suria

Maiza ditawar berlakon telefilem, iklan komersil

Maiza bakal bergelar seorang pelakon pula selepas ini.
Maiza bakal bergelar seorang pelakon pula selepas ini.
Maiza bakal bergelar seorang pelakon pula selepas ini.

NAMPAKNYA, rezeki bekas isteri Akhil Hayy semakin murah sejak dia hidup solo sekarang ini kerana selepas ditawarkan bergelar duta Koleksi Tudung Myza, produser Yong Rahimah Mohd Johari menawarkan Maizawati Zainal untuk berlakon telefilem.

Hal itu disahkan sendiri oleh produser dari Graphidex Resources Sdn. Bhd. itu semalam

“Saya telah menghubunginya dan dia sendiri telah bersetuju untuk berlakon dalam sebuah telefilem saya yang akan diarahkan pada 27 Ogos ini.

“Saya juga akan menawarkan dia berlakon sebuah iklan komersil produk biskut D.Haiz Cookies.

“Jadi, saya akan berjumpa untuk berbincang dengannya pada Ahad atau Isnin ini,” kata produser yang mesra dengan nama Kak Yong itu.

Tambahnya, dia juga mahu menawarkan Maiza berlakon untuk sebuah filem terbitannya yang masih dalam perbincangan itu.

MStar Online terus mendapatkan komen wanita yang mesra disapa Maiza untuk melihat reaksinya setelah menerima tawaran itu.

Ibu tunggal kepada enam orang anak itu mengaku yang dia ada menerima tawaran untuk berlakon dengan Kak Yong

“Ya, memang saya ada bersetuju untuk berlakon. Apa yang saya tahu, Kak Yong hanya menawarkan watak ibu kepada saya.

“Yang lain, kami akan berbincang dalam minggu depan di Kuala Lumpur,” kata Maiza dalam nada ceria.

Jelasnya, dia hanya menerima tawaran itu untuk menampung pendapatan dan tanggungannya.

“Hidup harus diteruskan jadi apa sahaja tawaran yang tidak melanggar syarak, saya akan terima,” katanya.

Ditanya, adakah Maiza akan meletakkan apa-apa syarat seperti tidak boleh membuka tudung dan melakonkan babak yang mendedahkan aurat?

Jawabnya, “Saya tidak meletakkan syarat apa-apa tetapi dia harus fahamlah yang saya memakai tudung.

“Jadi, takkan saya nak buka tudung. Jika dia ambil saya berlakon dalam keadaan saya bertudung sekarang, jadi dia kena terima saya dalam keadaan bertudung.

“Lagipun, saya melakonkan watak ibu dan sesuai dengan penampilan saya yang bertudung.”

Dalam perkembangan lain, Kak Yong berkata dia telah menyiapkan sebuah telefilem ‘Anak Mamak Menantu Mami’ yang mengambil pelakon Izaac dan Faeza Elai.

Telefilem ini menceritakan tentang realiti yang berlaku dalam golongan India muslim atau lebih dikenali dengan nama ‘anak mami’ di Pulau Pinang.

Menurut bekas isteri aktor Mustapha Kamal itu, filem ini berkisarkan tentang kelompok anak mami yang gemar berperang mulut.

“Saya membuat cerita ini berdasarkan kajian tentang kelompok anak mami. Apa yang saya tahu, golongan anak mami ini terbahagi kepada beberapa jenis.

“Saya tidak akan membuat apa yang telah ditonjolkan oleh pengarah Prof A. Razak Mohaideen dan akan tampilkan kelainan,” jelasnya.

Selain ‘Anak Mamak Menantu Mami’, Kak Yong juga bakal menerbitkan telefilem ‘Kasih’ di mana kedua-duanya akan disiarkan di Astro Prima nanti.

Artikel Berikut

Artikel Lain