Nikki bergantung pada ibunya, Joanna Joannes, menguruskan majlis resepsi perkahwinannya bersama Audi Mok di Sabah pada 26 Disember nanti. - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAHPERKAHWINAN antara penyanyi, Nikki atau Nicolette Louisa Palikat bersama komposer terkenal, Audi Mok Chuang Yew pada 27 Jun lalu menjadi satu detik manis buat merpati dua sejoli ini.Namun kerana sibuk dengan tugas masing-masing, menurut Nikki hingga ke hari ini dia dan suaminya masih belum berpeluang menjalankan majlis resepsi di Sabah dan juga bulan madu sebenar mereka di Jordan. "Jadual waktu kami begitu padat, masing-masing tiada masa untuk memikirkan berbagai perancangan selepas berkahwin."Selepas majlis perkahwinan kami pada 27 Jun lalu, kami hanya sempat untuk bercuti ke Bali selama lima hari pada 2 Julai lalu."Itupun percutian tersebut kami anggap macam pra bulan madu kami, bukan bulan madu yang sebenar... kami bercuti ke Bali hanya sekadar untuk lepaskan 'tension' dan berehat setelah masing-masing penat menguruskan majlis perkahwinan."Bulan madu kami yang sebenar kami rancang hendak ke Jordan, tetapi sehingga hari ini kami masing-masing sibuk dengan kerja dan susah untuk pilih tarikh yang sesuai untuk bulan madu kami," katanya.Ditanya mengapa Jordan menjadi pilihan destinasi bulan madu mereka, Nikki mengatakan Jordan merupakan sebuah negara yang biasa dikunjungi oleh orang ramai dan mempunyai banyak tempat bersejarah."Kami pilih Jordan kerana negara ini merupakan tumpuan pelancong dan mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah."Saya ada tengok gambar melalui internet dan apa yang boleh saya katakan bangunan dan kawasan-kawasan di sana sangat eksotik."Tetapi saya tidak tahu bila kami akan berpeluang ke sana... harap-harap kami akan mempunyai masa yang terluang untuk ke Jordan," jelas wanita berusia 24 tahun ini.Kerana terlalu sibuk juga, Nikki memberitahu ibunya, Joanna Joannes, sudah mula berleter mengenai majlis resepsi perkahwinannya di Sabah yang masih tertangguh."Ibu saya sudah mula berleter menanyakan saya mengenai majlis resepsi perkahwinan saya dan suami di Sabah yang masih lagi tertangguh."Saya tidak mempunyai masa yang banyak di Sabah untuk menguruskan majlis tersebut, jadi semuanya bergantung pada ibu sahaja."Ibu saya lebih arif dalam perkara sebegini dan saya minta ibu jalankan majlis ini dengan tema tradisional."Saya mahu pada majlis itu nanti kami berdua mengenakan pakaian tradisional Kadazan dan menari tarian Sumazau sambil diiringi gong Cina," jelasnya yang akan menjalankan majlis resepsi tersebut pada 26 Disember nanti.Setelah pengurus lamanya Vernon Kedit-Jolly meletakkan jawatan, Nikki kini menggunakan khidmat Fauzi Abdul Samad atau Poji sebagai pengurusnya sejak bulan Julai lalu.Diajukan soalan mengenai cahaya mata, Nikki sambil ketawa mengatakan dia dan suaminya masih belum merancang untuk mendapatkan anak kerana masing-masing terlalu sibuk dengan kerja dan hanya akan memikirkannya dalam tiga tahun lagi."Sebenarnya sebelum kami berkahwin lagi kami sudah berbincang untuk tidak mempunyai anak dalam waktu terdekat ini."Bagi saya sukar untuk memiliki anak jika saya dan Audi sentiasa sibuk dengan tugas masing-masing yang tidak menentu."Sedangkan masa untuk kami berduaan pun tidak selalu ada, kalau sudah ada anak kami takut nanti tidak terjaga pula anak kami."Kami merancang untuk memiliki anak sendiri dalam jangka masa tiga tahun lagi," katanya.Nikki yang sentiasa sibuk memenuhi undangan nyanyian di majlis-majlis makan malam dan sebagainya mengatakan pada awal tahun depan dia akan menjalani rakaman untuk album ketiganya yang akan menampilkan kelainan berbanding dua album sebelumnya."Selepas album pertama saya 'Maharani' dan yang kedua 'Hawa', awal tahun depan saya akan mula untuk merakamkan album terbaru saya yang akan menampilkan kelainan sekiranya semua berjalan lancar."Sebenarnya untuk album ketiga saya ini masih lagi dalam perbincangan, tak banyak yang boleh saya ceritakan... tetapi kalau boleh dalam album tersebut nanti saya ingin banyak menggunakan elemen orkestra."Sebelum ini orang ramai mengenali saya sebagai seorang penyanyi yang gemar membawakan lagu-lagu rancak, tetapi jika semuanya berjalan lancar saya akan tampilkan kelainan dalam album tersebut nanti," jelasnya.