suria

“Saya tak akan pecah rahsia kontrak saya dengan RTM...” - Azwan Ali

Azwan Ali merahsiakan isi kandungan kontraknya dengan RTM.
Azwan Ali merahsiakan isi kandungan kontraknya dengan RTM.
Azwan Ali merahsiakan isi kandungan kontraknya dengan RTM.

SELEBRITI kontroversi Azwan Ali mengunci mulut berhubung dengan cakap-cakap menyatakan dia mungkin menyuntik elemen Mak Nyah dan lelaki lembut dalam program Hari Raya yang akan beliau sediakan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) nanti.

Menurut Azwan, soal kontrak program Hari Raya yang beliau sediakan untuk RTM adalah hak eksklusif untuknya berbincang dengan RTM sahaja.

Tegas beliau lagi, kandungan program yang bakal beliau terbitkan itu tidak perlu diperkatakan secara umum.

"Saya akan berhenti memberikan komen dan mereka boleh terus menjerit mengenai kontrak saya dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ataupun stesen lain. Saya cuma ketawa dengan perangai mereka.

"Ini bukan urusan mereka. Saya mempunyai kontrak dengan RTM ke, CNN ke... ini bukan urusan mereka. Saya tidak akan memecahkan apa-apa rahsia kontrak saya dengan mana-mana stesen televisyen," kata Azwan ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Isu mengenai kontrak sebuah program Hari Raya RTM yang bakal dikendalikan oleh seorang selebriti terkenal telah ditimbulkan oleh sebuah akhbar mingguan berbahasa Melayu dalam ruangan hiburannya.

Penulis ruangan hiburan tersebut telah mempertikaikan bagaimanakah RTM boleh menyerahkan kontrak pembikinan sebuah program Hari Raya kepada seorang selebriti yang mempromosikan gaya hidup lelaki lembut dalam ruangan blognya.

Bagaimanapun, akhbar mingguan itu tidak menamakan siapakah selebriti terkenal yang mereka maksudkan itu.

MStar Online pula hari ini melaporkan kenyataan terbuka Azwan yang menafikan bahawa beliau adalah seorang gay (lelaki homoseksual).

Azwan ketika ditanya mengenai bantahan pelbagai pihak terhadap program yang bakal dikendalikannya melalui RTM nanti menegaskan: "Ia bukannya satu sidang akhbar untuk menghebahkan apa-apa maklumat. RTM bukan kepunyaan saya.. Saya hanya cari makan. Mereka yang membuat bising adalah terdiri daripada golongan minoriti.”

Untuk maklumat tambahan, Azwan meminta mereka yang berminat agar melayari blognya di "silaserazwanali.blogspot.com" jika ingin mengetahui status program RTM yang beliau akan kendalikan itu.

"Blog saya adalah penuh warna-warni. Ada komen yang benar, 'rojak', berbentuk sindiran. Mereka yang berhati mulia sahaja dapat membacanya secara jelas," katanya.

Lagipun kata Azwan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak menghalangnya daripada menyiarkan komen-komen dalam blog itu.

"Blog ialah hak saya di bawah perlembagaan dan blog saya itu dibaca oleh jutaan orang yang membacanya dengan hati tulus ikhlas. Kecuali mereka yang melompat-lompat..

"Mereka yang terkinja-kinja itu ialah lima orang yang dari satu syarikat, bangunan yang sama," kata Azwan berteka-teki.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain