suria

Nabil Lebih Memilih, Tak Mahu Nampak 'Bodoh' Dalam Filem

Nabil akan lebih memilih projek-projek yang akan datang. Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
Nabil akan lebih memilih projek-projek yang akan datang. Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
Nabil akan lebih memilih projek-projek yang akan datang. Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT

PERJALANAN karier seni anak muda ini dilihat cukup lancar meniti tahun 2009, masakan tidak, selepas menjuarai program realiti Raja Lawak, pintu rezeki Ahmad Nabil Ahmad bagaikan terbuka luas.

Aura dan pesonanya sebagai seorang pelakon komedi cukup mewarnai dunia hiburan dan dia dilihat mampu menjadi ikon lawak nombor satu negara.

Bagaimanapun dalam bidang lakonan Nabil dilihat seperti terperangkap dengan filem-filem yang kurang memberi impak kepadanya.

Menurut Nabil lakonan sepanjang tahun ini hanya merupakan latihan bagi dirinya dan dia tidak menyesal sama sekali jika ada yang mengatakan filem lakonannya mengecewakan.

"Saya tahu ramai yang kecewa dengan filem lakonan saya tahu lepas, saya tidak menyesal kerana saya anggap itu pelajaran.

"Ramai peminat yang bagi komen negatif, mereka kata saya berlakon filem-filem yang tidak bagus, itu pengajaran kepada saya untuk lebih memilih selepas ini.

"Saya tidak mahu main ‘rembat’ seperti tahun lepas, saya akan lebih memilih filem yang betul-betul berkualiti sebab saya tidak mahu nampak ‘bodoh’ dalam filem.

"Banyak aspek perlu dikaji dahulu sebelum setuju untuk berlakon sebab kalau kita berlakon macam mana bagus sekalipun tapi hasil akhirnya hancur kita juga yang dinilai, peminat takkan menyalahkan orang yang dibelakang tabir.

"Mereka buat filem untuk cari duit dan keuntungan tapi saya berlakon inginkan kualiti," ujarnya yang bakal meneruskan program Pondok-pondok di TV9 tahun hadapan.

Ketika ditanya adakah dia akan meletakkan harga yang mahal, Nabil memberitahu bahawa dia bukanlah demand tetapi akan lebih memilih demi perjalanan kerjayanya.

"Saya tidak demand tapi saya ingin control market, saya tidak boleh bagi harga terlalu rendah walaupun saya sebenarnya tidaklah terlalu berkira tentang bayaran.

"Kita berada di tahap ini bukan untuk selama-lamanya, peluang itu datang sekali sahaja jadi masa ini kita guna sebaik mungkin.

"Lagi pun saya juga ingin bagi peluang kepada orang lain juga," ujar Nabil yang bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya Irma Hasmie tahun hadapan.

Dalam pada itu Nabil mengakui mengalami tekanan untuk terus berada ditahap ini kerana banyak pendatang baru.

"Saya tidak takut tentang gelaran Anugerah Bintang Paling Popular (ABP) kali ini jatuh kepada siapa tapi saya lebih tertekan untuk terus berada ditahap sekarang, saya tahu satu hari nanti saya akan turun juga.

"Apa yang penting adalah saya ingin mencari kepuasan diri dalam kerja saya, jika Pak Nil (Aznil Nawawi) berdiri di platform dia, saya tidak boleh ikut atau pintas dia, saya perlu buat satu paltform yang lain untuk saya sendiri," ujar Nabil yang menjadikan Aznil sebagai idolanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain