehudin bersetuju perlu ada watak-watak berbilang etnik dalam sinema sezaman di Malaysia.

"Ia harus membayangkan budaya dan tradisi kita, tetapi hanya dalam konteks latar belakang berbilang kaum, dan tidak harus di dominasi oleh mana-mana kaum," tambah beliau.

PERLU PERLINDUNGAN

Para pembuat filem di Malaysia berpendapat pengguna tidak memahami atau menghargai sumbangan mereka kepada ekonomi, dengan kebanyakan pihak langsung tidak peduli akan hak harta intelek.

Para penerbit didesak melepaskan hak IP mereka kepada stesen televisyen persendirian yang mempunyai kapasiti untuk membawa karya mereka ke pasaran.

Kemajuan dalam menjana kandungan digital - sementara membuka laluan bagi pembikinan filem secara inovatif - juga telah mewujudkan cabaran di luar dugaan bagi undang-undang hakcipta, model-model penjanaan hasil yang mencabar dan membawa kepada kesan-kesan dengan implikasi luas merentasi industri kreatif.

Persatuan Industri Video dan Filem Malaysia dilaporkan mengadu bahawa pencetak rompak membawa ancaman besar kepada industri perfileman.

Jika kita tidak membantu pembuat filem kita, memastikan kemampuan jangka panjang mereka dalam mencipta karya dan membolehkan mereka merealisasi potensi penuh masing-masing, orang yang menceburi perniagaan yang sudahpun sukar ini akan semakin berkurang.

Perlu ada asas undang-undang yang utuh berhubung pengurusan hak untuk membantu aktiviti seperti ini dan untuk mengambil kesempatan penuh daripada teknologi digital.

Hanya kerana IP ini bukan sesuatu yang nyata, pandangan awam ialah ia tidak berbaloi untuk dilindungi atau diberi penekanan yang sama seperti kita melindungi aset fizikal. Tetapi cetak rompak IP mengetepikan pemilik sebenar dalam menerima penghargaan serta ganjaran kewangan di mana wajar. Pendapatan pihak yang wajar terjejas.

Memandangkan hakikat ini, MyIPO bercadang untuk mengadakan seminar dan bengkel mengenai bagaimana untuk merundingkan hak IP - bagi pembuat filem dan orang ramai, untuk meningkatkan kesedaran umum yang cetak rompak IP bukan jenayah tanpa mangsa.

SOKONGAN KERAJAAN

Cabaran yang timbul dalam membangunkan industri kreatif tempatan meliputi pembiayaan, memudahcara ruang, perlindungan hak harta intelek, latihan kemahiran dan sokongan perniagaan.

Sokongan kerajaan kepada industri filem Malaysia bermula apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ditubuhkan pada 1981 untuk menggalakkan pembangunan industri filem Malaysia.

FINAS memperkenalkan syarat tayangan wajib 14-hari bagi filem tempatan, satu rebat cukai hiburan sebanyak 20 peratus kerana menayangkan filem tempatan, selain daripada RM50 juta Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC); Sebuah Dana Pembangunan Multimedia dan Filem bernilai RM1.5 juta; dan Dana Penerbitan Filem Dokumentari bernilai RM6.5 juta.

Selain itu, sebuah studio empat tingkat yang canggih bernilai RM53 juta dikenali sebagai 'Digital Mix Stage Studio' boleh digunakan oleh para pembuat filem.

Tetapi, yang menyayatkan hati ialah projek 'E-Village' yang dilancarkan pada tahun 2000 untuk menjadikan Malaysia hab perfileman bagi Asia yang tidak dapat bertahan kerana pemajunya mengalami masalah kewangan.

RANGSANGAN BARU

Dalam mengesahkan semula sokongan kerajaan bagi industri kreatif tempatan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2010, mengumumkan satu Dasar Industri Kreatif Menyeluruh. Juga dalam perancangan ialah sebuah Dana Industri Kreatif bernilai RM200 juta dan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bernilai RM3 juta.

Bagaimanapun, memandangkan banyak pinjaman tidak berbayar di bawah skim SPFC, para penggiat industri mengingatkan perlunya ketelusan lebih baik dalam proses pemilihan dan pemantauan dalam mengagihkan dana ini. FDAM percaya ia boleh memainkan peranan konstruktif dalam proses pemilihan.

Selain itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini mengumumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperuntukkan RM50 juta bagi pembuatan filem dokumentari tempatan untuk disiarkan melalui rangkaian 'Discovery' dan 'National Geographic' di Astro. Untuk melindungi mereka yang menyumbangkan bakat dan kreativiti kepada industri ini, MyIPO telah diberi tanggungjawab untuk mengkaji semula Akta Hakcipta 1987 untuk memperkenalkan penalti lebih berat dan perlaksanaan adil akta itu. Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MyIPO akan bekerjasama dalam melantik perunding perundangan untuk membantu pencipta karya melindungi hak IP mereka.

Kerajaan juga akan mewujudkan Pusat Inovasi Negara dan satu rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi untuk menggalakkan penyelesaian kreatif dan inovatif, yang akan membawa penambahbaikan dari segi kecekapan dalam pengurusan dan sistem penyampaian.

MASA DEPAN

Dorongan utama bagi industri filem Malaysia ialah memperkasa mereka dengan imaginasi. Kreativiti memerlukan kebebasan untuk berkembang. Maka dalam menapis karya-karya, pihak berwajib perlu lebih bertolak-ansur.

Ke arah ini, Kementerian Dalam Negeri telah memulakan satu siri dialog bersama FDAM bagi menyediakan input untuk memperkenalkan pembaharuan dalam penapisan filem.

Pembiayaan daripada kerajaan bermakna separuh daripada usaha telah selesai, tetapi kemampuan pihak kerajaan dan industri untuk menjana tindakan dinamik secara kolektif, menetapkan sasaran jelas, merumuskan stategi yang tepat dan memberi dorongan untuk mencapai matlamat ini akan membantu memastikan kejayaan muktamad.

Mengenalpasti kelemahan karya sendiri, dan mengambil tindakan untuk membetulkannya merupakan ciri semulajadi golongan kreatif. Para pembuat dasar dan penggiat industri harus mengakui yang sementara dasar adalah budibicara 'atas ke bawah', strategi harus dibangunkan melalui pendekatan 'bawah ke atas'. Dengan cara ini kedua-dua pihak akan bercakap dalam bahasa yang sama dan mengenai hak yang sama.

Akhirnya, penerbit harus menghentikan perbuatan mengeluarkan filem yang tidak menarik dan tidak berkualiti. Tidak diragui, terdapat banyak perbincangan akan apa ciri yang menentukan filem Malaysia.

Pandangan am ialah sesebuah filem Malaysia harus membayangkan bagaimana kumpulan etnik berlainan, bercampur-gaul dan hidup dalam masyarakat; atas dasar menerima dan menghormati budaya berlainan.

Filem merupakan medium terbaik yang menerusinya kita boleh menunjukkan budaya dan warisan. Oleh itu, filem-filem Malaysia harus menunjukkan kepada dunia siapa kita sebenarnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain