suria

Pegawai JAIS, Saksi Kedua Kes Khalwat Memey-Norman Mengaku Beri Keterangan Salah!

Norman dan Memey ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto UTUSAN
Norman dan Memey ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto UTUSAN
Norman dan Memey ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Gombak Barat (JAIS), Kyairool Nizam Khairuddin, saksi kedua bagi kes khalwat Memey-Norman semalam mengaku yang dia menggunakan definisi yang salah dan tidak tahu membezakan antara TERSEMBUNYI dan TERSELINDUNG.

Kyairool berkata demikian ketika membuat penjelasan tentang Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dalam kes ini.

Pengakuan ini dicatitkan ketika beliau ditanya oleh peguam Fakrul Azman Abu Hassan yang mewakili Memey, dan Norman di Mahkamah Rendah Gombak Timur pagi tadi.

Kyairool merupakan salah seorang dari 8 saksi dalam perbicaraan kes khalwat pasangan pelakon, Memey bersama Norman Hakim atau nama sebenar Mohamed Norhakim Zaidon, 33, yang didakwa berlaku di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam antara 1.45 pagi hingga 3 pagi, pada 30 Oktober 2008.

Saksi berusia 25 tahun ini, telah diasak berkali-kali untuk memberi definisi dan perbezaan antara 'Tersembunyi' dan 'Terselindung'.

FAKRUL: Sebagai pegawai penguatkuasa agama, adakah anda tahu kesalahan dan seksyen yang berkaitan sebelum tangkapan dibuat? Dalam kes ini, Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dalam kes ini.

KYAIROOL: Ya

FAKRUL: Merujuk kepada keterangan awal bersumpah anda, anda ditanya mengenai Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Selangor 1995.

Anda ada menyatakan bahawa Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) bermaksud mana-mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; serta orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang TERSEMBUNYI atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

FAKRUL: Dah berapa lama anda bekerja dengan JAIS?

KYAIROOL: 1 tahun 1 bulan.

FAKRUL: Dalam tempoh tersebut, sudah berapa lama tangkapan dan operasi dibuat?

KYAIROOL: Secara statistik, 3 hari ada 2 kes.

Fakrul kemudian merujuk kepada buku 'ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995' di mahkamah dan meminta Kyairool turut membacanya.

Bagaimanapun, kata Fakrul, Seksyen 29. Khalwat menyebut (1) Mana-mana: (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

FAKRUL: Setelah membacanya, adakah sama dengan keterangan bersumpah anda?

KYAIROOL: Sama maksudnya.

FAKRUL: Soalan saya, adakah sama dengan apa yang anda berikan? Anda menggunakan perkataan TERSEMBUNYI sedangkan definisi sebenar menggunakan perkataan TERSELINDUNG.

KYAIROOL: Tak sama.

FAKRUL: Jadi, adakah anda setuju anda telah memberikan keterangan yang tidak betul di mahkamah? Ini kerana apa yang anda sebut tentang Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) adalah tidak sama dengan definisi sebenar dalam buku ini (ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995).

KYAIROOL: Tidak setuju.

FAKRUL: Anda kata tidak setuju walaupun anda menggunakan perkataan TERSEMBUNYI. Saya kata TERSELINDUNG. Setujukah anda telah memberikan keterangan yang salah?

KYAIROOL: Setuju.

FAKRUL: Jadi bila Seksyen itu tidak ada menggunakan perkataan TERSEMBUNYI. Setujukah anda telah menambah perkataan sendiri dalam Seksyen tersebut?

KYAIROOL: Setuju.

FAKRUL: Jadi anda kata berpengalaman 1 tahun 1 bulan tetapi sebenarnya anda tidak tahu peruntukan dalam ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995 secara terperinci. Adakah anda bersetuju dengan saya.

KYAIROOL: Saya tidak setuju.

FAKRUL: ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995 jelas menyatakan tempat TERSELINDUNG tetapi anda katakan tempat TERSEMBUNYI. Adakah betul saya katakan anda telah memberikan definisi yang salah?

