suria

RM2.4 Juta Duti Hiburan Diberi Kepada 26 Filem Tempatan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini memberikan pulangan semula galakan kewangan melalui duti hiburan sebanyak RM2.4 juta kepada keseluruhan 26 filem tempatan dari lapan buah produksi filem.

Produksi yang terlibat iaitu MIG Production Sdn Bhd, Vision Work Sdn Bhd, KRU Productions Sdn Bhd, Skop Productions Sdn Bhd, Primeworks Studio Sdn Bhd, Da Huang Pictures Sdn Bhd, Les Copaque Production Sdn Bhd dan Galaksi Seni Sdn Bhd.

MIG Production yang telah menerbitkan sembilan buah filem antaranya Congkak, 'I'm Not Single', Jangan Tegur dan Rempit menerima duti hiburan sebanyak RM1.3 juta, manakala Primeworks Studio melalui sembilan buah filem termasuk Sifu dan Tongga, Susuk, Kami dan Budak Kelantan memperoleh RM776,584.

Filem Bohsia di bawah Skop Productions pula menerima RM53,670, sementara KRU Productions dengan penerbitan dua filem Cicakman 2:Planet Hitam dan Jin Notti meraih RM97,952.

Empat produksi lain yang masing-masing menerbitkan hanya sebuah filem iaitu Da Huang Pictures melalui filem Punggok Rindukan Bulan menerima RM4,459, Les Copaque melalui filem Geng menerima RM182,562, Galaksi Seni melalui filem Momok The Movie menerima RM215,391 dan Vision Works melalui filem Los Dan Faun menerima RM27,435.60.

Duti hiburan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Finas Mohd Mahyidin Mustakim.

Ketika ditemui pemberita Mahyidin berkata, melalui skim galakan kewangan itu, filem tempatan yang ditayangkan menerusi Syarat Wajib Tayang Finas layak menerima 25 peratus hasil kutipan di pawagam.

"Saya yakin langkah ini berjaya memantapkan aliran pusingan modal penerbit bagi penerbitan filem seterusnya.

"Ini adalah kerana berlakunya peningkatan jumlah penerbitan filem berbanding sekitar tahun 1990-an, purata filem tempatan yang dihasilkan setahun adalah sekitar 23 hingga 30 filem, ianya seiring dengan pertambahan penonton dan bilangan skrin di pawagam," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain