suria

Saya Sudah Berkahwin 10 Bulan! - Faizal AF 4

KUALA LUMPUR: Semua teka-teki mengenai perkahwinan Juara Akademi Fantasia 4, Faizal Ramly akhirnya terjawab semalam, apabila penyanyi dan pelakon itu mengaku dirinya sudah berkahwin 10 bulan lalu.

"Saya mengaku sudah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis kecil di Terengganu. Saya tidak menjemput media kerana memikirkan majlis itu diadakan secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat sahaja," akuinya ketika ditemui di majlis pratonton filem terbarunya, Pulau Asmara di TGV, KLCC, di sini.

Bercerita lanjut mengenai isterinya, Faizal berkata, wanita yang berasal dari Temerloh, Pahang itu dinikahinya setelah mereka berkawan selama dua tahun.

Kata Faizal, dia memilih wanita itu sebagai isteri kerana menepati ciri-ciri wanita idamannya. Apabila ditanya mengenai nama dan latar belakang isterinya, Faizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut atas alasan tertentu.

"Saya lebih selesa untuk bercerita mengenai kerjaya saya berbanding cerita peribadi. Saya mohon kepada media untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai cerita perkahwinan ini.

"Kini, saya sudah membuat pengakuan. Tetapi, saya minta maaf sebab tidak dapat bercerita lebih lanjut mengenai perkahwinan ini. Saya harap pihak media dapat faham," ulas Faizal yang berulang kali memohon kerjasama pihak media agar tidak mensensasikan berita perkahwinannya.

Tambah Faizal, berita perkahwinan itu tidak mahu dibesar-besarkan kerana menyedari keadaan kesihatan isterinya yang sedang mengandung lapan bulan. Justeru, Faizal tidak mahu berita perkahwinan ini mengganggu kesihatan kandungan isterinya.

Bukan dia sengaja hendak menyembunyikan cerita 'baik' itu daripada pengetahuan media dan masyarakat, namun keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mensensasikan berita itu demi menjaga kepentingan isteri dan keluarganya.

Faizal turut berkata, dia tidak pernah menceritakan perihal perkahwinannya kepada umum kerana tiada pihak yang pernah bertanya mengenainya sebelum ini.

Difahamkan, Faizal berkahwin secara senyap demi menutup desas-desus yang mengatakan dia pernah ditangkap basah. Namun begitu, penyanyi berusia 25 tahun ini menafikannya.

"Saya bersumpah di sini saya berkahwin bukan kerana ditangkap basah. Malah, saya tidak pernah melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain