suria

Cico: Rezeki keluarga bertambah kerana Rindu Norfitrah

Cico dan isterinya, Nur Fuziana kini semakin bahagia dengan kehadiran Rindu Norfitrah, 8 bulan - foto MSTAR ONLINE
Cico dan isterinya, Nur Fuziana kini semakin bahagia dengan kehadiran Rindu Norfitrah, 8 bulan - foto MSTAR ONLINE
Cico dan isterinya, Nur Fuziana kini semakin bahagia dengan kehadiran Rindu Norfitrah, 8 bulan - foto MSTAR ONLINE

PERUBAHAN paling besar dalam diri pelakon Cico Harahap, 31, ketara dirasai sejak dia dikurniakan anak, Rindu Norfitrah, 8 bulan.

Anak comel yang lebih persis wajak Cico itu merupakan hasil perkahwinannya dengan wanita siam, Elle atau nama Islamnya, Nur Fuziana Wirongrong Abdullah, 26, pada 25 Februari tahun lalu di Songkhla, Thailand.

Akui Cico, sejak dia dan Fuziana menimang cahaya mata yang pertama ini, rezeki mereka sekeluarga bertambah.

Dalam nada syukur, Cico berkata dia banyak meraih tawaran kerja lakonan berbanding tahun lalu.

“Tanggungjawab saya semakin berat setelah mempunyai anak dan isteri sekarang kerana saya mula bekerja dan hidup berkeluarga agak awal.

“Bila ada ‘baby’ semuanya agak cepat berlaku. Alhamdulillah, sekarang saya tak berhenti berlakon dan ada sahaja kerja yang ditawarkan..mungkin rezeki anak,” katanya.

Sepanjang tahun ini, Cico telah menerima tawaran berlakon seperti drama 13 episod ‘Biru Cinta Laguna’, teater ‘Mahsuri’, drama 13 episod ‘Hias Mutiara’, filem ‘Tiga Jalan’, filem ‘Merong Mahawangsa’ dan sebuah filem sejarah yang terpaksa dirahsiakan buat masa ini.

Mengimbau keperitan yang dilalui dahulu, kata Cico:

“Kalau dulu, macam-macam kerja yang saya lakukan. Kadangkala rezeki tak menentu dan dalam setahun tu ada dalam dua tawaran berlakon sahaja.”

Walaupun sibuk bekerja, Cico berkata kepalanya sentiasa teringatkan Rindu dan apabila selesai bekerja dia akan terus pulang ke rumah.

“Kalau boleh saya tak nak keluar rumah sebab kepala selalu ingat anak sahaja dan seboleh-bolehnya saya nak pulang cepat ke rumah setelah bekerja,” jelas Cico.

Bercerita mengenai tugasnya sebagai suami Fuziana sejak dua tahun lalu, Cico berkata dia tiada masalah untuk membimbing isterinya itu.

“Isteri saya seorang yang ringkas. Misalnya waktu puasa sekarang, saya hanya perlu terangkan tentang sebab kita perlu berpuasa dan selepas itu terus dia buat,” ujar anak kepada seniwati Uji Rashid ini.

Cico berkata dia juga bersyukur kerana mempunyai seorang ibu yang memahami dan banyak membantu menantunya dalam menguruskan Rindu.

“Mak saya terlalu gembira dengan kelahiran Rindu. Mak saya banyak membantu Fuziana untuk menguruskan Rindu dengan mengingatkan apa yang arwah opah lakukan dulu kerana dia hanya mempunyai seorang anak. Agak menarik juga...” ujar pelakon filem ‘Puteri Impian’ ini.

Menyentuh tentang menyambut Hari Raya, Cico berkata dia agak teruja untuk meraikan lebaran ini sebagai seorang bapa.

“Saya agak teruja dan seronok untuk membeli baju kurung untuk ‘baby’. Saya hanya akan menyambut perayaan ini di Kuala Lumpur kerana tiada siapa di kampung. Kalau dulu ada arwah opah, mesti lebih seronok.

“Walaupun kemeriahan Hari Raya tahun ini akan lebih berlaina, saya tetap berkongsi cerita sewaktu beraya dengan sanak saudara dulu kepada isteri,” tuturnya.

Cico yang menginginkan lebih ramai anak ini turut berkongsi tentang bagaimana dia berbelanja untuk Hari Raya tahun ini.

“Walaupun ahli keluarga saya semakin bertambah, namun tak bermakna belanja akan bertambah sebab saya hanya berbelanja secara sederhana dan lebih banyak membeli baju untuk anak,” katanya.

Uji kongsi perasaan gembira dengan anak dan menantu

Aktres dan penyanyi Uji Rashid yang turut hadir bersama Cico, Fuziana dan Rindu tampak sempat berkongsi perasaan dalam majlis berbuka puasa bersama seniwati dan seniman terkenal di Saloma Bistro baru-baru ini.

“Saya berasa seronok apabila pertama kali meraikan Hari Raya nanti dengan anak, menantu dan cucu. Sekarang, saya tinggal bersama mereka dan tidak lepas dari sama-sama menjaga Rindu,” luahnya sambil tersenyum.

Mengenai karier seni, Uji berkata dia perlu memilih lakonan yang ditawarkan kerana imej bertudungnya sekarang.

“Saya lebih banyak menyanyi di majlis tertentu. Saya bukan penat untuk berlakon tetapi sebab saya bertudung dan bukannya senang untuk melakukan apa-apa sahaja,” akhirinya yang sempat menggunakan peluang di majlis itu untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakan-rakan seperjuangannya seperti Halil Chik, Hail Amir dan ramai lagi.

Artikel Berikut

Aizat kini lebih hargai Ramadan

Artikel Lain