suria

Maya Tangguh Hamil Demi Kerjaya

Maya percaya mempu mengendalikan program NONA dengan baik tahun hadapan.-Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Maya percaya mempu mengendalikan program NONA dengan baik tahun hadapan.-Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN
Maya percaya mempu mengendalikan program NONA dengan baik tahun hadapan.-Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

SINAR bintangnya semakin bergemerlapan. Pakej yang dianugerahkan Tuhan dalam dirinya sangat istimewa sehingga mengangkat pemilik nama Maya Karin Roelcke, 30 kepada kelasnya tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

Walau pada awal kemunculan, mutu lakonannya sering menjadi pertikaian pelbagai pihak tapi perlahan-lahan dia memperbaiki kekurangan diri dan menyedarkan masyarakat tentang kewujudannya dalam bidang hiburan bukan mempertaruhkan paras rupa semata-mata.

Penghujung 2009 ini bagaikan pembuka pintu razeki buat Maya Karin apabila dia dihujani dengan pelbagai tawaran, waima dari lakonan teater, drama TV, filem, rakaman album malah dalam bidang pengacaraan.

Belum pun tamat pementasan Teater Natrah, Maya dipinang pula pihak TV3 sebagai pengacara program Nona selama setahun.

"Bermula pada bulan September saya dah mula sibuk, razeki datang tidak putus-putus, selepas promosi Pisau Cukur, saya ditawarkan untuk teater Natrah dan selepas itu pengacara Nona.

"Saya gembira dengan perkembangan kerjaya saya sekarang, single terbaru saya sudah mula diputarkan di radio bertajuk Terbang dan filem terbaru akan menyusul iaitu Cun Melecun arahan Osman Ali," ujar Maya yang berjaya membawa watak Natrah sebaiknya walaupun merupakan percubaan pertamanya dalam teater Melayu selepas sedekad meninggalkan lakonan pentas.

Maya ketika ditemui pada Majlis Koktel Raikan Nona 2010 kelmarin mengakui bahawa sukar baginya untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Isteri kepada Muhammad Ali, 39 ini memberitahu bahawa masa bersama suaminya agak terbatas sejak kebelakangan ini.

"Saya berasa bersalah juga, dah sebulan tak jumpa suami saya, kalau saya balik dia sudah tidur, dia keluar saya pula tidur, dia selalu merajuk dengan saya sebab tidak dapat teman dia.

"Tapi dia faham dengan keadaan saya, malah dia beri galakan dan sokongan supaya saya berjaya.

"Kalau tak ada rindu pun bosan juga," ujar Maya yang akan pulang ke Jerman pada Krismas ini.

Saat ditanya tentang perancangan mempunyai cahaya mata, Maya berkata mungkin bukan dalam jangka masa terdekat ini disebabkan kekangan waktu.

"Mengikut perancangan awal, saya dan suami idamkan anak pada tahun depan, tapi melihat kesibukan saya, mungkin saya akan tangguhkan dulu niat itu untuk memberi fokus kepada kerjaya saya.

"Jika saya mempunyai bayi sekarang, saya perlu berlaku adil kepada bayi itu dan keluarga, saya tidak mahu bayi itu terabai kerana kesibukan saya," ujar Maya.

Namun Maya tidak menolak jika rezeki untuk menimang cahaya mata diberi oleh Tuhan lebih awal daripada yang dirancang.

Artikel Sebelum

Waheeda Kini Berpurdah

Artikel Lain