KYAIROOL: Betul.

FAKRUL: Setujukah anda sebagai pegawai penguatkuasa agama JAIS, anda perlu baca dan ingat secara terperinci.

KYAIROOL: Ya.

FAKRUL: Setuju atau tidak bila anda tidak baca Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Selangor 1995, tangkapan yang anda buat itu boleh menjadi satu tangkapan sembrono?

KYAIROOL: Tidak.

FAKRUL: Setuju atau tidak anda sebagai pegawai penguatkuasa agama JAIS, anda tidak tahu definisi Seksyen, ini amat memalukan JAIS.

KYAIROOL: Malu.

Ketika diasak beberapa kali oleh Fakrul, Kyairool turut mengaku dia telah memberikan keterangan yang bercanggah dengan keterangan ketua pegawai operasi, Abdul Rahman Lai.

Fakrul: "Dalam keterangan anda, anda beritahu mahkamah bahawa anda, Abdul Rahman Lai dan Nafarul naik ke atas premis itu bersama dua anggota polis.

Merujuk kepada keterangan Abdul Rahman Lai, beliau memberitahu mahkamah pada masa itu, anggota JAIS berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan naik ke atas sementara Abdul Rahman Lai mengawasi di bahagian bawah. Jadi saya katakan keterangan ini tidak betul."

Kyairool: Tidak setuju.

FAKRUL: Adakah kamu kata keterangan (ketua pegawai operasi) Abdul Rahman Lai itu tidak betul sebab dia berbohong?

KYAIROOL: Mungkin dia tidak pasti.

FAKRUL: Setujukah awak bahawa Abdul Rahman Lai ialah pembohong?

KYAIROOL: Tidak.

FAKRUL: Setujukah awak keterangan anda dan keterangan Abdul Rahman Lai adalah bercanggah.

KYAIROOL: Setuju.

FAKRUL: Dalam keadaan sedemikian, setujukah anda mahkamah sekarang mahkamah tidak tahu siapa yang bercakap bohong.

KYAIROOL: Ya.

FAKRUL: Setujukah anda kalau saya katakan awak telah memberikan keterangan yang bercanggah.

KYAIROOL: Setuju.

FAKRUL: Setujukah anda ialah saksi yang tidak boleh dipercayai dalam kes ini kerana telah dua kali menipu?

KYAIROOL: Tidak.

Sementara itu, Kyairool turut mengaku ketua pegawai operasi, Abdul Rahman Lai yang mengetahui operasi khalwat pada malam terbabit telah menipu dalam keterangan bersumpahnya.

Kyairool membuat pengakuan tersebut ketika disoal Fakrul mengenai bagaimana dia dan Abdul Rahman Lai tahu tentang tingkat di atas turut disewa oleh Norman.

FAKRUL: Merujuk kepada keterangan Abdul Rahman Lai, mahkamah diberitahu pengadu telah memaklumkan tingkat atas turut disewa oleh Norman, 15 minit selepas memasuki premis itu.

Anda pula menyatakan anda tahu maklumat (bahawa tingkat atas turut disewa oleh Norman) sebelum masuk ke premis itu lagi.

Adakah anda bersetuju keterangan anda telah bercanggah dengan keterangan Abdul Rahman Lai?

KYAIROOL: Tidak setuju.

FAKRUL: Adakah anda bersetuju ketua operasi anda telah menipu?

KYAIROOL: Ya

FAKRUL: Adakah anda tipu atau dia tipu?

KYAIROOL: Dia silap. Dia salah.

FAKRUL: Adakah anda bersetuju Ketua Operasi telah menipu mahkamah dalam keterangan bersumpah?

KYAIROOL: Setuju.

Hakim Syarie, Salehudin Yatim menetapkan 4 Disember ini dan 8 Januari, 15 Januari dan 5 Februari tahun depan pada 9 pagi untuk sambung bicara.

Artikel Sebelum

Yuna: Aizat saingan saya

Artikel Berikut

Artikel Lain