suria

Keluarga Fizz berkenan Almy jadi menantu

Fizz-Almy belum sempat beraya bersama. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Fizz-Almy belum sempat beraya bersama. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Fizz-Almy belum sempat beraya bersama. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

RAMAI sudah mengetahui hubungan aktor dan aktres yang sedang hangat bercinta, Fizz Fairuz dan Almy Nadia.

Kini, hubungan cinta mereka masih kukuh sejak dua tahun lalu cuma masing-masing tidak mempunyai masa untuk bersua muka sepanjang Hari Raya ini.

Apabila Almy mempunyai masa lapang, Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairus Zainal Abidin pula sibuk berlakon. Begitu juga sebaliknya.

Semasa Fizz mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pada hujung minggu lalu, sempat juga bertanya tentang Almy namun Fizz mengatakan yang kekasih hatinya itu tidak dapat hadir atas sebab sedang menjalani pengambaran sebuah telefilem.

Rumah terbuka itu diadakan di rumah yang diduduki Fizz bersama kakak dan abang iparnya di Gombak sekitar pukul 5 petang hingga 1 pagi.

“Almy habis penggambaran pada pukul 1 pagi (Sabtu) jadi sebab itu dia tak dapat datang. Setakat ini, kami belum sempat beraya bersama-sama sebab sibuk dengan kerja masing-masing.

“Kami belum berjumpa lagi..... apabila dia pulang dari raya di kampungnya di Pulau Pinang, saya pula mula penggambaran dan selepas itu dia pula sibuk dengan penggambaran.

“Hubungan kami macam biasa ‘ok’ dan tiada masalah cuma masing-masing sibuk dengan kerja,” kata Fizz yang tidak mempunyai perancangan untuk melamar Almy setakat ini.

Ditanya tentang bila masanya dia akan bersedia untuk melamar kekasih hati memandangkan Fizz akui sudah cukup duit untuk kahwin, pelakon popular menerusi drama ‘Nur Kasih’, ‘Impak Maksima’, ‘Kekasihku Seru’ dan filem ‘Orang Minyak’ ini hanya menjawab ‘no komen’.

Jawabnya lagi secara ringkas, “Saya hanya tunggu masa sesuai dan kalau ada jodoh dengannya. Diam-diam sudahlah kerana saya tak suka cakap banyak-banyak tentang hal ini.”

Dalam nada bergurau, Fizz sempat memberitahu, “Kalau berkawan 10 tahun pun ‘ok’.”

Walaupun begitu, Fizz tidak lokek berkongsi tentang pengalamannya mengenali keluarga Almy.

Fizz berkata dia pernah beramah mesra dan berjumpa dengan keluarga pelakon drama ‘Dunia Baru’ dan ‘Senandung Si Dayang’ itu.

“Saya pernah berjumpa dengan keluarganya sekali. Kalau bercakap melalui telefon tu ada juga seperti waktu Almy pulang berhari raya ke kampung baru-baru ini.

“Saya ni pun bukannya jenis nak lebih-lebih mesra dengan keluarganya kerana bersikap ‘brutal’ sikit,” beritahu anak jati Raub, Pahang ini yang telah empat tahun menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri sejak bergelar artis ini.

Pelakon berusia 30 tahun ini tidak kisah berhabis duit sendiri untuk meraikan tetamu yang hadir termasuk rakan-rakan artis.

Antaranya yang hadir pada hari itu adalah pengacara dan produser Azwan Ali, penyanyi, pelakon dan produser Mawi, serta pelakon Syafie Naswip (Mukhsin).

Bercerita mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, anak kelima daripada sembilan beradik ini akui ‘mood’ rayanya agak berlainan kerana sudah dua tahun beraya tanpa ayah tersayang dan merasai kekosongan itu.

“Saya rasa lain sangat-sangat sebab pada malam raya dia selalu ada dan membakar lemang untuk kami sekeluarga.

