suria

Maya idam timang cahaya mata tahun depan

Luah Maya, dia juga menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata tahun depan. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Luah Maya, dia juga menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata tahun depan. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Luah Maya, dia juga menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata tahun depan. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

BERBICARA dengan aktres dan penyanyi jelita ini memang cukup menyeronokkan. Ada saja topik yang muncul dari mulutnya untuk dijadikan modal berbual. Itulah Maya Karin - yang memang cukup terkenal dengan sikap ramahnya sehingga hari ini.

Tutur aktres dan penyanyi berusia 30 tahun ini, tidak banyak cerita baru yang ingin dikongsinya tatkala ini. Malah, sepanjang Ramadan, dia lebih banyak 'melepak' di rumah dan adakalanya, menghadiri majlis-majlis berbuka puasa atau sesi fotografi sempena Syawal.

Ujar Maya dalam nada ceria, sekurang-kurangnya, tempoh ini dapatlah dia meluangkan lebih masa dengan suami tercinta Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali yang mana ini adalah tahun kedua mereka menyambut Ramadan dan Syawal sebagai suami isteri.

"Sejak kebelakangan ini, memang saya tidak sesibuk dulu. Lagipun, memang saya berhasrat untuk tidak terlalu aktif dengan bidang seni tahun ini.

"Ada beberapa tawaran berlakon yang saya tolak kerana saya ingin jadikan tahun ini sebagai 'private year' untuk saya. Malah, kalau ada yang perasan, sejak awal tahun ini juga saya lebih banyak aktif dengan kerja-kerja berkaitan alam sekitar.

"Cuma mungkin selepas ini saya akan sibuk sedikit dengan promosi filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly yang dijangka akan ditayangkan pada 5 November depan.

"Jadi, buat masa ini, banyak juga masa diluangkan bersama suami. Terutamanya sepanjang Ramadan ini, jika saya tiada majlis-majlis di luar, kami akan berbuka dan bersahur sama-sama.

"Tetapi Steven tidak cerewet tentang juadah. Dia makan apa saja. Kami juga selalunya akan bersahur sebelum tidur dan kebiasaannya, memang kami tidak akan ambil makanan yang berat. Adakalanya roti saja sudah memadai," tutur anak kacukan Melayu-Jerman ini.

Dan tatkala bercerita tentang kehidupannya bersama suami ketika ini, luah Maya sambil menguntum senyuman, dia juga menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata tahun depan.

"Saya juga sama seperti pasangan suami isteri yang lain, punya impian untuk memiliki anak sendiri. Jika boleh, saya merancang untuk ada cahaya mata tahun depan. Steven juga amat mengharapkan kami dikurniakan anak.

"Tapi, saya tidak mahu terlalu fikirkan sangat kerana saya tidak mahu rasa tertekan pula. Saya percaya, Allah telah tentukan takdir semua individu. Jika ditakdirkan saya memiliki keluarga yang besar, saya bersyukur.

"Namun, jika tidak pun, saya terima semua itu. Sebagai umat Islam, selain percaya pada takdir, kita juga kena berusaha ke arah itu," katanya yang mendirikan rumahtangga dengan suaminya itu pada 15 Ogos tahun lalu di Itali.

Ditanya tentang persiapannya menjelang Hari Raya tidak lama lagi, ujar Maya, seperti mana tahun-tahun sebelum ini, persiapannya hanya ala-kadar saja.

"Apa yang saya perasan, suasana menjelang raya tahun ini tidak begitu 'happening' kan? Mungkin kerana kegawatan ekonomi membuatkan masyarakat lebih selesa untuk sambut secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

"Saya sendiri memang suka buat persiapan ala-kadar saja. Selalunya, kami sekeluarga akan berhari raya di kampung sebelah ibu di Pulau Pinang dan juga di Kuala Lumpur. Tetapi mungkin tahun ini kami beraya di KL saja agaknya.

"Dan sebenarnya saya teringin nak sambut raya di rumah saya di Sungai Pencala, Selangor yang kini sedang di dalam proses 'renovation'. Tetapi nampaknya rumah itu belum habis diubahsuai, jadi tak merasalah nak sambut raya di rumah 'baru'," kata Maya.

Bercerita pula tentang perancangannya selepas Hari Raya nanti, ujar Maya, selain akan bersama-sama pelakon-pelakon filem Pisau Cukur seperti Fazura dan Aaron Aziz untuk mempromosikan filem itu, dia juga akan terus menyiapkan penghasilan album ketiganya sebelum kembali aktif berlakon pada tahun depan.

"Saya ada lebih kurang empat bulan saja untuk terus 'lepak'. Lepas ni, saya akan aktif semula berlakon. Tapi, dalam tempoh ini, saya masih bekerja termasuklah dengan aktiviti promosi Pisau Cukur, cuma seperti yang saya katakan tadi, tidaklah sesibuk sebelum ini.

"Album terbaru juga nampaknya masih dalam pembikinan. Memang ramai sudah bertanyakan pada saya, bila album tersebut akan keluar. Setakat ini, sudah 50 peratus disiapkan.

"Penerbit album, Audi Mok masih lagi di dalam proses untuk meneliti album itu sebaik mungkin," kata Maya yang memegang watak sebagai penggoda bernama Bella di dalam filem Pisau Cukur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain