suria

Nurul jadi guru vokal Mila, Akim dan Aril?

Nurul seronok jadi guru vokal garang dalam drama Kau dan Aku - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Nurul seronok jadi guru vokal garang dalam drama Kau dan Aku - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Nurul seronok jadi guru vokal garang dalam drama Kau dan Aku - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU

PENGALAMAN penyanyi bernama Nurul Huda Abdul Wahab atau mesra disapa Nurul ini selama lebih 13 tahun di dalam bidang nyanyian rasanya sudah cukup 'kuat' untuk dirinya bergelar seorang guru vokal.

Apatah lagi dengan bakat yang dimilikinya itu, Nurul dilihat antara penyanyi yang mempertaruhkan kekuatan vokal sebagai aset utamanya untuk terus bertahan di dalam arena ini.

Malah, kemampuan Nurul mendidik protegenya, Nieyl yang mendapat tempat kedua di dalam program Mentor kira-kira tiga tahun lalu juga membuktikan wanita berusia 32 tahun ini bukanlah calang-calang penyanyi.

Dan kali ini, Nurul akan berkongsi pula 'ilmu' yang dimilikinya kepada penyanyi-penyanyi junior seperti Mila, Akim dan Aril.

Namun begitu, ia bukanlah secara 'serius', sebaliknya Nurul hanya menjadi guru vokal mereka di dalam drama muzikal Kau Dan Aku yang merupakan terbitan Astro dan usahasama dengan produksi Indonesia.

Kata Nurul, walaupun menjadi guru vokal hanya dalam lakonan, namun dia tetap rasa seronok dengan watak Puan Nora yang merupakan seorang guru vokal yang tegas dan garang.

"Ini adalah kali pertama saya berpeluang pegang watak macam ni. Puan Nora adalah seorang yang garang terhadap pelajar-pelajarnya di sebuah kolej muzik. Tetapi sebenarnya, dia juga baik hati.

"Seronok juga bawakan watak seperti ini. Dan yang paling penting, selama hampir sebulan menjalani penggambaran di Jakarta bersama pelakon-pelakon lain, saya rasa cukup gembira kerana kami semua jadi rapat," ujar Nurul yang baru lima hari pulang dari Jakarta sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Selain Nurul, Mila, Akim dan Aril, turut membintangi drama itu ialah beberapa pelakon lain seperti Riezman Khuzaimi, Azizah Mahzan, Sabrina Ali, Raja Farah, Anita Baharom, Amar Anak Wayang dan Cici.

Drama muzikal sebanyak 26 episod ini dijangka akan ditayangkan selepas Hari Raya nanti.

Bercerita lanjut tentang pengalamannya membintangi drama tersebut, kata bekas isteri kepada komposer dan penyanyi Ajai ini, dia akui pada awalnya dia agak gementar terutamanya bila mendapat tahu Azizah Mahzan juga menjayakan drama itu.

"Inilah pertama kali saya berlakon dengan dia. Dalam drama ini, Azizah bawakan watak ketua kolej tersebut. Memang agak risau jugalah pada awalnya sebab bagi saya, dia adalah seorang pelakon yang cukup hebat.

"Tetapi lama-kelamaan kami sudah rasa serasi dan saya banyak belajar menjiwai karektor dengan dia. Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain.

"Kami sudah rasa seperti satu keluarga dan selalunya, kami memasak bersama-sama. Memang saya amat merindui kenangan di sana.

"Pengalaman berlakon dengan produksi luar juga adalah satu perkara baru bagi saya. Tetapi sejujurnya, saya masih 'prefer' berlakon di dalam produksi tempatan," ujar Nurul yang juga pernah terlibat di dalam beberapa buah drama lain seperti e-toyol.com

Dalam pada itu, anak jati Pulau Pinang ini berkata, dia akan mula sibuk untuk mempromosikan album terbarunya, Tika Cinta, yang baru dipasarkan awal Ogos lalu.

"Album ini amat istimewa buat saya. Seleksi lagu-lagu juga semuanya kena dengan jiwa saya. Pertama kali juga saya cuba menggubah lagu di dalam album ini berjudul Bukan Cermin Di Hati.

"Syarikat rakaman, Metadome, memang menyiapkan album ini dengan penuh teliti," katanya yang hanya mengambil masa beberapa bulan saja menyiapkan album tersebut.

Album berkonsepkan pop itu turut menampilkan karya ciptaan komposer-komposer lain seperti Sharon Paul, Fedtri Yahya, Sulu Sarawak, Tam Spider dan Allahyarham Rosli Khamis (Loloq).

Ditanya tentang persiapan menjelang Syawal tidak lama lagi, kata ibu kepada Ayu Nazirah ini, seperti biasa, dia akan pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang.

"Tahun ini, Ayu akan beraya terlebih dulu dengan Ajai dan kemudian barulah beraya dengan saya pula.

"Tetapi, tahun ini nampaknya tidak boleh cuti raya lama sebab beberapa hari selepas raya, saya ada undangan menjayakan persembahan sempena majlis rumah terbuka," katanya yang juga selesa untuk tidak berbicara tentang subjek cinta dan 'kekasih' barunya.

Artikel Berikut

Aizat kini lebih hargai Ramadan

Artikel Lain