suria

Qi hos program muzik 'Bingit'

Qi ialah Cikgu Budi dalam filem 'Blogger Boy'.-foto THE STAR oleh ANDREW CHONG
Qi ialah Cikgu Budi dalam filem 'Blogger Boy'.-foto THE STAR oleh ANDREW CHONG
Qi ialah Cikgu Budi dalam filem 'Blogger Boy'.-foto THE STAR oleh ANDREW CHONG

PENAMPILAN julung kali sebagai pelakon menerusi "Blogger Boy" ternyata membawa rezeki kepada Qushairi Razali atau lebih dikenali sebagai Qi.

Ini kerana peluang berlakon dan pengacaraan datang silih berganti selepas kejayaan 'Blogger Boy'. Penggambaran "Blogger Boy" musim kedua bakal menyusul pada awal September ini.

Selepas itu, Qi memberitahu, dia ditawarkan peluang mengacarakan program muzik 'Bingit' terbitan 8TV.

"Saya akan pusing satu Malaysia tengok band-band pemuzik yang sedia ada," kata Qi sewaktu ditemui selepas sesi fotografi di Menara Star semalam.

Qi yang merupakan bekas pemain dram OAG menjelaskan, tawaran pengacaraan itu membolehkan dirinya 'terjun' ke dalam bidang penulisan skrip.

"Saya akan menulis skrip program muzik 'Bingit'. Saya benar-benar teruja diberi peluang untuk mencuba benda baru," ujarnya sambil menunjukkan keletah lucunya.

Menurut pengacara 'Destinasi Bajet' serta 'Field Trip USA' ini, dia turut ditawarkan berlakon dalam telemovie 'Cinta Hasnol' yang membariskan pelakon-pelakon seperti Arash dan Sari Yanti.

"Telemovie itu memulakan penggambaran pada 20 Ogos. Saya akan memegang watak 'Rashid'. Watak itu lain daripada Budi yang saya lakonkan dalam 'Blogger Boy'," kata Qi.

Qi memberitahu, personaliti watak 'Rashid' itu jauh berbeza daripada personaliti sebenarnya yang selamba, kelakar dan gembira.

"Saya memang menanti-nantikan peluang memegang watak berbeza-beza. Nak cuba bawa peluang bawa watak tidak selamba, tidak gembira... dalam erti kata lain, lain daripada personaliti Qi sendiri," jelas jejaka tampan berusia 33 tahun ini.

Menjelaskan mengenai watak 'Rashid', Qi berkata: "Saya ialah anak orang kaya akan pergi ke United Kingdom untuk belajar...serius dan panas baran.

"Oleh itu, dalam kepala Qi kena membiasakan diri dengan mimik muka, gerak badan yang jelas berbeza kali ini," katanya dengan penuh azam untuk membuktikan dirinya pelakon yang hebat.

Filem 'Cinta Hasnol' mengetengahkan isu percintaan yang digarap antara cinta tulen dan cinta yang terbit daripada perasaan terhutang budi.

"Macam mana cerita itu berkembang bergantung kepada bagaimana seorang gadis miskin membuat pilihan kekasihnya. Hasnol membantu menanggung perbelanjaan sekolah, pendidikan gadis itu.

"Bagaimanapun, gadis itu sebenarnya mencintai saya (Rashid) dalam filem itu," katanya.

Walaupun sibuk dengan lakonan, Qi tidak melupakan bidang pengacaraan. Januari depan, Qi akan meneruskan kerja-kerja hos untuk program Destinasi Bajet.

Dari pengacaraan hingga lakonan dan terbaru - penulisan skrip, Qi telah membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya.

Qi berterima kasih kepada bapanya, Razali Wong yang juga pensyair, penyajak serta penulis skrip Bahasa Inggeris. "Saya banyak bersabar dan memberikan galakan kepada saya untuk menceburi bidang seni. Bapa memberikan inspirasi kepada saya," akui Qi.

Artikel Lain