suria

Ikim.fm siarkan rancangan khas Laporan Ibadah Haji

KUALA LUMPUR: Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Radio Ikim.fm) mulai 1 November lepas menyiarkan rancangan khas Laporan Ibadah Haji sehingga tamat musim haji iaitu pada 30 November ini.

Program tajaan Celcom (M) Bhd itu memberi peluang kepada para pendengar untuk mengikuti perkembangan semasa ibadah haji dari tanah suci Mekah dan Madinah.

Menurut satu kenyataan semalam, laporan khas itu dikendalikan oleh Penerbit dan Penyampai Ikim.fm Zamri Zainal Abidin yang dilantik oleh Lembaga Tabung Haji sebagai pembimbing Ibadah Haji 1430/2009.

Rancangan itu mempunyai dua format iaitu laporan harian tajaan khas Celcom dan yang kedua, format laporan khas pada Hari Wukuf di Padang Arafah.

Dalam format pertama laporan akan bersiaran sebanyak dua kali iaitu Buletin jam 12 tengah hari dan Buletin 6 petang selama lima minit.

Pada Sabtu dan Ahad, laporan disiarkan pada pukul 12.05 tengahari dan 6.05 petang.

Manakala bagi format kedua, laporan yang dinamakan Hari Wukuf Arafah, yang dijangka pada 26 November, akan disiarkan pada pukul 9 pagi waktu Malaysia dan seterusnya setiap dua jam sekali.

Kemuncaknya ialah khutbah Arafah pada pukul 1 tengah hari waktu Arab Saudi bersamaan pukul 6 petang waktu Malaysia, dan diikuti dengan satu lagi laporan pada pukul 3 petang waktu Arab Saudi (8 malam waktu Malaysia). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain