suria

Fizo Omar: Produksi Yang Bermasalah, Bukan Salah Saya

KONTRAK berlakon drama 26 episod ‘Awan Dania’ sudah selesai sehingga hujung bulan Oktober lalu, jadi apa yang perlu ditakutkan oleh pelakon muda, Fizo Omar.

Jelas jejaka berusia 24 tahun ini, tiada apa yang perlu ditakuti kerana bukan dirinya yang mencari masalah sebaliknya produksi yang mengelolakan drama yang difahamkan belum selesai 13 episod itu lagi.

Fizo berkata dia sudah menyediakan masa yang sesuai untuk menyelesaikan penggambaran drama itu. Namun setelah produksi yang sengaja tidak disebut namanya itu gagal menamatkan penggambaran yang melibatkan bahagiannya, dia tidak mampu ‘memberi muka’ lagi kerana mempunyai komitmen penggambaran dua buah drama lain.

“Saya tiada masalah dengan produksi tetapi mereka sendiri yang bermasalah. Jadi, bukan salah saya apabila menarik diri dari drama itu kerana kontrak saya dah habis.

“Kontrak saya bermula awal bulan Ogos hingga akhir Oktober dan penggambaran bahagian saya sebenarnya tak banyak sangat pun.

“Saya pun tak kisah apabila mereka juga tidak membayar satu sen pun kepada saya. Tak pelah, bukan sampai RM100,000 pun. Saya terima kalau mereka nak bayar tetapi kalau tak nak bayar pun terpulanglah,” luahnya dalam nada kesal mengenai drama terbitan Astro itu.

Pelakon popular menerusi drama ‘Bio-Nik’ ini juga tidak pasti di mana kelemahan produksi itu sehinggakan mereka gagal menyiapkan 26 episod drama itu dalam masa dua bulan.

“Sampai sekarang, mereka senyap dan menyepi sahaja selepas menukar pengarah dan krew yang baru. Saya pernah cuba minta bayaran itu tetapi mereka tetap sama. Produksi ini bukan sahaja gagal menyiapkan 26 episod dalam dua bulan seperti yang biasa dilakukan oleh produksi lain malah gagal menyiapkan 13 episod drama itu.

“Saya rasa ini pertama kali saya mengalami pengalaman bekerja seperti ini dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” ulasnya.

Ditanya adakah pelakon lain seperti Scha Al-Yahya dan Jehan Miskin turut mengalami nasib yang sama, Fizo berkata dia tidak mengetahuinya.

“Saya cuma sempat dapat tahu yang Scha stres dengan tindakan mereka tetapi mungkin dia dibayar kerana dia merupakan pelakon utama drama ini.

“Selain masalah bayaran, mungkin disebabkan masalah jadual kerja yang bertindih antara pelakon membuatkan mereka gagal beroperasi.

“Tetapi terus-terang saya katakan yang jadual kerja saya sudah padat dengan dua buah drama iaitu ‘Musang Berjanggut’ untuk slot Lagenda dan ‘Suraya’ untuk slot Samarenda,” katanya yang mungkin akan mengekalkan imej terbarunya dengan imej berjambang.

Menurut Fizo, dia tidak pernah mempunyai jambang atau berambut panjang melebihi tengkuk sebelum ini.

“Untuk drama ‘Suraya’, saya terpaksa menyimpan jambang dan berambut panjang agar nampak lebih tidak kemas. Tengoklah macam mana nanti sama ada saya akan kekal dengan imej berjambang atau tidak. Kalau berjambang mungkin jambang yang nipis sahaja,” ceritanya yang sempat mempromosikan drama itu yang sedang disiarkan di TV3 pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis, pukul 10.30 malam.

Sementara ‘Musang Berjanggut’ dijangka disiarkan pada bulan Mac 2010.

Fizo berkata dia akan sibuk sehingga awal bulan Januari depan di mana dia dijangka akan berlakon sebuah drama dan dua buah telefilem yang dikendalikan oleh sebuah produksi.

Ketiga-tiga projek itu akan menjalani penggambaran di Mesir selama sebulan di mana dalam 30 hingga 40 peratus babak yang akan dilakukan di sana.

“Saya tertarik dengan watak dalam cerita yang belum diberikan tajuk itu. Watak yang ditawarkan kepada saya adalah seorang lelaki yang belajar dan mendirikan rumah tangga di sana.

“Saya belum selesai membaca skrip cerita itu tetapi mungkin ia seperti drama ‘Nur Kasih’,” beritahunya mengenai karya arahan pengarah Din CJ itu.

Dalam masa yang sama, dengan rezeki lakonan yang tidak putus-putus itu, Fizo meluahkan rasa syukurnya sambil berkata:

“Alhamdulillah, kerja yang saya terima tak berhenti. ‘Ok’lah sementara tengah ‘laku’ ni kerana bidang seperti ini tidak akan lama. Buat masa ini memang saya akan fokuskan sepenuh masa dan hanya duit simpanan ‘back up’ saya,” katanya yang turut mengajak peminatnya melayari laman web FaceBook nya di www.facebook.com.my/fofanpage.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain