suria

Farawahida Bawa Watak Puteri Jasmin Dalam Teater 'Sinbad'

Fara bakal memegang watak Puteri Jasmin dalam teater 'Sinbad'. -Foto THE STAR oleh ART CHEN
Fara bakal memegang watak Puteri Jasmin dalam teater 'Sinbad'. -Foto THE STAR oleh ART CHEN
Fara bakal memegang watak Puteri Jasmin dalam teater 'Sinbad'. -Foto THE STAR oleh ART CHEN

PENYANYI Farawahida Razali, 24, atau Fara bakal membawakan watak 'Puteri Jasmin' dalam teater bangsawan 'Sinbad' yang akan dipersembahkan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hujung tahun ini.

Fara bersyukur pengarah teater itu, Rosnan Nordin memberi kepercayaan kepadanya untuk membawa watak utama walaupun dia pertama kali berlakon dalam teater, drama, dan filem.

"Semestinya saya bimbang. Tapi saya berani mencuba untuk berlakon teater dan saya percaya ini adalah masa terbaik untuk berlakon teater.

"Saya berharap mendapat lebih banyak peluang berlakon dalam drama dan filem selepas ini," kata Fara ketika ditemui semasa sesi fotografi di Menara Star baru-baru ini.

Fara memberitahu, teater 'Sinbad' yang diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu akan dipentaskan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tarikh yang belum ditentusahkan.

Katanya, terdapat tiga watak utama dalam teater itu iaitu Sinbad, Ratu Sheeba dan Puteri Jasmin.

"Ratu Sheeba ialah watak yang jahat. Dia telah mencuri batu permata milik bapa saya iaitu Dewa. Batu permata itu boleh menukar manusia menjadi binatang.

"Lepas itu, Sinbad kata nak bawa saya bersama-sama ke pulau Ratu Sheeba. Macam-macam tragedi akan berlaku atas kapal tersebut," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai jalan cerita teater tersebut.

Finalis akhir HITZ 1, RTM melalui lagu ‘Semuanya Ada Di Sini’ yang diadakan pada Mac 2008 ini berharap orang ramai akan menonton teater tersebut untuk mengetahui kesudahan teater itu.

Malah Fara tidak dapat mendedahkan pelakon-pelakon untuk watak Sinbad dan Ratu Sheeba.

Bagi memastikan lakonannya berkesan, Fara giat berlatih script-reading (membaca skrip) selepas waktu bekerja iaitu selepas pukul 8 malam.

"Saya kena mengikut jadual artis-artis yang lain. Bukan semua orang mempunyai masa lapang dan semua pelakon kena berlatih secara berpasukan," katanya.

Akibat sibuk berlatih dan membuat persembahan nyanyian, Fara berkata dia masih mencari bahan untk single yang akan dikeluarkan nanti.

"Saya tidak tergesa-gesa mengeluarkan single baru. Fara sekarang umpama dilahirkan semula," katanya.

Ternyata Fara ingin berjaya bukan sahaja dalam bidang lakonan dan nyanyian semata-mata. Fara mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan. Terbaru, Fara menjadi pengacara jemputan untuk rancangan Nona di TV3 pada Ahad lalu.

Biarpun terlibat dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Fara akui prioritinya adalah tetap dalam bidang nyanyian.

Artikel Sebelum

Artikel Lain