suria

Reem Shahwa Gigih Fasihkan Bahasa Malaysia Demi ESPN

Reem tidak pernah memikirkan tentang populariti apabila bercadang untuk membabitkan diri di dalam bidang penyiaran secara serius - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Reem tidak pernah memikirkan tentang populariti apabila bercadang untuk membabitkan diri di dalam bidang penyiaran secara serius - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Reem tidak pernah memikirkan tentang populariti apabila bercadang untuk membabitkan diri di dalam bidang penyiaran secara serius - foto THE STAR oleh RICKY LAI

GADIS kecil molek ini melemparkan senyuman manis tatkala tiba di sesi temubual dengannya yang diaturkan baru-baru ini.

Ketika melihat lensa kamera mula dihalakan padanya, Reem Shahwa Mohd Redza yang mesra dengan panggilan Reem ini akui, agak kekok untuk memberikan aksi istimewa seperti mana personaliti-personaliti TV yang lain.

Tutur penyampai SportsCenter Malaysia dalam edisi Bahasa Malaysia di saluran sukan ESPN ini, bidang 'glamor' ini terlalu baru buat dirinya yang masih hijau di dalam industri penyiaran ini.

Malah, kata gadis berusia 24 tahun ini, dia juga tidak pernah memikirkan tentang populariti apabila bercadang untuk membabitkan diri di dalam bidang ini secara serius.

"Pada dasarnya, pasti orang akan bercakap individu yang menceburi bidang penyiaran seperti ini sebenarnya mahu mengejar glamor. Tetapi semua itu tidak ada di dalam fikiran saya langsung.

"Selepas tamat persekolahan, saya terus menyambung pengajian di dalam bidang Media, Perhubungan Awam dan Kewartawanan Penyiaran di Universiti Murdoch, Perth kerana saya memang benar-benar berminat dengan bidang ini.

"Saya dapat merealisasikan impian saya untuk berada dalam industri ini apabila saya ditawarkan menjadi wartawan penyiaran di ntv7. Selama setahun di sana, banyak yang saya pelajari tentang selok-belok dunia kewartawanan.

"Tidak lama selepas itu, saya cuba dengan kerjaya baru sebagai pengurus komunikasi di sebuah bank lebih kurang setahun. Tetapi saya akui tidak selesa bekerja di dalam bidang baru itu, mungkin kerana jiwa saya memang untuk penyiaran.

"Disebabkan itu, bila nama saya dicadangkan kepada pihak ESPN oleh seseorang dan saya dipanggil untuk ujibakat sebagai penyampai berita, saya tidak lepaskan peluang tersebut.

"Dan ternyata rezeki saya di dalam bidang ini masih ada. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi keluar dari industri ini," kata Reem yang juga merupakan hos Score Tonight di Star Sports ESPN.

Bersama dengan seorang lagi penyampai, Lisa Wong, mereka akan mengendalikan SportsCenter Malaysia yang buat julung kalinya diwujudkan di dalam edisi Bahasa Malaysia dan telah mula disiarkan setiap hari bermula 30 November lepas pada pukul 10.30 malam.

Ia akan menyiarkan berita sukan antarabangsa dan tempatan.

Ditanya perasaannya menjadi antara penyampai pertama yang mengendalikan program berita sukan itu, kata Reem, dia cukup teruja dengan program tersebut. Namun, akui Reem, cabaran utamanya ialah untuk bertutur di dalam Bahasa Malaysia dengan lancar.

"Sejujurnya, saya akui walaupun saya orang melayu, saya memang kurang lancar bertutur di dalam Bahasa Malaysia kerana sejak kecil, saya belajar di sekolah antarabangsa dan diasuh bertutur Bahasa Inggeris untuk melengkapkan diri pada masa depan.

"Tapi tidaklah bermaksud saya tidak tahu bertutur langsung dalam Bahasa Malaysia dan tidak berbangga dengan bahasa sendiri. Malah, apabila ESPN menawarkan saya untuk menjadi penyampai berita Bahasa Malaysia, saya tidak ragu-ragu untuk menerimanya.

"Memang pada awalnya ambil masa sedikit untuk saya benar-benar yakin dengan sebutan perkataan, tetapi setelah melalui banyak proses latihan, saya sudah berkeyakinan.

"Apapun, saya bersedia dengan sebarang kritikan daripada mana-mana pihak. Lagipun, saya masih dalam proses pembelajaran dari semasa ke semasa. Harapan saya, biarlah penonton kelak dapat melihat kemajuan diri saya nanti," kata Reem dalam nada merendah diri.

Selain itu, ujarnya lagi, dia juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa dunia sukan dan membuat kajian sendiri agar tidak nampak kekok di hadapan kamera.

"Sebelum ini ramai yang bersikap skeptikal terhadap pengacara atau penyampai sukan wanita. Bagi saya, sukan bukan saja terhad kepada golongan lelaki. Saya sendiri amat meminati sukan, terutamanya F1 dan tenis.

"Tetapi bila berada dalam bidang ini, saya perlu ikut perkembangan semua jenis sukan. Walaupun hanya membaca skrip, tetapi pengetahuan tentang sukan perlu saya kuasai juga.

"Dan saya amat berharap, satu hari nanti saya juga berpeluang menulis skrip sendiri untuk program sukan di ESPN ini," tutur Reem sambil tersenyum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain