suria

Menghayati 1Malaysia melalui teater

Pihak penganjur dan para peserta hadir ke Pelancaran Teater Pendek Anugerah Merdeka. -foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Pihak penganjur dan para peserta hadir ke Pelancaran Teater Pendek Anugerah Merdeka. -foto THE STAR oleh RAYMOND OOI
Pihak penganjur dan para peserta hadir ke Pelancaran Teater Pendek Anugerah Merdeka. -foto THE STAR oleh RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Teater berunsurkan konsep 1Malaysia berjudul "Satu" dan "The Price" adalah antara 16 teater yang akan dipersembahkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini selama tiga malam mulai Isnin ini.

Festival Teater Anugerah Merdeka itu merupakan persembahan teater pendek selama kira-kira 10 hingga 15 minit bagi membolehkan rakyat menghayati erti kemerdekaan selain meningkatkan kefahaman terhadap konsep 1Malaysia, kata pengerusi penganjur Datuk Abdul Khalid Mohd.

Menurutnya kesemua teater akan dipersembahkan oleh dramatis termasuk pelajar bidang seni.

Pengarah teater "The Price", Siti Aishah Hassan Hasri berkata teater yang akan menampilkan dua pelakon akan mengimbas satu perbincangan pada malam sebelum bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman menandatangani Memorandum Kemerdekaan Malaya.

Teater itu mengenai perbualan antara dua lelaki pada malam menjelang pengisytiharan kemerdekaan pada Januari 1956, yang juga menyentuh tema 1Malaysia itu, kata Siti Aishah, 24, yang sedang menuntut jurusan Persembahan Teater Kesenian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Apabila kerajaan baru kita mengilhamkan tema 1Malaysia, ia mengingatkan saya beberapa tahun lepas ketika saya pelajari sejarah Melaka sehingga hari kemerdekaan, dan saya sebenarnya fikir bahawa orang ramai mula mengisi jurang ini," kata beliau.

Siti Aishah yang telah menjalani latihan bersama pelakonnya sejak dua minggu lalu, berharap raptai minggu ini berjalan dengan lancar sebelum hari persembahan pada Selasa ini.

Shariful Akma Abdullah, 30, yang akan mengarah teater "Satu" berkata teater tersebut akan cuba menjelaskan maksud 1Malaysia untuk mudah dihayati oleh masyarakat.

Antara teater lain yang bakal dipersembahkan ialah "5 Jam Sebelum Laungan Merdeka di Stadium Merdeka", "Merdeka Apa?", "Mereka Mereka Merdeka" dan "Merdekakah Kita". BERNAMA

Artikel Lain