suria

'Saya tidak pernah memusuhi wartawan' - Yuna

"Sebagai orang baru, saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Mungkin saya perlu lebih berhati-hati selepas ini agar orang tidak berkecil hati," kata Yuna - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
"Sebagai orang baru, saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Mungkin saya perlu lebih berhati-hati selepas ini agar orang tidak berkecil hati," kata Yuna - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

YUNALIS Zarai, atau popular dengan nama Yuna ini telah mencetuskan satu 'fenomena' baru di dalam industri hiburan apabila lagu Dan Sebenarnya menjadi kegilaan ramai anak-anak muda.

Dengan imej bertudung dan kebolehannya bermain gitar, penyanyi berusia 22 tahun ini berjaya mencuri perhatian peminat-peminat muzik tanahair dengan 'keunikan' personalitinya itu.

Namun, nampaknya satu demi satu kisah kurang enak tentang penyanyi berbakat besar ini muncul sejak akhir-akhir ini. Sememangnya sukar untuk membuat andaian sama ada benar puncanya adalah daripada dirinya sendiri atau ia berlaku secara tidak 'sengaja'.

Yuna dikaitkan sebagai 'artis bermasalah' apabila ada segelintir wartawan mengadu tidak 'berkenan' dengan penyanyi ini yang dilihat tidak mesra dengan pihak media.

Malah, sebelum ini juga pernah timbul satu salah faham yang mengatakan penyanyi ini sanggup menipu untuk mengelak daripada menjalani sesi fotografi bersama media dengan memberikan alasan bapa saudaranya meninggal dunia.

Meskipun Yuna sendiri sudah merungkai salah faham tersebut, namun tidak dinafikan, sedikit-sebanyak imejnya ketika itu turut tercalar.

Namun, mengenali gadis kelahiran Alor Star, Kedah ini, diakui, dia sememangnya seorang yang bijak berkata-kata dan tidak lokek dengan senyuman.

Lantaran itu, bila timbulnya pula kisah terbaru yang mengatakan dia tidak mesra dengan wartawan, Yuna akui perkara itu memang membuatkan dirinya sedikit terguris.

"Saya akui, saya memang seorang yang sangat 'low-profile' dan pendiam. Sifat itu mungkin sukar untuk saya ubah. Saya jadi kekok sedikit jika tidak mengenali orang tersebut.

"Disebabkan itu, orang salah tafsir tentang diri saya kerana mereka tidak benar-benar mengenali saya. Saya boleh bercampur-gaul dengan sesiapa saja jika sudah kenal.

"Seperti kisah terbaru ini yang mengatakan saya tidak mesra dengan wartawan ketika hadir untuk satu sesi fotografi, sebenarnya bukanlah bermaksud sombong atau sebagainya. Saya tetap senyum dan melambai kepadanya kerana perlu bergegas ke tempat lain.

"Apapun, saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan saya ambil sebagai satu pengajaran. Sebagai orang baru, saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Mungkin saya perlu lebih berhati-hati selepas ini agar orang tidak berkecil hati," kata Yuna.

Kata pemilik Yuna Room Records dan IAMJETFUEL Enterprise ini, sebagai artis yang baru meningkat naik, dia tidak pernah terfikir untuk 'besar diri' mahupun 'memusuhi' wartawan.

"Wartawan dan artis saling memerlukan. Jika tidak kerana wartawan, orang tidak akan mengenali siapa Yuna. Saya hargai segala sokongan yang sering diberikan oleh wartawan," ujarnya.

Ditanya bagaimana penerimaan peminat-peminatnya gara-gara kisah negatif seperti itu, kata Yuna, dia bersyukur kerana sokongan peminat masih utuh. Yuna juga akui, pada awalnya agak takut kerana sering dihambat dengan kontroversi seperti itu.

"Bila kena benda-benda macam ini, saya memang takut. Maklumlah, perjalanan saya di dalam indstri 'mainstream' ini baru saja bermula. Tapi saya terima segala kritikan tersebut dan akan meneruskan hidup seperti biasa.

"Kalau masih ada rezeki, insya-allah saya mampu bertahan lama dalam industri ini," katanya yang turut mendapat sokongan yang tidak putus-putus daripada ibubapanya.

Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, dia kini sedang di dalam proses pembikinan album penuh yang bakal memuatkan 10 buah lagu. Setakat ini, empat buah lagu Melayu ciptaannya sendiri termasuklah Dan Sebenarnya telah pun siap dirakamkan.

Enam buah lagu lagi adalah di dalam bahasa Inggeris.

Menurut Yuna lagi, dia juga terpaksa memendamkan dulu hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana kerana ingin memberi tumpuan di dalam bidang seni terlebih dahulu.

"Saya baru saja tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UiTM dan insya-allah, saya akan menerima ijazah saya pada konvokesyen yang akan berlangsung Selasa ini.

"Impian untuk terus sambung ke peringkat Sarjana itu memang ada, tetapi saya rasa biarlah saya fokus dulu kepada nyanyian dan akan tetap meneruskan hasrat saya itu kelak," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi ini juga melahirkan rasa gembira kerana lagu popularnya, Dan Sebenarnya berjaya mara ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik pada tahun ini.

Kata Yuna, dia sama sekali tidak menyangka lagu tersebut mendapat sambutan yang 'luar biasa'.

"Lagu tersebut sebenarnya diilhamkan daripada kisah kawan saya, Wani yang putus cinta ketika itu. Niat saya hanya untuk menggembirakannya, tetapi tak sangka pula lagu tersebut disukai ramai.

"Apapun, saya tidak letakkan harapan tinggi dalam Muzik-Muzik ini. Tercalon di peringkat separuh akhir sudah dikira cukup baik. Jika layak ke peringkat akhir, saya menganggap ia sebagai satu bonus," ujar Yuna.

Artikel Berikut

Artikel Lain