suria

Nabila ingin terus aktif walau sedang hamil

Nabila gembira dan berdebar bila mendapati dirinya kini hamil
Nabila gembira dan berdebar bila mendapati dirinya kini hamil
Nabila gembira dan berdebar bila mendapati dirinya kini hamil

HANYA tuhan yang tahu betapa gembira hati pelakon Nabila Huda ini apabila mendapati dirinya kini telah hamil.

Meskipun tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat, namun ujar Nabila, dia menganggap itu adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah buat dirinya dan suami, Zaidy Zailani.

"Pada awalnya, memang saya sendiri tidak sedar saya mengandung. Sehinggalah pembantu peribadi saya menegur saya setelah dia lihat saya terlalu banyak makan makanan masam.

"Saya buat tidak endah saja ketika itu kerana sejak kecil lagi saya memang suka makanan masam seperti mangga. Beberapa hari sebelum Hari Raya hati terlintas untuk buat ujian kehamilan sendiri setelah menyedari sudah lama saya tidak datang haid dan ujian itu positif menunjukkan saya mengandung.

"Ketika itu saya masih dalam percaya atau tidak saja. Beberapa hari kemudiannya barulah saya pergi ke klinik dan doktor memang mengesahkan saya hamil dan kini kandungan saya baru masuk usia empat minggu," ujar Nabila.

Dalam kegembiraan itu, selebriti berusia 24 tahun ini tidak menyangkal perasaan gementar tetap menyelubungi dirinya apatah lagi ini adalah pengalaman pertamanya mengandung.

"Saya sebenarnya agak takut juga dengan kandungan saya. Entah mengapa saya sering berfikir negatif takut perkara bukan-bukan berlaku. Mungkin juga itu hanya perasaan saya, apatah lagi kandungan saya pun baru masuk empat minggu.

"Apa yang membuatkan saya panik ialah bila memikirkan waktu nak bersalin nanti. Maklumlah, macam-macam cerita yang saya dengar menerusi pengalaman wanita yang bersalin.

"Tetapi nasib baik ibu tiri, Norish dan papa saya sering bagi nasihat dan panduan ketika mengandung. Macam-macamlah yang mereka cadangkan apa makanan yang baik untuk saya makan.

"Tambahan pula saya ini memang 'hyperactive' orangnya. Namun, alhamdulillah, setakat ini saya tidak alami sebarang alahan. Cuma saya rasa semakin banyak makan saja," celoteh anak perempuan kepada penyanyi rock terkemuka negara, Amy Search ini.

Menurut pelakon ini lagi, meskipun sedang hamil, dia tidak mahu membataskan aktiviti seninya selagi termampu.

Malah, Isnin ini, Nabila akan berangkat ke Pulau Perhentian untuk menjalani penggambaran drama bersiri 44 episod, Na O Mei, yang akan disiarkan di slot Akasia TV3 pada Januari depan.

"Dalam drama arahan Fairuz Loy ini, saya bawa watak yang agak berat juga bernama Kamilia. Watak itu juga memerlukan saya menyelam di dasar laut. Insya-allah, rasanya saya tidak ada masalah untuk buat 'diving' walau sedang mengandung.

"Pihak produksi pun sudah tahu saya hamil, tetapi saya yakinkan mereka yang saya mampu buat. Saya pun sudah mengambil lesen menyelam tidak lama dulu semata-mata untuk drama ini.

"Bukannya tidak risau tentang kandungan, tetapi saya rasa ini semua bergantung kepada antibodi kita juga. Selagi tidak ada simptom teruk, saya akan terus bekerja.

"Dan rasanya, penggambaran untuk drama bersiri ini juga akan berlanjutan sehingga Januari depan. Nasib baik suami juga sentiasa memberikan sokongan.

"Terfikir juga bagaimana keadaan waktu itu nanti memandangkan perut saya pun akan semakin besar, tetapi rasanya pengarah pasti akan tahu apa yang boleh saya buat," kata Nabila yang akui tertarik dengan jalan cerita drama itu yang berkisarkan tentang cinta seorang gadis Thai yang dihalang keluarga.

Turut membintangi drama yang juga akan menjalani penggambaran di Thailand itu kelak ialah Elly Mazlein, Puteri Sarah, Rozita Che Wan dan Fauzi Nawawi.

Kata Nabila lagi, dia tidak kisah jantina bayi yang akan dilahirkan kelak dan cuma berharap, proses mengandung yang akan dilaluinya selama sembilan bulan nanti tidak mempunyai banyak masalah.

"Saya hanya berdoa yang terbaik untuk bayi sulung saya ini. Apa yang pasti, dapatlah anak saya nanti berkawan dengan adik baru saya, Qaqa, yang lahir pertengahan September tempoh hari," katanya dalam nada ceria.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain