suria

Gandingan Siti-KD untuk album baru tidak akan terjejas

Siti tampil dengan lagu nyanyian bersama empat beradik menerusi 'Kini Kau Jauh'. -foto The Star oleh RAYMOND OOI
Siti tampil dengan lagu nyanyian bersama empat beradik menerusi 'Kini Kau Jauh'. -foto The Star oleh RAYMOND OOI
Siti tampil dengan lagu nyanyian bersama empat beradik menerusi 'Kini Kau Jauh'. -foto The Star oleh RAYMOND OOI

HASRAT ibunya, Siti Salmah Bachik sebolehnya akan dituruti oleh Datuk Siti Nurhaliza seperti idea untuk menghasilkan lagu tribut untuk arwah bapanya, Tarudin Ismail.

Penyanyi tersohor yang telah mendapat lebih 200 anugerah tempatan termasuk antarabangsa ini berkata dia dan empat beradik yang lain-Ayie, Saida, Saerah dan Ali telah pun siap merakamkan lagu ‘Kini Kau Jauh’ yang dihasilkan khas untuk mengenang ayah mereka, Tarudin yang telah meninggal dunia pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung.

Menurut wanita berusia 30 tahun ini, lagu ciptaan Aidit Alfian dan liriknya oleh Ad Samad itu akan dimuatkan dalam album duo Saerah dan Saida.

Cerita anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini, ibunya kerap kali datang ke studio sepanjang mereka berlima merakam lagu itu.

"Seronok tu memanglah apabila dapat merakamkan lagu bersama adik-beradik yang lain tambahan pula kerja saya memang merakam lagu dan melakukan persembahan.

"Cuma antara kami berlima, Ali dan Abang Ayie perlu ambil masa sedikit sebab Ali tak biasa buat rakaman dan cuma pernah buat persembahan dengan band indie sendiri.

"Ikutkan abang saya yang sulung dan adik bongsu saya boleh menyanyi tetapi mereka berdua tidak dapat turut serta dalam lagu itu.

"Kami berlima pun menyanyi sekadar untuk suka-suka," ujar Siti mengenai rakaman lagu berentak balada itu.

Dalam perkembangan lain, Siti turut akan memulakan rakaman album duonya dengan penyanyi Indonesia Krisdayanti (KD) pada hujung Disember ini.

"KD telah bersetuju untuk melakukan rakaman album di Malaysia tetapi kami akan menerbitkan album itu bersama-sama," ujar Siti.

Kata Siti, dia telah siap mengumpul lima buah lagu untuk menghasilkan album yang bakal memuatkan paling maksimum lapan buah lagu.

Siti juga menegaskan sekali lagi yang gandingannya dengan KD tidak akan terjejas walaupun penyanyi lagu ‘Menghitung Hari’ itu belum memberikan lagu dan menetapkan waktu untuk rakaman lagu mereka.

Hari ini, KD akan melancarkan album ‘Aku Wanita Biasa’ di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, pukul 3 petang.

Pada pukul 8.30 malam Siti memberitahu dia akan menghadiri showcase amal KD untuk mengutip derma tabung Gempa Bumi Padang Indonesia di lokasi yang sama.

Tak sesuai lakon watak Qistina

Baru-baru ini, pelakon popular Azizah Mahzan memaklumkan yang watak Qistina dalam ‘Spa Qistina’ atau ‘Spa-Q’ yang sebelum ini dilakonkan oleh Norish Karman tidak sesuai untuk dilakonkan olehnya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu berirama pop, pop rock, R&B dan irama Malaysia ini berkata ‘setakat ini tiada perbincangan dengan saya tentang perkara itu. Tidak mengapalah saya tak berlakon dalam drama itu dan berilah kepada orang lain.’

‘Tahajjud Cinta’ terjual lebih 5,000 unit

Selepas album ke-14, ‘Tahajjud Cinta’ berada di pasaran sejak awal Ramadan lalu, Siti berkata dia berpuas hati dengan jualan album yang telah terjual lebih 5,000 unit itu dan sekarang akan diulang cetak lagi atas permintaan.

Mengenai pasaran album di Indonesia, Siti akui agak terjejas sedikit ekoran ‘kekeruhan’ yang berlaku antara Malaysia dan negara itu.

Bagaimanapun, Siti berkata orang Indonesia masih ‘membuka pintu’ kepadanya.

"Alhamdulillah, saya juga ada mengikuti teknologi moden sekarang dan akan cuba mengejar ‘trend’ untuk terus menghasilkan album," jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain