suria

IB ambil Pengajaran Kes Remy, Ketatkan Kawalan Keselamatan

Remy bersama pelakon-pelakon teater Natrah
Remy bersama pelakon-pelakon teater Natrah
Remy bersama pelakon-pelakon teater Natrah

INSIDEN pelakon utama teater Natrah, Remy Ishak yang dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan Istana Budaya (IB) pada Jumaat lalu bukan saja mengejutkan peminat-peminat aktor yang digilai ramai itu, malah ia turut meninggalkan kesan kepada IB.

Menurut Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, dia tidak menolak bahawa kejadian tersebut secara tidak langsung turut memalitkan perspektif negatif pihak-pihak tertentu terhadap IB.

Namun, tegas Juhari, apa yang berlaku itu sememangnya diluar jangkaan pihaknya sendiri.

"Ini adalah kali pertama di dalam sejarah IB berlakunya insiden yang tidak diingini seperti ini. Saya secara peribadi memang sedih dengan kejadian ini dan saya sendiri telah memohon maaf terhadap Remy atas apa yang berlaku.

"Apa yang boleh saya katakan, perkara itu berlaku dalam sekelip mata. IB memang mempunyai petugas khas dan pengawal keselamatan, tetapi apa yang terjadi pada malam itu memang benar-benar tidak kami jangkakan," ujar Juhari ketika dihubungi.

Remy yang membawakan watak Mansor Adabi di dalam teater arahan Erma Fatima itu didakwa telah dipukul oleh kira-kira tujuh orang lelaki ketika sedang berehat di sebuah bilik sebelum menyambung sesi kedua pementasan pada malam tersebut.

Kumpulan tersebut berjaya melarikan diri setelah petugas khas IB menyedari kejadian itu. Akibat serangan tersebut, pelakon berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital setelah mengalami kecederaan di kepala dan kakinya.

Remy kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, ujar Juhari, apa yang dilaporkan di akhbar tentang insiden tersebut sebenarnya tidak begitu tepat.

"Kejadian itu berlaku selepas pementasan tamat pada malam tersebut yang mana peminat dapat beramah-mesra dengan semua pelakon Natrah selepas itu.

"Jadi dalam keadaan peminat yang bersesak-sesak untuk mendekati pelakon-pelakon tersebut, pasti sukar untuk mengesan orang yang dicurigai.

"Remy memang sudah 'diperhati' oleh orang tersebut dan individu terbabit sebenarnya mengekori Remy masuk menerusi panggung selepas selesainya acara tersebut.

"Kawasan itu pula bukanlah kawasan larangan, jadi petugas yang berada di sana tidak mengesyaki apa-apa. Apapun, IB mengambil iktibar apa yang berlaku dan lebih berhati-hati selepas kejadian itu.

"Kami sudah mula mengetatkan kawalan keselamatan dan kena lebih berwaspada terutamanya terhadap penonton-penonton yang ingin mendekati pelakon-pelakon," ujarnya yang turut berada di IB sewaktu malam kejadian itu.

Kata Juhari lagi, Remy bagaimanapun tetap ingin meneruskan pementasan tersebut pada hari berikutnya.

"Kita tidak paksa dia, tetapi dia sendiri yakin mampu untuk meneruskannya. Remy sangat profesional," kata Juhari yang menambah, sambutan terhadap teater Natrah amat memberangsangkan dan tempoh pementasan juga turut dilanjutkan selama empat hari sehingga 13 Disember ini.

Ditanya tentang punca berlakunya insiden itu, Juhari bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan merasakan perkara itu lebih sesuai diulaskan oleh tuan empunya diri.

"Remy sendiri kata itu adalah masalah peribadinya, jadi saya rasa tidak sesuai untuk saya campuri. Malah, Remy sebenarnya juga tidak mahu kes ini diperbesar-besarkan," tutur Juhari.

Dalam pada itu, Erma yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut tentang insiden itu.

"Saya rasa, lebih baik Remy yang bercakap sendiri bila dia bersedia nanti. Saya tidak mahu komen apa-apa.

"Tapi, dia masih teruskan dengan pementasan ini," katanya, ringkas.

Natrah yang mula dipentaskan 30 November lalu turut dibintangi oleh Maya Karin, Sofea Jane, Umie Aida, Samantha Schubert dan ramai lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Akshay Kumar Pakai Baju Pinjam

Artikel Lain