suria

Diana Rafar terfikir untuk 'bersara' seketika

SEJAK bergelar isteri kepada pelakon Zamarul Hisham, akui Diana Rafar, dia lebih selesa menguruskan spa miliknya, D'Lugano Spa yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam.

Kata pelakon berusia 27 tahun ini, dia mempunyai impian besar untuk memajukan bisnesnya itu dan lantaran itu, pernah terfikir untuk bersara seketika daripada bidang seni.

Namun, hasrat itu nampaknya terpaksa dipendam dulu oleh Diana.

"Ikutkan perancangan saya, memang saya ingin berhenti berlakon buat sementara. Perkara itu memang sudah saya fikirkan sejak berkahwin. Tetapi nampaknya, selepas itu, tawaran berlakon yang diberikan kepada saya bagus-bagus pula.

"Jadi, sukar untuk saya menolak. Terbaru, saya sedang dalam proses penggambaran drama bersiri Nenek Kebaya arahan Ismail Yacob dan apa yang boleh saya katakan, watak yang saya pegang di dalam drama ini memang mencabar," ujar Diana yang mendirikan rumahtangga dengan Zamarul pada 16 Mei lalu.

Bercerita lanjut tentang watak Samsiah yang dipegang menerusi drama ini, kata Diana, amat sukar untuk dirinya cuba menjiwai watak tersebut memandangkan Samsiah memerlukannya tampil dalam dua karektor berbeza.

"Sebelum ini, ketika berlakon di dalam filem Susuk, saya memegang watak yang melalui tiga transformasi dari segi karektornya. Tapi ketika itu ia tidak begitu ketara.

"Namun berbeza dengan watak Samsiah. Saya perlu tampil dengan karektor baik, kemudiannya bertukar kepada karetor jahat...dari seorang gadis kampung, kemudian menjadi 'nenek kebaya'. Memang cukup sukar, tetapi pengarah, Ismail banyak membantu.

"Dan yang menariknya, ada sebab mengapa dia dipanggil Nenek Kebaya," katanya.

Nenek Kebaya akan ditayangkan di slot Lagenda di TV3 bermula 3 November depan, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 4.30 petang.

Turut membintangi drama ini ialah Raisudin Hamzah, Amyza Aznan, Mariani, Zed Zaidi, Pekin, Izreen Aminda, Ghazali Abu Noh dan Nadia Kesuma.

Nenek Kebaya bermula dengan kisah purba mengenai tuduhan percintaan cucu Mak Inang, Indera Laksamana dengan Puteri Sinar Cahaya diketahui Raja Negara Kembayat Cahaya.

Indera Laksamana sudah pun bertunang dengan cucu angkat Mak Inang, Intan Sari yang kemudian memusuhi Puteri Sinar Cahaya yang dianggap perampas kekasihnya. Sultan mendakwa Mak Inang menjadi orang tengah di antara puterinya dan Indera.

Sebagai hukuman, Mak Inang dibuang ke tengah rimba selepas matanya dibutakan manakala Indera Laksamana dijatuhi hukuman mati. Puteri Sinar Cahaya dikahwinkan dengan Putera Wira Satria.

Di dalam hutan, Mak Inang telah diselamatkan oleh Intan Sari. Matanya disembuhkan oleh Sang Pertapa yang mempunyai pelbagai ilmu, tetapi membawa kepada kejahatan.

Intan Sari mengambil keputusan untuk membalas dendam atas kematian tunangnya dan menuntut ilmu daripada Sang Pertapa. Namun, dia harus menunggu sehingga tujuh keturunan untuk membalas dendam.

Selepas tujuh keturunan, hanya tinggal seorang pewaris generasinya, Nenek Putih atau Nenek Kebayan dan cicitnya, Samsiah. Samsiah digunakan oleh Intan Sari untuk melaksanakan dendamnya. Tuan Adam pula adalah keturunan ketujuh yang dimaksudkan itu. Apabila Samsiah dikahwinkan dengan Tuan Adam, pelbagai perkara ganjil mula berlaku.

Ditanya sama ada ini akan menjadi drama terakhirnya sebelum mengambil keputusan untuk 'berehat' seketika kita, tutur Diana, dia sendiri sukar meramalkannya buat masa ini.

"Saya sudah tak berani nak rancang macam tu lagi. Lagipun, mungkin kerana sudah lama bergelar anak seni, jadi sukar untuk saya berbuat demikian. Bukannya apa, terfikir juga, takkan nak menolak jika tawaran berlakon yang saya dapat itu bagus.

"Mahu atau tidak, kenalah saya bahagikan masa sebaik mungkin antara suami, bisnes dan karier seni. Saya akui, memang kadang-kadang tu tak terkejar dibuatnya, apatah lagi saya pun baru saja berkahwin.

"Tetapi nasib baik Zamarul juga amat memahami," ujar Diana yang juga turut mengimpikan untuk memiliki cahaya mata andai dikurniakan rezeki.

Artikel Lain