suria

Suhan 'Rosyam' Serlah Ramai Heroin Yang Meletup?

Jee (kiri, atas), Lisdawati, Rozita, Rita (kiri, bawah), Watie dan Fasha didakwa merupakan antara heroin yang meletup kelahiran syarikat Rosyam, Suhan.
Jee (kiri, atas), Lisdawati, Rozita, Rita (kiri, bawah), Watie dan Fasha didakwa merupakan antara heroin yang meletup kelahiran syarikat Rosyam, Suhan.
Jee (kiri, atas), Lisdawati, Rozita, Rita (kiri, bawah), Watie dan Fasha didakwa merupakan antara heroin yang meletup kelahiran syarikat Rosyam, Suhan.

KEHADIRAN pelakon wanita dalam industri hiburan tanah air dilihat lebih menyerlah berbanding pelakon lelaki dewasa ini.

Ada antara mereka bukan sahaja mempunyai bakat semula jadi dalam bidang lakonan malah mempunyai rupa paras yang menawan.

Menariknya, ada yang mendakwa pelakon seperti Rita Rudaini, Eja, Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Lisdawati, Ummi Nazeera, Jee dan Watie Sadali kelahiran syarikat produksi milik pelakon Rosyam Nor, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd menjadi 'meletup' dalam industri ini.

Tidak dinafikan, terdapat antara heroin yang dilahirkan oleh Suhan begitu popular di mana-mana sahaja tanpa mengira latar belakang penonton.

Walaupun begitu, Rosyam tidak sesekali meminggirkan pelakon berusia malah tidak juga menolak untuk menggilap bakat-bakat baru yang semakin 'galak' untuk memasuki industri hiburan yang tak besar mana ini.

Namun tidak semudah itu Rosyam menilai bakat yang ada dalam diri pelakon baru kerana sebolehnya dia akan 'membelasah' mereka secukupnya sehingga masing-masing mampu membina kedudukan tersendiri.

Pelakon yang pernah beberapa kali memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik dan popular ini mengaku dia merupakan seorang yang agak tegas dalam mendidik pelakon-pelakon baru yang berlakon dalam drama terbitan Suhan.

"Saya akan torture pelakon baru dengan memberikan ilmu yang saya ada.

"Mereka tiada alasan untuk berkata tidak boleh buat dan senang-senang hendak membuat kesilapan kerana kesannya orang akan bertanya kepada saya kenapa mengambil pelakon baru ini sedangkan sebolehnya saya tidak mahu gagal dalam setiap perkara yang dilakukan.

"Saya pernah beberapa kali menengking Rozita, Watie dan Jee kerana saya hendak mereka berlakon dengan bagus dan disegani.

"Sebagai pelakon, kita mesti mahu dihormati oleh orang lain.

"Saya tak minta apa-apa balasan daripada mereka tetapi saya akan cukup berbangga jika mereka berkata 'terima kasih' kepada saya," kata bapa kepada lima orang anak ini.

Rosyam menjelaskan, mungkin agak keterlaluan apabila dia terpaksa marah dan mengherdik pelakon-pelakon itu di hadapan orang ramai.

Namun begitu, dia tidak menghiraukan apa jua tohmahan negatif orang lain asalkan kemarahannya itu mampu mendatangkan hasil yang bermutu sekali gus memberikan pedoman kepada pelakon lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

"Kadang-kala ada juga yang mengadu mereka mendapat bayaran yang sedikit tetapi babak yang perlu dilakonkan banyak. Misalnya satu jam untuk 35 babak.

"Memanglah kita akan berasa penat sedikit tetapi biarlah apabila selesai penggambaran nanti kita akan berpuas hati," tutur pemilik nama Mohamed Noor Shamsuddin ini.

Pelakon filem Suami, Isteri, dan ..., Gila-Gila Remaja, Castello, Syaitan, Kala Malam Bulan Mengambang, Anak Halal, Laila Isabella, Bilut, KL Menjerit ini masih ingat lagi sewaktu dia mula-mula disunting bergelar pelakon suatu ketika dahulu.

"Masa mula-mula saya nak berlakon dulu, ada orang pernah kata, tak takut ke ambil Rosyam Nor berlakon...

"Jadi, sebab itu saya tidak takut untuk mengambil pelakon baru yang tidak dikenali, tetapi saya perlu seimbang untuk mengambil bakat yang dikenali atau tidak. Misalnya pelakon baru Azhan Rani, saya nilai bakat dia terlebih dahulu.

"Saya juga tak boleh mengambil pelakon yang kacak dan cantik sahaja.

"Walaupun berlakon watak sampingan, mereka perlu buktikan tidak semestinya lakonan mereka akan menyerlah apabila mendapat watak utama sahaja," ujarnya yang turut membintangi lebih 100 drama seperti Rozana, Pondok Buruk, Rumah Di Tengah Sawah, Daun Ketupat Kering, Maya Mira, Sekeras Kerikil dan Rindu Semakin Jauh.

Bercerita mengenai pemilihan pelakon berusia, Rosyam tidak menafikan ramai orang yang masih ingin melihat bakat mereka.

"Saya suka melihat bakat-bakat pelakon senior kerana masih ramai yang mahu menonton lakonan mereka.

"Walaupun begitu, saya tetap kena melihat populariti masing-masing dan biasanya saya akan mengambil pelakon yang pernah bekerja dengan saya," akhiri pelakon dan produser berusia 42 tahun itu.

Rosyam berkata dia mengagumi bakat lakonan Aida Radzwill dan Datuk Rahim Razali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain