suria

MUH ‘cerewet’ cari pengganti Lan

Ahli kumpulan MUH: Taja (kiri), Afat (dua dari kanan), dan Babab (dua dari kiri) manakala Apit (kanan) sebagai pemain jemputan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Ahli kumpulan MUH: Taja (kiri), Afat (dua dari kanan), dan Babab (dua dari kiri) manakala Apit (kanan) sebagai pemain jemputan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Ahli kumpulan MUH: Taja (kiri), Afat (dua dari kanan), dan Babab (dua dari kiri) manakala Apit (kanan) sebagai pemain jemputan. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

SEMENJAK ketiadaan Lan, berlumba-lumba orang yang berminat untuk menggantikan tempat bekas vokalis band Meet Uncle Hussain (MUH) itu.

Antaranya adalah kenalan-kenalan daripada rakan seperjuangan dalam industri muzik seperti kawan Noh Hujan dan kawan Aizat.

Buat masa ini, MUH dianggotai oleh Taja, Afat, dan Babab manakala Apit dipanggil sebagai pemain jemputan.

Namun begitu, gitaris MUH dan komposer Nik Mustaza Nik Mustapha atau Taja memberitahu dia dan anggota MUH yang lain tidak tergesa-gesa untuk mencari vokalis baru kerana tidak mahu tersalah pilih vokalis yang betul-betul boleh menerajui kumpulan itu.

“Kami tak nak pilih (vokalis) sesuka hati dan sekarang ini masih melihat calon-calon yang sesuai.

“Sesiapa yang ingin menjadi vokalis MUH perlu serasi dan sesuai dengan karektor dan tergolong dalam golongan yang boleh menyanyi tetapi dia tak semestinya perlu bersuara tinggi.

“Biar suaranya sengau dan nyaring seperti Bams Samson pun asalkan dia ada karektor.

“Ada yang mempunyai suara sedap tetapi tidak pandai menyanyi dan ada yang pandai menyanyi tetapi suara pula tak sedap.

“Saya rasa bonus kalau dapat yang pandai menyanyi dan bersuara sedap,” ulasnya.

Taja berkata mereka agak bernasib baik kerana masih awal untuk menggantikan vokalis lamanya yang telah menubuhkan kumpulan sendiri, Azlan & The Typewriter itu.

Jika tidak, mungkin nasib mereka menjadi lebih teruk berbanding band-band yang pernah kehilangan vokalis mereka seperti Search, Lefthanded, Wings dan Exist (sekadar memberikan beberapa nama).

“Kami bernasib baik sebab belum ada album. Jadi, mungkin ada yang belum mengenali MUH tidak susah untuk menerima vokalis baru itu nanti,” jawabnya.

Setakat ini, diam tak diam, MUH telah pun tampil dengan lagu terbaru mereka, ‘Mensyukuri Syawal’ hasil kolaborasi dengan band baru, L. Danielle.

L. Danielle merupakan band yang sebumbung dengan MUH di bawah label The Archieves yang ditubuhkan pada tahun ini.

Selain itu, The Archieves sedang dalam perancangan untuk mengambil seorang artis wanita solo untuk bernaung di bawah syarikat itu.

Lan masih boleh menyanyi lagu MUH

Ditanya sama ada Lan masih lagi boleh mendendangkan lagu-lagu MUH seperti ‘Lagu Untukmu’, ‘Lalala..Kerja’, ‘Pari-Pari Bawah Angin’, dan ‘Halusinasi’, Taja berkata dia membenarkan vokalis itu untuk menyanyikan lagu-lagu mereka termasuk lagu ciptaannya.

Dalam perkembangan yang lain, Taja turut meuar-uarkan tentang penglibatan Black dalam projek terbarunya.

Black telah merakamkan lagu ciptanya berjudul ‘Drama King’ yang akan diputarkan awal November ini.

“Orang ingat kami sudah berkubur tetapi kami sebenarnya masih meneruskan perjuangan.

“Sebelum ini kami ada juga merancang untuk berehat dan dalam pada berehat tu kami turut mengumpul ‘material’ baru.

“Kolaborasi kami dengan Black berlaku atas inisiatif dan cadangan pengurus Monkey Bone, Ederis.

“Jadi setelah fikir semula, tak salah kami berikan lagu itu kepada Black kerana ia bukan sahaja beridentitikan MUH malah turut beridentitikan Black.

“Lagu ‘Drama King’ menjadi satu perkara baru untuk MUH dan Black,” beritahunya mengenai lirik lagu yang ditulis oleh Tun Teja itu.

Selain itu, MUH juga akan terikat untuk mempromosikan filem ‘Lu Pikirlah Sendiri’ lakonan Nabil yang akan ditayangkan pada Februari 2010.

MUH bukan sahaja terlibat sebagai pelakon cameo dalam filem itu malah mereka juga terlibat dalam menjayakan pembikinan lagu runut bunyi filem yang turut dilakonkan oleh Puteri Sarah itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain