suria

Saranan Potong Bayaran Penerbit Drama Seharusnya Dilakukan Dari Dulu!

Prof Madya A.Razak Mohaideen
Prof Madya A.Razak Mohaideen
Prof Madya A.Razak Mohaideen

SARANAN kerajaan untuk memotong bayaran penerbit drama bagi mengisi Dana Kebajikan Seniman yang diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam, disambut baik oleh penerbit dan pengiat drama tanah air.

Bagi pengarah Prof Madya.A.Razak Mohaideen, ini merupakan cadangan yang baik dan tidak salah jika sedikit dari hasil bayaran itu disalurkan kepada Dana Kebajikan Seniman.

"Seperti yang diketahui RTM membeli dengan harga yang agak tinggi, jadi tidak salah jika hasil bayaran disumbangkan untuk kebajikan seniman dan perkara ini seharusnya dilakukan sejak dahulu lagi," katanya.

Menurutnya, sebahagian dari cukai pendapatan syarikat turut akan dikurangkan jika menyumbang kepada aktiviti kebajikan, namun bagitu nilai peratus yang dipotong haruslah berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo ketika dihubungi mStar Online bersetuju dengan potongan tersebut namun begitu RTM perlu juga mengkaji filem dan drama yang diimport dari luar negara.

Kata David, drama atau filem yang diimport seharusnya dipotong lebih tinggi berbanding penerbit drama tempatan.

Potongan bayaran kepada penerbit drama dan dokumentari Radio Televisyen Malaysia(RTM) sewajarnya memberi perhatian kepada filem-filem yang diimport dari luar negara.

"Saya bersetuju dengan potongan bayaran kepada penerbit drama untuk mengisi dana Kebajikan Seniman namun filem, drama atau dokumentari dari luar negara perlu dipotong lebih berbanding drama tempatan.

"Drama dan dokumentari luar negara yang dibeli tidak memerlukan mereka bersusah payah dalam pembikinan namun mendapat pulangan yang lima kali ganda lebih berbanding penerbit tempatan," kata pengarah yang terkenal dengan pendiriannya yang tegas.

Namun begitu, kata David lagi, tindakan kerajaan ini adalah usaha jangka panjang bagi membela nasib para seniman tanah air namun begitu kadar potongan yang akan dikenakan nanti perlulah dengan kadar yang minima.

"Seharusnya usaha ini dilakukan serta merta untuk tabungan atau dana kepada kebajikan pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik yang memerlukan bantuan pada masa akan datang, saya anggap ini adalah salah satu tanggungjawab kepada masyarakat," katanya.

Bagi pengarah filem Ahmad Idham pula, niat yang ingin dilaksanakan itu betul, namun penelitian lebih khusus perlu dilakukan supaya tidak menjadi bebanan kepada penerbit.

"Perlu ada penelitian yang lebih mendalam. Ini kerana kos produksi yang tinggi sedangkan margin yang ada terlalu rendah terutama bagi penerbit drama berkualiti A," kata pengarah filem 'Rempit' ini.

Menurut Idham, apa yang dia khuatiri penerbit terpaksa memotong kos penerbitan akibat daripada margin yang kecil dan akan menjejaskan kualiti drama yang dihasilkan.

"Jika bayaran penerbit drama dipotong, sedikit sebanyak ini akan memberi kesan kepada kos penerbitan yang tinggi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain