suria

Pilihan mStar: 5 Kes Mahkamah Sensasi 2009

KES-KES mahkamah melibatkan artis sering mendapat perhatian utama di dada-dada akhbar kerana ia menarik minat para pembaca yang mahu mengetahui kehidupan peribadi artis terbabit.

Kes-kes sebegini bukan sahaja meliputi perceraian, malah turut melibatkan tuntutan saman malu, khalwat, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya sehingga mencetuskan kontroversi.

Akhil Hayy-Maizawati

Kes menuntut ‘kebenaran cerai’ yang dikemukakan oleh isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal apabila penyanyi dan penceramah bebas itu tidak pulang ke rumah dan tidak bertanya khabar selama tiga bulan.

Kemuncak ketegangan rumah tangga Akhil sampai ke penghujungnya pada 15 Julai lalu apabila dia dengan sah menceraikan isterinya, Maizawati Zainal dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

Kemelut rumah tangga Akhil-Maizawati menjadi perbualan hangat apabila Maizawati setuju membuat pendedahan keretakan rumahtangganya dalam program 'Nasi Lemak Kopi O' dan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Dalam kedua-dua program itu, Maizawati mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi Waheeda. Justru katanya, dia memberi kebenaran Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu.

Norman Hakim-Memey Suhaiza

Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon dan pelakon baru Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Pertuduhan dibuat terhadap Norman-Memey dan difailkan pada bulan Januari tahun ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Memey dan Norman diwakili oleh peguam syarie yang sama iaitu, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Prosiding kes mereka masih lagi berjalan.

Daphne Iking

Bekas suami Daphne Iking, Ryan Chong Yiing Yih telah menfailkan saman peribadi terhadap seorang eksekutif Darren Choy Khin Min berhubung dakwaan memikat model dan pengacara TV itu.

Kes yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy dituduh memikat atau membawa pergi seorang perempuan iaitu Daphne yang ketika itu masih menjadi isteri kepada Chong dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail di sini, antara Julai 2007 hingga September 2008.

Daphne dan Chong berkahwin pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan mempunyai seorang anak perempuan, Isobel kini berusia 21 bulan.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Majistret telah menggantung prosiding dan membenarkan Darren untuk merujuk tujuh soalan perlembagaan bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadapnya sah dari segi perlembagaan.

Erema-Seri Bayu

Kes cerai fasakh biasa melibatkan pasangan penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad dan penulis lirik Seri Bayu atau Jamaludin Sulik dianggap antara kes yang sukar apabila sang suami mengenakan syarat untuk melepaskan sang isteri.

Seri Bayu berkata dia boleh melepaskan Erema dengan syarat wanita itu perlu meminta maaf kerana telah mengaibkan dan menamparnya.

Erema telah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada awal Disember tahun lalu dan perbicaraan kes cerai fasakh ini ditangguhkan pada 1 Mac depan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Mahkamah juga telah memerintahkan Maybank cawangan Sungai Besi mengeluarkan penyata Erema mulai Januari 2007 sehingga Disember 2008 untuk disiasat.

Ini kerana Erema didakwa telah memasukkan wang royalti lagu ciptaan Seri Bayu ke dalam akaun miliknya.

Nash-Sosilawati

Setelah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu, kini pasangan Nash atau Jamaludin Elias dan Datuk Sosilawati Lawiya sedang berhadapan dengan majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta sepencarian RM1.38 juta.

Kes tersebut melibatkan tuntutan Sosilawati terhadap penyanyi dan pelakon itu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang ditangguh pada 12 Januari depan.

Sosilawati sebelum ini berjanji tidak akan menuntut nafkah edah, mutaah, nafkah tertunggak dan apa juga tuntutan yang dibenarkan di mahkamah, manakala permohonan bagi harta sepencarian akan difailkan kemudian.

Menurut draf tuntutan itu, Nash berjanji membayar semula keseluruhan wang yang dipinjamkan Sosilawati kepadanya secara ansuran, namun sehingga kini Nash gagal menjelaskan semula hutangnya kepada Sosilawati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain