suria

Pencalonan Golden Globes turut mulakan 'saingan' Oscars

LOS ANGELES: Senarai petanding yang bakal bersaing di Oscars kelak sudah mula ditentukan pada hari ini (Selasa) apabila pencalonan Anugerah Golden Globes ke-67 diumumkan.

Golden Globes yang dianjurkan dan dipilih oleh ahli-ahli Hollywood Foreign Press Association (HFPA) akan berlangsung di Beverly Hills pada 17 Januari depan. Kebiasaannya, pencalonan di Golden Globes ini dilihat sebagai penunjuk utama dalam menentukan saingan di anugerah Oscars pula nanti.

Walaupun 67.4 peratus filem yang memenangi Filem Terbaik di Anugerah Academy turut menang di Golden Globes, namun sejak beberapa tahun ini, anugerah tersebut membuktikan ia bukan lagi kayu pengukur untuk menentukan pemenang Oscars.

Filem Slumdog Millionaires adalah satu-satunya filem di dalam tempoh lima tahun ini yang berjaya memenangi Filem Terbaik di kedua-dua acara anugerah berprestij itu.

Untuk tahun ini, tiada lagi filem yang muncul sebagai petanding yang nyata, walaupun filem komedi, Up In The Air lakonan George Clooney telah mendapat sokongan setelah memenangi Filem Terbaik oleh National Board of Review pada awal bulan ini.

Filem itu juga menyaksikan Clooney dinobatkan sebagai Aktor Terbaik dan berkongsi anugerah itu bersama Morgan Freeman yang membawakan watak sebagai presiden Nelson Mandela di dalam filem Invictus arahan Clint Eastwood.

Tidak seperti Oscars, Golden Globes mempunyai dua kategori, iaitu muzikal dan komedi serta sebuah lagi adalah drama.

Petanding-petanding lain bagi Drama Terbaik adalah seperti The Hurt Locker, sebuah filem perang Iraq yang diarahkan oleh Kathryn Bigelow dan filem Inglourius Basterds arahan Quentin Tarantino.

Filem Up In The Air dijangka akan termasuk di dalam senarai petanding kategori muzikal dan drama. Ia mungkin akan berdepan dengan saingan sengit oleh filem Julie & Julia, yang dibintangi oleh Meryl Streep.

Namun begitu, filem yang dijangka menjadi kegemaran adalah Nine, filem muzikal arahan Rob Marshall yang mengisahkan tentang seorang pengarah filem Itali lakonan Daniel Day-Lewis yang perlu berjuang untuk menyeimbangkan kehendak isteri dan perempuan simpanannya.

Filem tersebut turut dijayakan oleh Marion Cotillard, Penelope Cruz, Nicole Kidman, Judi Dench dan Kate Hudson.

Filem-filem lain yang dijangka akan turut merangkul pencalonan ialah filem animasi, Up. Sebuah lagi filem yang bakal memberikan saingan adalah filem bergenre fantasi, Avatar arahan James Cameron yang mendapat ulasan hebat ketika tayangan perdananya di London minggu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain