suria

Harun Salim Bachik Tewaskan Mustapha Maarof Sebagai Presiden Seniman

PETALING JAYA: Datuk Mustapha Maarof gagal mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Seniman (Seniman) yang dipegangnya selama tiga penggal apabila kerusi tersebut kini disandang oleh pelakon dan pengarah, Harun Salim Bachik bagi penggal 2010/2011.

Harun dipilih sebagai Presiden Seniman yang baru pada Mesyuarat Agung Seniman di Pawagam Mini P.Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang, hari ini, bagi pemilihan ahli-ahli jawatankuasa penggal ini.

Harun menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Datuk Mustapha dengan 74 undian. Seramai 159 ahli jawatankuasa persatuan membuang undi untuk pemilihan jawatankuasa kali ini dengan 7 undi rosak.

Turut kecundang pada pemilihan kali ini ialah pengarah tersohor, Ahmad Idham bagi jawatan Timbalan Presiden apabila kerusi tersebut kini diduduki oleh pelakon Shahriza Mahmud yang sebelum ini hanya memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa sahaja.

Pengarah Yusof Kelana masih kekal sebagai Setiausaha Kehormat manakala pelakon senior, Zulkifli Ismail dilantik sebagai Penolong Setiausaha yang sebelum ini dipegang oleh pelakon Sabree Fadzil.

Wafa Tan Sri Abdul Kadir pula dilantik sebagai Bendahari untuk penggal ini menggantikan Abu Bakar Omar.

Sementara itu, barisan AJK Seniman pada tahun ini terdiri daripada Faizal Hussein, Zed Zaidi, Jehan Miskin, Serina Redzuawan, Rena Tan, Abbas Bakar dan Wazata Mohd Zin.

Harun yang dihubungi selepas mesyuarat itu melahirkan rasa syukur dengan kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli persatuan tersebut dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk memartabatkan nama persatuan dan membela nasib artis-artis tanahair.

Pelakon berusia 50 tahun itu berkata, untuk penggal ini, dia telah merangka manifesto yang merangkumi lapan perkara, antaranya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan artis dan isu royalti.

"Bagi saya, jika tidak dapat mencapai semua perkara dalam manifesto itu, dapat melakukan dalam dua atau tiga pun cukup baik buat permulaan ini. Saya percaya, dengan barisan ahli jawatankuasa (AJK) yang rata-ratanya terdiri daripada artis-artis muda, ia akan memberikan satu pembaharuan terhadap persatuan ini.

"Saya akui, jawatan ini adalah satu amanah yang berat untuk saya, tapi saya yakin dengan kerjasama yang bakal diberikan oleh semua AJK. Golongan muda selalunya mempunyai idea yang bernas.

"Apapun, saya sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada semua pihak," kata Harun yang akan mengadakan mesyuarat pertamanya dengan AJK Persatuan Seniman bagi penggal ini pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Zed Zaidi yang baru dilantik sebagai AJK persatuan itu juga berkata, dia akan memanfaatkan pemilihan tersebut dengan cuba menarik minat artis-artis muda untuk menyertai persatuan itu.

"Saya ingin menyedarkan mereka kepentingan berpersatuan. Mungkin terlalu awal untuk saya bentangkan apa perancangan yang akan dilaksanakan untuk capai matlamat ini, tapi apa yang boleh saya katakan, saya akan buat sesuatu. Matlamat saya adalah untuk memperjuangkan nasib Seniman muda.

"Tak perlu saya cakap banyak, nanti orang anggap saya tin kosong pula, hanya tunggu dan lihat saja," kata Zed Zaidi penuh bersemangat ketika ditanya mengenai perancangannya bersama Seniman.

Artikel Sebelum

Waheeda Kini Berpurdah

Artikel Lain