suria

'Natrah' Sofea Jane Lebih Beremosi

- foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
- foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
- foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

MENGANGKAT sebuah kisah yang pernah mencetuskan kontroversi ke pentas teater bukanlah satu perkara mudah. Jika si pengarah gagal menggarap penceritaan yang menggambarkan kisah tersebut dengan baik, penonton pastinya mendapat impak yang kurang berkesan.

Perkara itulah yang perlu difikirkan oleh Erma Fatima untuk memastikan teater arahannya, Natrah, mampu membuka mata penonton tentang kontroversi yang berlaku sekitar era 50an terhadap seorang gadis Belanda berusia 13 tahun bernama Maria Hurbedina Hertogh atau Natrah.

Dan ternyata, dengan bantuan oleh hasil kajian yang dilakukan oleh penasihat teater ini, Datin Fatini Yaacob, yang banyak menulis artikel dan mengkaji tentang Natrah sejak 20 tahun lalu, Erma berjaya mencorakkan teater ini dengan berkesan.

Bersandarkan kepada nama-nama hebat seperti Maya Karin yang melakonkan watak Natrah, Sofea Jane (Natrah pada usia 70 tahun), Umie Aida (Che Aminah), Remy Ishak (Cikgu Mansor Adabi) dan Samantha Schubert (Adeline), perjalanan hidup Natrah yang digambarkan sememangnya cukup menyayat hati.

Kisah tragik yang telah membawa kepada rusuhan di Singapura sehingga menyebabkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam pertempuran dengan tentera dan polis British kerana perjuangan mereka terhadap Natrah Maarof cuba ditonjolkan dengan sebaik mungkin.

Sekadar mengimbas sejarah yang berlaku, kisah Natrah yang menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah dan keluarga kandungnya telah meninggalkan kesan yang mendalam apabila masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa gadis itu akan dimurtadkan.

Bukan saja itu, malah Natrah yang dikahwinkan pada usia 13 tahun dengan Mansor Adabi juga membawa cerita tersendiri yang amat memilukan.

Keikhlasan kasih Mansor yang berjanji tidak mahu 'menyentuh' Natrah kerana usianya yang masih muda ketika itu serta cinta sejati mereka yang terpaksa dipisahkan kemudiannya sehingga membuatkan pasangan ini merana memang cukup memilukan.

Malah, 'kemenangan' yang diraih oleh British kerana berjaya dalam perebutan itu sebenarnya membuatkan masyarakat amat sedih dan simpati kerana impaknya adalah pada Natrah yang cukup menderita sepanjang hidupnya, sehinggalah dia meninggal dunia pada 8 Julai lalu di Huijbergen, Belanda, pada usia 72 tahun setelah menderita akibat penyakit leukemia.

Untuk pementasan Natrah di Istana Budaya ini yang sudah bermula sejak 30 November lepas hingga 13 Disember ini, perjalanan hidup Natrah dikupas dengan baik dari permulaan yang dimulakan dengan monolog oleh Sofea.

Aktres yang menjadi Natrah ketika berusia 70an dengan cuba meluahkan rasa hatinya yang terbuku sejak berpuluh-puluh tahun memang berjaya disampaikan dengan penuh emosi. Malah, tidak keterlaluan jika penulis katakan, 'Natrah' Sofea lebih 'menusuk' kalbu berbanding 'Natrah' yang dilakonkan oleh Maya.

Namun, penulis akui kedua-duanya berada di dalam dua senario yang berbeza dan lantaran itu, 'penghujung' kisah Natrah perlu ditonjolkan dengan lebih beremosi sebagai gambaran kesengsaraan yang dilalui oleh Natrah selama berpuluh-puluh tahun itu.

Apapun, penampilan sulung Maya di pentas teater sememangnya tidak menghampakan walaupun membawakan watak gadis yang usianya amat muda berbanding umur sebenar Maya adalah satu tugas yang cukup mencabar untuknya.

Dari segi fizikal juga, Maya memang nampak seperti seorang gadis remaja!

Malah, penulis gemar menyaksikan sifat 'nakal' Natrah, terutamanya ketika bibit-bibit cinta mula berputik antara dirinya dan Mansor Adabi lakonan Remy. Nampak wujudnya keserasian antara Maya dan Remy.

Lakonan sulung Remy di dalam teater juga tidak mengecewakan. Secara peribadi, penulis merasakan Remy berjaya 'menjiwai' Mansor walaupun mungkin karektor sebenar lelaki itu berbeza daripada apa yang ditampilkan oleh Remy.

Apa yang pasti, Mansor Adabi memang 'hidup' di tangan Remy! Tidak ketinggalan lakonan cemerlang yang dipamerkan oleh Umie Aida dan Samantha Schubert. Props untuk pementasan ini juga cukup menarik.

Dari segi penceritaan, secara keseluruhannya, selain memfokuskan kepada suka duka Natrah, Erma juga menekankan kepada kasih sayang Che Aminah terhadap Natrah dan perjuangannya untuk mempertahankan 'keislaman' Natrah serta mengelakkan daripada Natrah diambil semula oleh keluarga kandungnya.

Perasaan sedih seorang ibu kandung, Adeline yang amat merindui anaknya serta kelukaan hati ibu angkat yang sudah menganggap Natrah adalah darah dagingnya itu membuatkan penonton sendiri pastinya bersimpati terhadap kedua-duanya.

Cuma penulis rasa tidak puas untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Che Aminah dan Mansor setelah Natrah diambil semula oleh keluarga kandungnya.

Babak ibu angkat dan suami Natrah itu terhenti di situ saja dan apa yang berlaku selepas itu ditonjolkan dengan keratan-keratan akhbar dalam bentuk 'slide show'. Namun, penulis memahami durasi pementasan yang pendek pastinya membataskan Erma untuk menyampaikan semua penceritaan sekaligus.

Penulis juga agak hairan mengapa elemen Hindustan turut diselitkan di dalam teater ini dari aspek tarian dan lagu. Nampak sedikit 'pelik' sebenarnya, namun difahamkan Erma mempunyai alasan tersendiri dan menegaskan elemen itu memang amat disukai oleh masyarakat.

Bagi yang ingin menyaksikan teater ini, tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 boleh dibeli dengan menghubungi talian 03-40265558 atau secara online di laman web www.ticket2u.biz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain