suria

Mirnawan ingin buang persepsi 'ahli sukan tak pandai menari'

Isma dan Zul muncul sebagai pasangan yang menerima markah tertinggi secara keseluruhannya iaitu 55 peratus - foto ASTRO
Isma dan Zul muncul sebagai pasangan yang menerima markah tertinggi secara keseluruhannya iaitu 55 peratus - foto ASTRO
Isma dan Zul muncul sebagai pasangan yang menerima markah tertinggi secara keseluruhannya iaitu 55 peratus - foto ASTRO

PENTAS Sehati Berdansa musim ketiga membuka tirai Sabtu lalu dengan menyaksikan persembahan tarian sembilan pasangan selebriti yang bertemakan 'Malam Yo' iaitu tarian hip-hop.

Isma AF7 dan suaminya, Zul nampaknya berjaya mengatasi lapan pasangan lain iaitu Sazzy Falak dan Nazril, Dira dan Ash, Anita Baharom dan Ismadi, Mirna dan Norah, Oshin dan Firdaus, Didie Alias dan Sham, Sein dan Nana serta Enot dan Zainul apabila muncul sebagai pasangan yang menerima markah tertinggi secara keseluruhannya iaitu 55 peratus, diikuti oleh pasangan Dira, Sein dan Sazzy.

Program pertandingan tarian ini diadili sebanyak 50 peratus oleh juri dan sebahagian lagi berdasarkan undian penonton melalui SMS atau talian tetap.

Juri tetap untuk musim ini ialah Joseph Gonzales manakala koregrafer Michael Xavier dan penyanyi Cat Farish telah diundang sebagai juri jemputan minggu lalu.

Namun begitu, agak 'malang' buat bekas pemain hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi atau Mirna dan isterinya, Norah yang memungut kutipan markah terendah berbanding pasangan-pasangan lain.

Cuma pasangan ini masih bernasib baik kerana pusingan kali ini tidak menyaksikan sebarang penyingkiran. Jika tidak, pastinya perjalanan pasangan tersebut di dalam program ini akan terhenti pada minggu pertama ini.

Ditemui sejurus berakhirnya program Debaran Sehati Berdansa kelmarin, akui Mirna, dia amat sedih apabila diumumkan tersingkir pada awalnya.

Namun setelah keputusan itu ditarik balik, dia merasakan peluang tersebut tidak boleh disia-siakan dan akan cuba melakukan persembahan yang lebih baik untuk minggu kedua nanti.

"Sedih sangat pada awalnya, kerana ini baru minggu pertama. Kami memang mengharapkan sangat agar tidak ada penyingkiran untuk minggu pertama ini. Tapi dalam masa yang sama, kami tetap bersiap-sedia kerana program ini memang banyak 'kejutan'.

"Apapun, kami gembira diberikan peluang kedua. Kami sudah mempelajari tarian hip-hop dan harap-harap, dapatlah kekal lama supaya dapat belajar lebih banyak tarian lagi," kata Mirna yang mewakili badan kebajikan Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan ini.

Semua pasangan selebriti di dalam program ini turut mewakili badan kebajikan tertentu di mana setiap minggu sebanyak RM1,000 akan disumbangkan kepada badan-badan tersebut jika pasangan yang mewakilinya masih kekal di dalam program Sehati Berdansa ini.

Ditanya sama ada dia memang sudah menjangkakan akan menjadi pasangan pertama tersingkir berdasarkan persembahannya pada minggu tersebut, kata Mirna, dia tidak terlintas tentang perkara itu.

"Saya rasa sudah buat yang terbaik menerusi persembahan tempoh hari. Dan bila menonton semula persembahan saya itu, saya rasa tidaklah terlalu teruk.

"Kalau ikutkan, saya sendiri terkejut sebab mampu lakukannya walaupun hanya berlatih selama tiga hari saja. Memang saya dan isteri bangga dengan pencapaian kami.

"Tetapi mungkin juga juri melihat daripada aspek-aspek tertentu," kata Mirna yang dibimbing oleh Dayana, koregrafer untuk pasangan ini.

Isteri Mirna, Norah juga menambah, andai kata tersingkir pada malam itu, dia pasti akan rasa bersalah.

"Ada sedikit yang saya tersilap sewaktu buat persembahan, tapi nasib baik Mirna pandai 'cover' ketika itu. Sebab itulah kalau kami tersingkir juga, saya pasti akan menyalahkan diri saya," katanya yang bertugas sebagai pramugari.

Dalam pada itu, Mirna juga berkata, dia seboleh mungkin ingin mengikis tanggapan ramai yang merasakan ahli sukan sepertinya tidak boleh menari dengan baik.

Jika melihat dua musim terdahulu, ahli sukan yang menyertai program ini sering dilihat tersingkir awal. Namun, Mirna tidak mahu persepsi seperti itu lekat di dalam minda penonton.

"Saya ingin cuba ubah tanggapan bahawa ahli sukan tidak boleh menari dan akan tersingkir awal. Persepsi itu yang membuatkan penonton juga tidak meletakkan harapan yang tinggi pada pasangan tersebut.

"Apapun, saya sendiri akan cuba yang terbaik dan terpulanglah kepada pengundi di luar sana dan juri untuk menilai," katanya.

Artikel Lain