suria

Komposer ‘Ku Pendam Sebuah Duka’ Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Komposer lagu Ku Pendam Sebuah Duka, Ismael Fariz Ali, 47, meninggal dunia akibat barah pankreas pada pukul 4.30 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Ampang.

Jenazah arwah Ismael telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Penyanyi lagu tersebut, Datuk Khadijah Ibrahim yang dihubungi mStar berkata, dia amat terkejut dengan berita sedih itu.

Bagaimanapun, penyanyi itu turut mengakui mereka tidak mengenali antara satu sama lain dengan begitu rapat.

"Saya amat terkejut dengan pemergian Allahyarham. Namun, saya tidak begitu mengenali Allahyarham dengan rapat.

"Kami hanya pernah berjumpa dua atau tiga kali. Itu pun ketika proses rakaman lagu tersebut sekitar tahun 1986," katanya.

Sementara itu, komposer terkenal tanah air Johan Nawawi yang merupakan teman rapat Allahyarham berkata, dia turut merasakan kehilangan sahabat baiknya itu.

"Beliau seorang yang baik, warak, bertanggungjawab, berbakat dan prihatin.

"Beliau bukan sahaja berbakat dalam bidang seni malah bagus juga dalam bidang ekonomi.

"Beliau juga seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka dikenali ramai," kata Johan.

Selain menggubah lagu, beliau juga dikenali sebagai seorang penyanyi sekitar 90-an.

Beliau juga merupakan Pengarah Eksekutif, Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad dan ahli Majlis Pembangunan Modal Teroka Malaysia (MVCDC).

Beliau pernah menganggotai beberapa Lembaga Pengarah termasuk Celcom Bhd, ValueCap Sdn Bhd, Pharmaniaga Bhd dan RHB Bank Bhd.

Beliau berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dalam bidang Kewangan daripada University of Iowa dan Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Perniagaan daripada Knox College, Illinois, di mana beliau turut bertugas sebagai pembantu pengajar dalam bidang Sains Komputer.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain