suria

Skrip 'Muallaf' Unik, Paparan Visual Suram

ANDAI Yasmin masih ada, pasti penulis akan bergegas mendapatkannya untuk ucapkan tahniah sebaik selesai menonton filem terbarunya, Muallaf. Ini kerana, filem ini berjaya menyentuh hati penulis.

Mungkin pada mata kasar, Muallaf tidak gah dan semeriah karya-karyanya yang terdahulu. Malah, perjalanan ceritanya juga agak perlahan dan sedikit membosankan. Namun, itulah trademark Yasmin yang bijak menyentuh hati penonton menerusi karyanya yang ringkas tetapi padat.

Kreativiti Yasmin tidak hanya terbatas pada persembahan visual sahaja, malah ia melangkaui garapan cerita yang ringkas dan skrip yang baik. Kupasan konteks agama dan nilai kasih sayang di dalam Muallaf terjalin dengan baik sekali.

Jika paparan visual yang menjadi kayu ukur, pasti ramai yang akan mengeluh kebosanan sepanjang menonton filem ini. Namun, bukan aspek visual yang menjadi taruhannya, kekuatan Muallaf terletak pada skripnya yang bijak mengupas isu agama yang penulis kira cukup sensitif di kalangan semua pihak.

Memang benar, jika kita menonton filem ini dengan mata sahaja, mungkin keindahan Muallaf itu tidak akan dinikmati. Tapi tontonlah filem ini dengan semua pancaindera, pasti anda akan merasai keunikan karya ini.

Menghayati ungkapan dialog di dalam Muallaf lantas mengingatkan penulis kepada kata-kata hikmat yang acap kali diungkapkan oleh editor penulis yang berbunyi, write to express, not to impress.

Menyelami keindahan skrip Muallaf, mungkin Yasmin juga mengamalkan prinsip yang sama. Justeru, tidak hairanlah karyanya begitu mudah meresapi hati secara sukarela.

Bukan mahu mengangkat Yasmin tinggi melangit tapi itulah hakikatnya. Dengan mengangkat konteks agama dan kasih sayang sebagai nadi penceritaan, Yasmin telah membuktikan bahawa plot sebegini pasti menyentuh hati jika disampaikan dengan baik.

Menilaikan mutu lakonan pelakon-pelakonnya secara keseluruhan, hanya Sharifah Amani dan Tan Mei Ling sahaja yang memberikan lakonan berkesan. Sharifah Aleysha gagal menyerlah walaupun diberi peranan utama. Sekadar lakonan yang 'biasa-biasa' saja.

Lakonan pendatang baru Brian Yap, juga agak sederhana. Wataknya sebagai Brian, seorang guru lelaki 'berjiwa kosong' yang membosankan itu tidak diterjemah dengan cemerlang oleh aktor muda dari Kota Singa ini. Terus, penulis teringatkan lakonan berkesan Ng Choo Seong yang cukup 'sempoi' dan memikat di dalam Sepet.

Mujurlah ada Amani dan Tan Mei Ling yang menyelamatkan keadaan. Baik Amani mahu pun Tan Mei Ling, kedua-dua pelakon yang pernah bekerjasama di dalam Sepet sebelum ini, cukup memikat dengan lakonan bersahaja.

Biar pun masih terdengar 'kata-kata nakal' di luar sana yang beranggapan, Amani hanya berlakon dengan baik kerana berada di bawah Yasmin. Namun, tidak pada mata penulis.

Biarlah apa orang lain hendak kata, masing-masing punya pendapat sendiri. Bagi penulis, lakonan Amani sebagai Rohani, seorang muslimah yang bermentaliti moden, memang berkesan.

Kelibat Rahim Razali dan Ning Baizura pula kurang dirasai. Sayang sekali, kedua-dua bintang ini hanya muncul dalam beberapa babak sahaja dan tidak sempat untuk menambah 'rasa' kepada penceritaan Muallaf.

Provokasi Yasmin yang menyentuh aspek sama rata di kalangan semua agama pasti mudah disalahtafsirkan oleh penonton jika ia dilihat sekali imbas.

Namun, cuba dekati dan fahami mesej serta niat di sebalik paparan visual itu. Anda akan nampak bahawa pengkarya berfikiran kritis seperti Yasmin bukanlah jahil agama atau sengaja ingin mempersendakan Islam.

Sebaliknya, Yasmin punya gaya tersendiri dalam memaparkan keindahan dan matlamat setiap agama yang menuntut perpaduan dan kedamaian.

Kemanisan Muallaf terserlah pada paparan nilai kasih sayang yang cukup semulajadi dan ikhlas di antara Rohani dan Rohana. Memanglah secara realiti, kita sudah maklum akan keakraban adik-beradik ini, kelebihan itu telah dimanfaatkan dengan baik oleh Amani di dalam visual.

Penulis cukup tersentuh apabila melihat babak Rohani dan Rohana ketika hendak tidur dan kemesraan ketika mereka bergurau senda mencalit minyak hitam di pipi satu sama lain.

Jangan pula penonton mudah melenting apabila menyaksikan aksi Rohana (lakonan Sharifah Aleysha) yang tidak sudah-sudah mengungkap rantaian nombor ayat-ayat daripada kitab Injil, walaupun ketika dalam bertelekung.

Fahamilah mesej yang cuba disampaikan oleh Yasmin, anda akan kagum dengan kajian dan rujukan yang dilakukan pengarah ini untuk menghasilkan Muallaf.

Mungkin ada yang setuju dan tak kurang juga yang bertentangan pendapat, tetapi apa yang boleh disimpulkan, filem ini adalah naskah yang bijak dan sinis walaupun agak membosankan dan membebankan fikiran segilintir penonton. Selaminya dan fahamilah, nescaya anda akan terhibur.

Sekadar memetik coretan Yasmin, "Bagi memastikan nilai cerita, saya mengadakan persamaan untuk diri saya. Filem ini akan diibaratkan seperti sup ‘tom yam’. Jelas, tetapi pedas dan berperisa."

Artikel Sebelum

Artikel Lain