suria

Gaya 'gengster' Zed pikat hati peminat Singapura

Zed membuat inisiatif sendiri dengan menampilkan imej berbeza menerusi watak Ray - foto ihsan ZED ZAIDI
Zed membuat inisiatif sendiri dengan menampilkan imej berbeza menerusi watak Ray - foto ihsan ZED ZAIDI
Zed membuat inisiatif sendiri dengan menampilkan imej berbeza menerusi watak Ray - foto ihsan ZED ZAIDI

SEMINGGU berada di Kota Singa sempena pementasan Impak Maksima The Musical (IMTM) di Esplanade, baru-baru ini telah memberikan satu pengalaman baru buat Zed Zaidi.

Bukan saja kagum dengan cara kerja produksi di sana, malah pelakon berusia 29 tahun ini juga terpesona dengan 'attitude' dan sokongan yang ditunjukkan oleh penonton-penonton ketika IMTM dipentaskan pada 17 dan 18 Oktober lalu.

"Sepanjang dua hari pementasan berlangsung, saya memang cukup kagum dengan respon penonton-penonton di sana. Mereka buatkan kami pelakon-pelakon lebih bersemangat ketika di pentas.

"Rasa berbaloi sangat setelah penat menjalani latihan, termasuklah sesi 'rehearsal' yang kami lakukan setiap hari ketika berada di Singapura kerana sambutan yang kami terima memang benar-benar di luar jangkaan.

"Begitu juga dengan cara kerja orang-orang di Esplanade. Mereka cukup teliti, berdisiplin dan sangat profesional dengan produksi luar seperti kami," ujar Zed ketika ditemui baru-baru ini.

Selain Zed, turut membintangi teater arahan Ahmad Idham ini antara lain ialah Kamal Adli, Mardiana Alwi, Wangi, Cat dan Dina.

Mengulas mengenai watak gengster bernama Ray yang dipegangnya di dalam teater ini, kata Zed, karektor yang ditonjolkan masih lagi sama seperti mana yang dibawanya sewaktu pementasan IMTM di Istana Budaya (IB) tidak lama dulu.

Namun, Zed mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kelainan dari segi imej pada watak tersebut yang disifatkannya kali ini lebih menjurus kepada gaya 'gengster Singapura'.

Kata Zed, tidak salah untuk dia berbuat demikian apatah lagi teater itu sememangnya dipentaskan di sana.

"Watak tetap sama, cuma saya tampilkan gaya lakonan dan imej yang berbeza untuk pementasan di Singapura kerana tidak mahu dilihat sama dengan apa yang saya pamerkan di IB dulu.

"Saya sengaja masukkan sedikit acuan 'Singapura' untuk gaya gengster kali ini dan lakonan saya juga lebih 'laidback'.

"Saya cuba perhatikan dan belajar sikit-sikit karektor dan gaya bahasa masyarakat sana ketika sesi latihan dengan beberapa penari dari Singapura.

"Kali ini juga, watak Ray perlu lebih banyak menari berbanding dulu dan antaranya, saya perlu menari salsa.

"Apapun, saya memang amat berpuas hati dengan watak kali ini. Selain imej, kereta drift yang turut dibawa di pentas sebenarnya secara tidak langsung mendatangkan 'aura' pada saya untuk lebih 'all-out'," kata Zed yang akui mendapat respon baik daripada penonton-penonton di sana terhadap wataknya itu.

Dalam perkembangan lain, Zed juga kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Nenek Kebaya yang akan ditayangkan di slot Lagenda di TV3 bermula 3 November depan.

Selain Zed, turut membintangi drama arahan Ismail Yacob ini ialah Raisudin Hamzah, Amyza Aznan, Mariani, Zed Zaidi, Pekin, Izreen Aminda, Ghazali Abu Noh dan Nadia Kesuma.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain