suria

Serina Stres Buat Persiapan 6 Resepsi Perkahwinan

Sinar bahagia Serina dan Gavin terpancar saat menanti hari bersejarah mereka pada 1 Januari ini. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Sinar bahagia Serina dan Gavin terpancar saat menanti hari bersejarah mereka pada 1 Januari ini. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
Sinar bahagia Serina dan Gavin terpancar saat menanti hari bersejarah mereka pada 1 Januari ini. -foto The Star oleh CHAN TAK KONG

ENAM majlis resepsi akan dilangsungkan sempena perkahwinan anak dara Chef Wan, pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, 26, yang bakal menjelang 1 Januari ini.

“Semua majlis resepsi ini bukan dibuat atas kehendak saya. Pada mulanya, saya dan Gavin hanya hendak bernikah dan bersanding tetapi saya perlu sedar yang saya mempunyai seorang ayah yang dikenali ramai.

“Saya juga bangga dengannya yang ingin memperkenalkan negara kita menerusi Asian Food Channel (AFC) selama satu jam untuk mempromosikan Malaysia dan budaya perkahwinan Melayu.

“Walaupun majlis-majlis ini belum berlangsung lagi, saya sudah tertekan. Saya berharap kami berdua akan segar dan sihat sepanjang majlis itu nanti,” kata Serina ketika menemani bapanya, abangnya, Chef Riz dan Gavin pada sesi ‘fitting’ baju pengantin di Lord’s Tailor, Bangsar hari ini.

Seperti yang dirancang, Serina dan bakal suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33, akan menyempurnakan majlis merisik pada pagi 31 Disember di The Royale Chulan, Kuala Lumpur manakala di sebelah petangnya akan diadakan majlis bertunang di hotel yang sama.

Kedua-dua majlis ini akan dilangsungkan secara tertutup dan dihadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat serta saudara-mara kedua-dua belah bakal mempelai. Hampir 20 orang ahli keluarga Gavin akan turun ke Kuala Lumpur untuk meraikan pasangan ini.

Sementara di sebelah malam, Serina dan Gavin akan diraikan dalam satu majlis berinai kecil di J.W Marriott, Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu orang tua masing-masing.

Majlis yang berkonsepkan ‘Morrocan’ (Maghribi) dengan tema warna merah, emas dan perak ini juga akan dihadiri oleh 250 orang termasuk keluarga terdekat dan saudara-mara.

Pada 1 Januari, pukul 10 pagi, Serina dan Gavin akan menempuhi hari bahagia mereka di mana kedua-duanya akan dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan dengan disaksikan oleh 200 tetamu termasuk kawan-kawan rapat.

Di sebelah malamnya, pasangan mempelai akan diraikan oleh 250 tetamu di NEO, Jalan Sultan Ismail dalam satu majlis berinai besar yang berkonsepkan Jawa moden kontemporari dengan warna hijau.

Majlis ini akan diserikan dengan muzik gamelan dan tarian kebudayaan Indonesia.

Keesokannya, pasangan mempelai akan bersanding dalam majlis bertemakan perkahwinan dalam taman di The Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh 700 tetamu.

“Saya agak tertekan apabila semakin dekat dengan majlis perkahwinan. Betul juga kawan-kawan saya perkatakan sebelum ini yang bukan mudah untuk membuat majlis ini.

“Bagaimanapun, saya amat menghargai bantuan ayah saya dalam menjayakan majlis ini. Kadangkala, kami ada juga bertengkar apabila berbeza pendapat.

“Saya pula seorang yang degil, jadi kalau boleh saya nak penuhi semua kehendak saya. Jadi, saya akan berbincang dengan ayah tentang persiapan majlis itu.

“Setakat ini, semuanya mencapai keinginan saya,” beritahunya yang turut mengalu-alukan kedatangan pihak media untuk membuat liputan dalam semua majlis.

Pelakon popular menerusi drama Akademi Polis ini juga berkata bebanannya berkurangan apabila semua orang berusaha untuk menjayakan majlis-majlis itu.

Namun, tidak bermakna anak bongsu daripada dua beradik ini tidak mengeluarkan simpanannya sendiri.

“Saya juga ada mengeluarkan sedikit belanja untuk membantu ayah saya.

“Selepas ini mungkin saya akan hadiahkan percutian kepada ayah dan mak sebagai membalas jasa mereka,” ujarnya yang mengambil cuti selama sebulan untuk membuat persiapan perkahwinan.

Menurut Serina, dia turut menghabiskan masa cutinya untuk menguruskan borang nikah dan imigresen memandangkan bakal suaminya itu berasal dari London, England.

Dalam pada itu, Gavin yang merupakan Pengarah Eksekutif Footballfocus Sdn Bhd ini berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi majlis-majlis itu.

Walaupun memilih pasangan yang sama sibuk dengannya, Serina berkata dia tidak mempunyai masalah untuk berjauhan dengan suaminya memandangkan mereka sudah terbiasa dengan cinta jarak jauh.

“Saya dan dia sama-sama sibuk dan kadangkala nak ‘dating’ sebulan sekali pun susah. Tetapi banyak perkara yang saya belajar apabila berjumpa dengannya seperti dia berjaya melembutkan hati saya,” ulas Serina yang bersyukur kerana suaminya mahu menetap di Malaysia.

Kesemua barang kemas yang digayakan oleh Serina sepanjang resepsi-resepsi itu akan ditaja oleh Habib Jewels.

Serina akan memakai baju berwarna putih dan merah jambu hasil rekaan Jovian Mandagie untuk majlis akad nikahnya, manakala majlis bertunang dan berinai besar akan memakai baju rekaan Kapas.

Sementara majlis persandingan yang berkonsepkan tradisional, Serina akan memakai baju rekaan Radzuan Radziwill berwarna ‘lavender’ (ungu muda) dan didandan bak Puteri Rania.

Seterusnya, Serina akan mengenakan gaun pengantin rekaan Jovian manakala pasangannya akan memakai sut ‘tail coat’ bertemakan klasik yang ditaja oleh Lord’s Tailor untuk upacara memotong kek.

Selain itu, sut tuksedo tajaan Lord’s Tailor yang akan diperagakan oleh Chef Wan dan Chef Riz termasuk sut Gavin dianggarkan berharga mencecah RM30,000 dengan menggunakan fabrik Itali asli.

Pada hujung Januari, Chef Wan berkata dia akan membuat satu majlis keraian mempelai di Sungai Koyan, Pahang bagi meraikan orang kampung yang tidak dapat hadir ke majlis di Kuala Lumpur.

Gavin juga memaklumkan dia akan membuat sebuah majlis gathering bagi meraikan pengantin perempuan di London nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain