suria

Qhaud redha terpaksa berpisah dengan kekasih

Cerita Qhaud, walaupun sudah berpisah namun tidak bermakna dia serik untuk bercinta lagi. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Cerita Qhaud, walaupun sudah berpisah namun tidak bermakna dia serik untuk bercinta lagi. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Cerita Qhaud, walaupun sudah berpisah namun tidak bermakna dia serik untuk bercinta lagi. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU

HATI mana yang tidak terasa sedih dan pilu apabila terpaksa berpisah dengan orang tersayang namun segala-galanya biarlah disimpan kemas dalam memori bekas alumni Akademi Fantasia (AF) 7, Qhaud.

Mungkin juga tidak ramai yang mengetahui dirinya pernah mempunyai teman wanita sebelum ini.

Bagi Qhaud, dia sebolehnya enggan menceritakan tentang kisah yang berbekas di hati itu namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus tabah menghadapi kehidupan ini.

“Saya dengan teman wanita saya dah berpisah. Saya rasa tak perlulah cerita lebih lanjut kerana ia agak peribadi.

“Perkara ini hanya diketahui antara mak, famili saya dan keluarga dia..

“Sekarang, masing-masing redha dengan perpisahan ini tetapi kami masih berkawan,” kata Qhaud atau nama sebenarnya Mohd Qhauhd Abdul Rashid sambil tersenyum.

Difahamkan, Qhaud dijangka bertunang dengan gadis pilihannya itu namun mungkin jodoh mereka tidak panjang.

Cerita Qhaud, walaupun sudah berpisah namun tidak bermakna dia serik untuk bercinta lagi.

“Jika boleh, saya inginkan wanita yang mematuhi enam syarat ini iaitu jujur, ikhlas, sopan-santun, berbudi pekerti, amanah dan lemah-lembut.

“Saya juga tak kisah sama ada dia bertudung atau tidak dan mak saya juga tidak menghalang sama ada gadis pilihan saya itu bertudung atau tidak,” ujarnya yang tampak ceria.

Menyentuh tentang kariernya, Qhaud berkata dia dijangka akan merakamkan ‘single’ pertamanya pada minggu ini.

“Saya telah mendapat banyak lagu seperti dari komposer Aidit Alfian, Lan (Azlan & The Type Writer) dan ramai lagi.

“Saya memilih konsep nusantara ala-ala lagu M. Nasir..ia masih mempunyai elemen kerohanian tetapi bukan lebih kepada nasyid.

“Saya lebih suka menjadi diri-sendiri. Jadi, sebab itu saya memilih konsep seperti itu sebab saya suka dengar lagu seperti itu yang mempunyai unsur kehidupan dan masyarakat,” kata Qhaud.

Dengan pemilihan genre sebegini, Qhaud yakin dia mampu mengumpul kelompok pendengarnya sendiri.

“Saya rasa yang akan mendengar itu (lagu bergenre nusantara) ramai kerana orang muda tak semestinya meminati lagu berentak indie rock sahaja selagi kita masih ada lagu yang berbeza,” katanya yang belum sempat mendengar lagu-lagu yang diberikan itu.

Jadi sebab itu dia belum dapat mengesahkan tentang tajuk lagu dan komposer yang menjadi pilihannya. Dalam perkembangan lain, Qhaud juga baru sahaja disingkirkan daripada berlakon dalam sebuah drama muzikal ‘Kau Dan Aku’ di Jakarta yang turut dilakonkan oleh ramai lagi alumni AF seperti Akim, Aril dan Mila.

Jelas Qhaud, pada mulanya dia ditawarkan untuk berlakon dalam drama itu namun kini tempatnya telah diganti oleh salah seorang peserta ‘Anak Wayang’.

“Saya ada ditawarkan untuk ke Jakarta tetapi tak jadi. Walaubagaimanapun, saya tak kecewa kerana rezeki sudah diatur.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat merasa berbuka puasa dengan mak dan keluarga,” luahnya yang sudah empat tahun menyambut bulan puasa dan Hari Raya tanpa ayah tersayang.

Ayah Qhaud telah meninggal pada tahun 2005 akibat penyakit leukimia.

“Semasa bulan puasa, biasanya saya akan berniaga Nasi Beriani, Bubur Lambuk dan air dengan ayah di bazar Ramadhan,” katanya mengimbau sedikit pengalamannya semasa menyambut bulan puasa bersama arwah ayahnya.

Tambahnya, walaupun tahun ini sudah masuk lima tahun pemergian arwah ayahnya, namun dia masih merasai kehilangan bapa yang dianggap sebagai idolanya itu.

“Ayah saya best kerana dia boleh menyanyi, bertukang dan tak garang,” kata anak kedua dari empat beradik ini.

Nampaknya, Qhaud mewarisi banyak kebolehan yang dimiliki oleh arwah ayahnya iaitu menyanyi dan berniaga.

Selain menyanyi, Qhaud juga mempunyai perniagaan menjual aksesori kereta dengan menamakan kedai ‘Unstoppable’ di Damansara.

Tetapi dia tetap merasakan yang dirinya tidak sehebat arwah ayahnya itu dengan berkata “Saya rasa banyak kekurangan dalam diri saya untuk menjadi sehebat ayah..”

Qhaud juga ditawarkan untuk mengendalikan program ‘Riwayat Kamil’ dan sebuah lagi program keagamaan yang memerlukannya mengalunkan azan dan berzikir.

Artikel Lain