suria

Natasha Hudson sanggup bawa watak ikan buntal demi teater

Natasha Hudson merasakan semakin berminat terhadap teater dan ingin terus melakukannya selagi termampu. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Natasha Hudson merasakan semakin berminat terhadap teater dan ingin terus melakukannya selagi termampu. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Natasha Hudson merasakan semakin berminat terhadap teater dan ingin terus melakukannya selagi termampu. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

AKTRES, model dan pengacara Datin Natasha Liana Hudson, pernah muncul di dalam teater muzikal 'Ibu Zain 2’ dan terbaru dalam teater muzikal 'Gamat' yang akan dipentaskan pada 3-8 dan 11-12 Oktober ini.

Natasha ketika ditemui pada sidang akhbar teater muzikal 'Gamat' di Istana Budaya mengatakan dia kini semakin berminat terhadap lakonan teater dan mahu meneruskannya selagi berpeluang.

"Saya seronok berlakon teater dan selagi boleh jika ada rezeki saya, selagi itu saya akan terus berlakon teater kerana saya semakin berminat terhadap teater.

"Berlakon teater kita bukan sahaja sekadar berlakon, sebaliknya kita berkarya dan yang paling penting adalah tujuan kita menghantar mesej kepada umum.

"Jadi selagi boleh saya mahu terus menimba ilmu dalam lakonan teater dan melatih diri saya untuk jadi lebih berani dan bersedia.

"Saya juga hairan mengapa bila saya jumpa kawan-kawan dan ajak berlakon teater, mereka tidak berani dan tidak mahu sebaliknya berlakon teater sangat seronok.

"Dalam teater kita bekerja sebagai satu keluarga dan amat berlainan dari kita berlakon filem atau drama.

"Dalam teater kita berpeluang untuk menghadiri bengkel bersama untuk sesi mengenali watak masing-masing dan pelakon lain yang terlibat. Kalau berlakon filem atau drama, tidak ada semua itu.

"Sekarang saya merasakan sudah tidak boleh lagi nak bendung keinginan untuk terus berlakon teater dan kalau boleh saya ingin cuba berlakon dalam berbagai jenis teater," kata Natasha.

Natasha juga mengatakan dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk belakon bersama kanak-kanak di dalam teater tersebut kerana baginya mereka semua dianggap seperti adik dan sentiasa belajar bersama mereka.

"Saya tidak ada sebarang masalah untuk melayan karenah budak-budak... saya layan saja karenah mereka, lagipun saya anggap mereka semua seperti adik saya sendiri.

"Setiap detik yang saya lalui bersama mereka adalah pengalaman manis buat saya... saya dapat tambah keluarga baru dan kami semua amat rapat dan mereka pentingkan erti persahabatan.

"Mereka juga tidak kekok untuk mengajar saya apa kelemahan yang saya ada dan di situ saya nampak istimewanya mereka memiliki keikhlasan dalam persahabatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai wataknya sebagai ikan buntal di dalam teater tersebut Natasha mengatakan dia tidak terlalu memilih watak dan ingin mencuba sesuatu yang berbeza.

"Saya tidak memilih watak sangat, saya pilih watak ikan buntal kerana kalau boleh saya nak buat sesuatu yang berbeza dan lain dari yang lain.

"Watak ikan buntal ini sebenarnya sangat comel, tarian untuk watak ini juga comel dan saya seronok membawakan watak ini.

"Kononnya watak saya ini seperti polis yang ingin menjaga keselamatan dan menyelesaikan masalah... jadi pada saya ia amat menarik dan lucu sebenarnya watak ikan buntal ni," jelas Natasha.

Natasha juga sedang merancang untuk menghasilkan filem, teater dan dramanya sendiri namun masih lagi dalam perbincangan awal.

"Kalau boleh saya ingin terus berkarya dan tidak akan ada titik noktah buat saya bila sudah berada di dalam industri hiburan.

"Jika ada peluang, saya ingin menerbitkan filem, teater dan drama saya sendiri tetapi masih lagi di dalam perbincangan awal... saya akan lihat pada rezeki dahulu, jika ada rezeki ada, jika tiada, saya akan tunggu," jelas Natasha sambil tersenyum.

Artikel Lain