“Tetapi saya rasa tahun lepas lebih terasa kehilangan berbanding tahun ini,” luahnya yang menyambut raya bersama ibu, Noorhaizan Jantan, 62, lapan adik-beradik lain, tujuh orang ipar dan 14 orang di rumah ibunya di Raub pada Hari Raya pertama lalu.

Adik-beradiknya yang lain adalah Zulaika, 40, Mohd Faizal, 37, Zuraidah, 35, Zurina, 32, Zurawati, 27, Mohd Fazrin, 25, Noormahirah, 23, da Mohd Hafizullah, 19.

Ibu dan keluarga setuju pilihan Fizz

Kesempatan berbual dengan ibu Fizz, Noorhaizan digunakan untuk bertanya tentang Almy sama ada gadis itu menepati ciri-ciri menantu pilihannya.

Kata Noorhaizan, dia tidak kisah dengan pilihan anaknya yang mesra dengan panggilan Fairus atau Alang dikalangan ahli keluarganya itu.

“Kami suka dengan Almy dan arwah ayah Fairus juga berkenan dengannya. Jadi, saya dan keluarga tiada masalah untuk menjadikan Almy sebagai calon isteri Fizz.

“Kadangkala tu Almy biasa juga datang ke sini (rumah Fizz) apabila saya datang ke sini.

“Saya tak tahu lagi bila mereka akan berkahwin sebab apabila saya tanya Fairus biasanya dia diam sahaja. Kami sekeluarga ikut sahaja kerana perkahwinan ini benda yang baik.

“Lagipun, mereka berkawan sejak arwah ayah dia ada lagi. Saya ada juga nasihatkan Fairus untuk simpan duit untuk kahwin,” katanya yang mempunyai tiga orang anak yang belum berkahwin lagi termasuk Fizz.

Mahu bekerja dengan Kabir jika skrip menarik

Melihat lakonannya sebagai Adam menerusi drama ‘Nur Kasih’, ramai yang memuji lakonan Fizz dan juga tunggak utama yang lain iaitu Tiz Zaqyah dan Remy Ishak.

‘Nur Kasih’ merupakan kerjasama Fizz yang kedua bersama pengarahnya, Kabir Bhatia selepas drama ‘Kekasihku Seru’.

Ulas Fizz, dia berhasrat untuk berlakon di bawah pengarah filem ‘Cinta’ dan ‘Sepi’ itu lagi andai skripnya menarik.

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, Fizz berkata dia sedang dalam proses pengambaran dua buah drama 13 episod iaitu ‘Kasih Tania’ untuk RTM dan ‘Sonata Labu Labi’ untuk Astro Warna.

“Jalan cerita ‘Sonata Labu Labi’ masih sama dengan telefilem ini dulu iaitu kisah angan-angan Labu dan Labi dengan anak majikannya, Manisah cuma ceritanya lebih menarik dengan penambahan plot dan konflik cerita.

“Drama ini masih dilakonkan oleh saya, Nabil dan Emelda Rosmila manakala pengarahnya juga Adlin Aman Ramlie.

“Sementara ‘Kisah Tania’ pula menceritakan tentang Azmi lakonan saya yang lebih menyayangi kambinganya, Tania berbanding isterinya Azie (Nadia Mustafar).

“Drama ini juga dilakonkan oleh Norlia Ghani sebagai ibu Azmi.

“Ini merupakan kali pertama saya berlakon dengan binatang. Bagi saya tiada cabarannya untuk berlakon dengan kambing kerana saya hanya perlu tahu bagaimana hendak manjakan dia untuk menjadi jinak,” beritahunya yang juga membuat bisnes menternak kambing dan menurutnya bisnes itu makin maju.

Fizz juga menafikan yang dia diambil berlakon dalam drama itu kerana pekerjaannya sebagai penternak kambing sebaliknya kesesuaian watak dan keakrabannya dengan pengarah ‘Kasih Tania’, Mohd. Heykal Mohd. Hanifah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain