suria

Shanon Sukar Memilih Antara Tiga Cabang Seni

Shanon Shah menulis skrip untuk filem 'Karaoke'. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Shanon Shah menulis skrip untuk filem 'Karaoke'. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Shanon Shah menulis skrip untuk filem 'Karaoke'. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

WARTAWAN, penulis lirik dan skrip serta penyanyi, Shanon Shah tidak mampu membuat pilihan antara tiga cabang seni yang diminatinya ini.

“Itu satu soalan yang saya tak boleh jawab.

“Saya mempunyai seorang majikan yang memahami dan menyokong minat saya. Beliau memberi kelonggaran kepada saya untuk bekerja pada waktu yang fleksibel,” ujar Shanon Shah apabila dihubungi pada minggu lepas.

Jejaka yang mudah diajak berbual ini menulis skrip untuk filem 'Karaoke.' Filem itu akan ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley pada 26 November ini.

Ini juga merupakan kali pertama Shanon menulis skrip untuk sebuah filem.

“Cabaran yang saya hadapi semasa menulis skrip ini ialah mengembangkan dan mevisualkan setiap watak dalam filem ini dahulu.

“Saya juga mestilah menulis skrip mengikut kemahuan pengarah filem 'Karaoke' iaitu Chris Chong dan berbincang dengannya mengenai setiap plot dalam skrip untuk menulis dialog yang sesuai dengan setiap watak,” jelas Shanon Shah.

Pemuda ini selalu menghubungi Chris Chong melalui email untuk mendapat maklum balas mengenai skrip Filem 'Karaoke.'

“Chris selalu berada di luar negara dan kami selalunya berhubung dalam telefon dan email untuk berbincang mengenai pertukaran yang perlu dilakukan dalam skrip tersebut.

Menurut Shanon lagi, beliau tidak banyak fokus mengenai jalan cerita tetapi telah banyak menumpukan perhatian pada watak-watak dalam filem tersebut.

“Kesemua karaktor dalam filem ini adalah seperti yang dikehendaki oleh Chris dan bagaimana sesorang pelokon itu mentafsirkan skrip yang saya tulis,” kata Shanon.

Sementara itu, Shanon juga merupakan seorang graduan berkelulusan ijazah dalam jurusan kejuruteraan kimia.

Selepas menamatkan penggajiannya, beliau mendapat biasiswa pada tahun 2000 untuk belajar seni teater selama setahun.

Apabila ditanya kenapa penulis lirik ini terpesong jauh daripada jurusan kejuruteraan, Shanon berkata sambil ketawa, beliau minat menulis semenjak kecil.

“Perkara ini memang biasa berlaku di kalangan rakyat negara kita. Mereka tidak bekerja dalam jurusan yang mereka belajar semasa menuntut di universiti.

“Saya juga adalah seorang rakyat Malaysia,” kata Shanon sambil ketawa.

Selain itu, anak seni serba boleh ini juga akan mengeluarkan albumnya dalam masa terdekat ini.

“Sepatutnya album ini dilancarkan bersama filem 'Karaoke.' Tetapi, kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, ianya akan tertunda sedikit," kata Shanon.

Album terbarunya akan turut memuatkan enam buah lagu yang ditulisnya sendiri dalam filem 'Karaoke.'

Shanon baru mula menulis skrip untuk sebuah teater yang berjudul ‘Taring.’

Hobi jejaka yang sentiasa murah dengan senyuman ini adalah memasak dan melihat orang memasak dalam saluran Asian Food Channel.

“Saya hanya memasak untuk diri saya dan tidak pernah memasak untuk orang lain sebelum ini,” kata Shanon dengan nada gurau.

Shanon yang terlalu sibuk dengan kerjaya berkata tidak memikirkan soal perkahwinan buat masa ini.

“Saya tidak bercadang untuk berkahwin sekarang. Tetapi saya memang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran saya ke peringkat ijazah sarjana.

“Saya juga tidak tahu bila saya akan sambung belajar, namun ia memang dalam perancangan saya,” ujar Shanon.

Artikel Lain