suria

Peserta Gadis Melayu sokong Jasmine Soraya dikekalkan

Jasmine kini lebih tabah untuk meneruskan perjuangannya dalam program 'Gadis Melayu' musim kedua. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Jasmine kini lebih tabah untuk meneruskan perjuangannya dalam program 'Gadis Melayu' musim kedua. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Jasmine kini lebih tabah untuk meneruskan perjuangannya dalam program 'Gadis Melayu' musim kedua. -foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

BIARPUN kontroversi silam membelenggu diri Sharifah Jasmine Soraya Syed A Jalil Jamalullail, 21, rakan-rakan peserta program ‘Gadis Melayu’ musim kedua sentiasa memberikan sokongan padu.

Walaupun pada mulanya sedikit tertekan, Jasmine bertuah kerana peserta yang rapat dengannya dalam program terbitan TV9 itu, Shazfinas Hashim, 25, dan Nadia Adrianna Mohd Akbal, 23, sentiasa memberi sokongan kepadanya termasuk menemani Jasmine ketika ditemubual.

Selepas tersebar foto yang memaparkan aksinya sedang berseronok bersama teman sambil tangan memegang botol arak serta bercumbuan dengan rakan sesama jenis yang disebarkan di internet, Nadia dan Finas tidak henti-henti memberikan nasihat dan sokongan moral agar Jasmine tabah untuk meneruskan perjuangannya dalam program itu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan positif..saya lebih memandang ke hadapan sebab perkara ini sudah berlalu dan tak guna saya nak ingat semula.

“Saya harap program Gadis Melayu akan menjadi platform untuk saya terus maju dan membuat perubahan.

“Gadis Melayu banyak membantu menyelami banyak perkara. Paling ketara, program ini membuka mata saya untuk lebih menghargai orang sekeliling dan keluarga,” luahnya ketika ditemui di majlis pelancaran program raya TV3 dan TV9 di One Utama.

Jasmine memberitahu gambar ‘sosial’nya itu dirakam ketika dia berusia 18 tahun dan dia mengetahui siapa yang bertanggungjawab menyebarkan gambar itu.

“Saya tahu siapa yang buat kerja ini..saya dan dia sudah tidak bertegur sapa sejak tahun lepas. Tetapi saya tidak akan mengambil tindakan terhadapnya,” ujar gadis berdarah kacukan Melayu dan Cina ini.

Lantas Jasmine turut memaklumkan yang dia tidak mampu untuk menutup mulut orang luar untuk terus berkata-kata tentang isu gambar ‘sosial’nya itu.

“Setiap perubahan yang berlaku dalam diri saya untuk menjadi lebih baik..Saya dan rakan-rakan dalam Gadis Melayu sentiasa memberi kerjasama, duduk sekali dan berbincang untuk masa akan datang.

“Saya tahu, jangkaan orang tentang isu ini begitu tinggi. Sampai sekarang pun kita tak boleh nak tutup mulut orang tetapi bagi saya biar yang kenal rapat dengan saya sahaja yang boleh menghakimi saya,” luahnya yang turut mengakui sudah berhenti ‘minum’.

Namun Jasmine berkata dia tidak mampu berjanji untuk mengatakan yang dia telah berhenti dari menjejakkan kaki di kelab-kelab malam.

Katakanlah dia akan dinobatkan sebagai juara Gadis Melayu pada penghujung episod program ini nanti, Jasmine berkata dia hanya mampu memikirkannya selepas program ini berakhir.

“Saya sukar hendak buktikan yang menunjukkan saya sudah betul-betul berubah..takkan orang baru nak percaya hanya selepas saya bertudung litup dan berjubah..,” ujarnya yang agak berhati-hati untuk menjawab setiap soalan yang diutarakan sehingga kadangkala memerlukan bantuan Finas.

Dalam pada itu, Finas yang sentiasa bersama-sama Jasmine berkata dia dan peserta lain tidak akan meminggirkan rakan baiknya itu dan sentiasa memberi nasihat dan pujukan.

“Kami semua banyak memberi nasihat dan pujuk dia dengan mengatakan ‘it’s ok’ dan ‘be strong’. Lagipun dalam program Gadis Melayu ada sesi motivasi, tazkirah, ceramah yang banyak membantu serta solat jemaah setiap hari.

“Kita hanya perlu ubah diri kita dan program ini banyak membantu selain orang-orang di sekeliling kita,” tuturnya.

Program realiti ‘Gadis Melayu’ musim kedua bersiaran pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam di TV9.

Artikel Lain