suria

Ustaz Asri sukar dicari ganti

Nash sering merujuk kepada Allahyarham untuk mendapatkan nasihat.
Nash sering merujuk kepada Allahyarham untuk mendapatkan nasihat.
Nash sering merujuk kepada Allahyarham untuk mendapatkan nasihat.

RAKAN artis lain memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim sebaik mendengar berita pemergian penyanyi kumpulan nasyid terkenal itu semalam.

Semua yang hadir melahirkan kesedihan dan kehilangan dengan pemergian Ustaz Asri. Bakat dan kebolehan Ustaz Asri sememangnya sukar dicari ganti.

Nash

"Ustaz Asri merupakan seorang sahabat yang banyak memberi sentuhan rohani kepada semua. Saya tidak nampak sesuatu yang buruk dalam diri beliau baik dari segi pergaulan ataupun tingkah lakunya.

"Saya sering merujuk kepada beliau sekiranya ada perkara yang saya tidak tahu. Beliau sering memberi nasihat dan saya begitu kagum dengan bacaan ayat al-Quran Allahyarham. Keistimewaan yang ada padanya memang tidak ada pada orang lain.

"Beliau adalah seorang yang sentiasa tenang dan senyum walau dalam keadaan apa sekalipun. Semoga rohnya dicucuri rahmat."

Ramli MS

"Kita kehilangan seorang yang boleh dianggap sebagai 'reference'. Kehebatan beliau ketika mengaji memang tidak boleh dipertikaikan dan bakat menyanyi memang sukar dicari diganti.

"Saya mengenali Ustaz Asri sejak dari awal penglibatan beliau lagi, sejak berkenalan saya tidak pernah mendengar beliau bercakap kasar.

"Saya rindu untuk mendengar alunan suara beliau yang merdu."

Mas Omar

"Allahyarham merupakan seorang yang suka bercerita, tidak sombong, ceria dan periang.

"Kalau diminta datang untuk ke suatu majlis, beliau sentiasa sanggup datang untuk memenuhi hasrat tersebut dan tidak akan meminta bayaran.

"Baru semalam saya bercadang untuk membawa kumpulan Rabbani ke Pesta Pulau Pinang, tapi hari ini dikejutkan dengan pemergian beliau."

Nazri (Raihan)

"Allah cipta seseorang itu satu sahaja dengan kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain. Pemergian beliau merupakan kehilangan yang besar buat kita semua.

"Ustaz Asri dihormati sebagai seorang yang berilmu, warak dan lemah lembut.

"Pemergian beliau mengingatkan kita bahawa ajal seseorang boleh datang pada bila-bila masa sahaja."

Yasin

"Sejak dari kecil saya membesar dengan lagu-lagu Ustaz Asri, siapa yang tidak kenal dengan beliau.

"Baru dua hari lepas saya ada bercakap dengan Allahyarham dan ketika itu beliau tidak sakit dan tiada masalah kesihatan, sebab saya terkejut apabila mendapat tahu mengenai pemergian beliau.

"Ustaz Asri sangat istimewa, saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang suka bergaul dengan semua orang."

Amy Search

"Saya terkejut dengan pemergian beliau kerana baru pada hari sabtu yang lepas kami sama-sama menyanyi di Klang.

"Saya mula mengenali Ustaz Asri tahun lepas semasa membuat rakaman lagu 'Mentari Merah di Ufuk Timur'. Sejak itu saya rapat dengan beliau.

"Beliau pernah beberapa kali makan dan membuat pelancaran album rabanni di restoran saya.

"Allahyarham merupakan seorang yang senang didekati."

Artikel Lain