suria

'Malapnya' Anugerah Skrin 2009...

Gandingan serasi Afdlin dan Fara menghiburkan - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Gandingan serasi Afdlin dan Fara menghiburkan - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Gandingan serasi Afdlin dan Fara menghiburkan - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

ACARA berprestij Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) akhirnya menyaksikan drama arahan Erma Fatima, Tersasar Di Jalanmu 'menang besar' dengan merangkul enam anugerah daripada 10 kategori yang dipertandingkan dalam bahagian drama.

Drama yang memaparkan tentang masalah dan kehidupan di Lorong Haji Taib itu dipilih sebagai Drama Terbaik dan menyaksikan Erma dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama serta Lakon TV Terbaik; Rosnah Mat Aris bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Norish Ismail (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Videografi Terbaik.

Filem arahan Hatta Azad Khan, Wayang pula mengungguli kategori filem apabila muncul sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik Filem, Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Keputusan pemenang telah pun diketahui umum, namun apa yang ingin disentuh di sini ialah perjalanan ASK2009 itu yang dilihat berlangsung dalam suasana yang agak hambar.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kehadiran penggiat seni pada ASK2009 kali ini juga tidak begitu memberangsangkan. Tidak tahu di mana silapnya, sedangkan majlis seperti itu merupakan satu acara istimewa untuk menghargai golongan ini.

Tidak gah lagikah nama ASK di kalangan penggiat seni? atau mungkin masa yang tidak sesuai kerana rata-rata pelakon dan penggiat seni lain sibuk dengan urusan masing-masing?

Mujurlah persembahan-persembahan pada malam itu di samping keletah dua hosnya, Afdlin Shauki dan Fara Fauzana berjaya 'menyelamatkan' kesuraman acara tersebut. Gandingan Afdlin dan Fara cukup serasi dan apa yang pasti, aksi mereka amat bersahaja tetapi tetap menghiburkan.

Begitu juga dengan persembahan-persembahan artis yang dilihat mempunyai kelainan tersendiri. Rata-rata lagu yang dipersembahkan disuntik dengan elemen 'padang pasir', bersesuaian dengan tema acara tersebut, Malam Arab - Hikayat Seribu Satu Malam.

One Nation Emcees membuka tirai ASK2009 dengan lagu Seribu Satu Malam tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga, diikuti duet Misha Omar dan Bob menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa.

Gandingan Hattan dan Tia Jinbara dengan lagu Mentera Semerah Padi juga dilihat sebagai satu kolaborasi mantap.

Turut membuat persembahan pada malam itu ialah Aizat dengan lagu tema filem Talentime, Pergi sebelum disusuli dengan persembahan menarik oleh Jac, Lan The Typewriter dan Black menerusi lagu Sempurna.

Datuk Siti Nurhaliza seperti biasa tidak menghampakan penonton apabila muncul dengan persembahan penutup yang istimewa dengan mengalunkan medley lagu-lagu popularnya iaitu Balqis, Nirmala dan Ku Percaya Ada Cinta.

Tema Seribu Satu Malam yang dipilih untuk tahun ini sememangnya mempunyai 'keunikan' tersendiri.

Cuma tidak dinafikan, tema sedemikian juga dilihat agak terbatas sehingga ada juga segelintir artis yang menyuarakan kesukaran mereka dalam mencari kelainan fesyen untuk digayakan pada malam itu.

Namun, ramai yang menggemari fesyen gipsi Rozita Che Wan pada malam itu. Walaupun nampak sedikit seksi kerana memadankannya dengan skirt atas paras lutut, namun Rozita memang antara yang 'menang gaya' pada acara tersebut.

Apapun, tahniah buat semua pemenang yang bakal dibawa bercuti ke Hollywood, Los Angeles kelak!

Sekitar ASK2009:

-Norish Ismail yang memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama yang nampak cukup gementar ketika ditanya reaksinya selepas menang sewaktu di belakang pentas. Reaksinya yang turut disiarkan di dalam dewan itu mengundang hilai tawa penonton. Rasanya, pihak penerbitan perlu lebih sensitif dengan hal seperti ini kerana ia membabitkan air muka pelakon tersebut yang sememangnya tidak menjangkakan langsung kemenangannya malam itu.

-Penampilan ala-gipsi Rozita Che Wan menggamatkan suasana Dewan Merdeka ketika pelakon jelita itu muncul di pentas menjadi penyampai trofi bersama Nasir Bilal Khan. Imej seksi Rozita dengan skirt pendek atas lutut dilihat yang paling menyerlah malam itu! Malah, Afdlin sempat mengusik jurukamera yang asyik mengambil gambar Rozita dan secara spontan sengaja menarik seluarnya ke paras lutut.

-Kelakar melihat adegan aksi 'cekup mulut' oleh Azlee dan Wahid Senario terhadap Hans Isaac sewaktu pelakon itu ingin mengumumkan program AC Di Sini sebagai pemenang Rancangan Bual Bicara Terbaik. Hans cukup 'sporting' walaupun 'ketegangan' antara dirinya dan AC sedang hangat diperkatakan.

-Ramai penonton tidak 'tahan' melihat gelagat 'gedik' Liyana Jasmay ketika ditemubual di belakang pentas sebaik memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem.

-Kehadiran Aziz M.Osman bersama seorang wanita di acara tersebut mencuri perhatian ramai.

-Fouziah Gous adalah antara artis yang paling ramai dikerumuni oleh peminat-peminat di luar dewan sebaik tamatnya acara tersebut

-Kemunculan tiga pelakon Nur Kasih iaitu Sharifah Sofea, Tiz Zaqiyah dan Fizz Fairuz mendapat sorakan ramai penonton di dalam dewan tersebut gara-gara 'fenomena' terhadap drama itu. Namun, nampaknya Fizz yang 'menang sorak'!

-Dynaz nampak seperti kurang bersedia dan sedikit kekok ketika menjadi hos di sesi karpet merah. Malah, soalan-soalan yang diajukan kepada beberapa orang artis rasanya ada tidak sesuai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Akshay Kumar Pakai Baju Pinjam

Artikel Lain