suria

Stacy buat ‘cameo’ dalam drama muzikal di Jakarta

Stacy membuat persembahan nyanyian sempena sambutan hari jadi ke-19 baru-baru ini. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Stacy membuat persembahan nyanyian sempena sambutan hari jadi ke-19 baru-baru ini. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Stacy membuat persembahan nyanyian sempena sambutan hari jadi ke-19 baru-baru ini. - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

DISEBABKAN terlalu sibuk dengan ‘show’ sepanjang bulan ini, kelab peminat Stacy, Stacy Angie Frenz terpaksa meraikan sambutan majlis Hari Jadinya terlebih awal iaitu pada Isnin lalu walaupun ulangtahun kelahirannya jatuh pada 18 Ogos ini.

Stacy sememangnya tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan Hari Jadinya bersama peminat tersayang lantas memikirkan daripada langsung tidak buat, lebih baik di awalkan saja, fikirnya.

“Lepas semak jadual dengan pihak Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), saya akan sibuk dengan ‘show’ mulai 6 Ogos ini dalam majlis makan malam bersama media di Sabah, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 di Sabah (8 Ogos), Promo Jelajah Era di Melaka, ‘show’ untuk Power Roots, beberapa jemputan majlis berbuka puasa seperti bersama TV3 sepanjang bulan puasa dan menyanyi sebagai ‘cameo’ dalam drama muzikal di Jakarta yang turut dilakonkan oleh Akim, Mila, Aril dan ramai lagi alumni AF (26 hingga 28 Ogos).

“Saya bersyukur sangat dengan rezeki yang murah ini dan sekarang tumpuan saya hanya untuk meluaskan bakat saya dalam bidang nyanyian dulu.

“Saya pernah berlakon untuk sketsa Raya bersama Mawi yang diterbitkan oleh syarikatnya tetapi saya dah tak larat nak tunggu dan susah untuk berlakon.

“Kalau ada peluang untuk berlakon, saya akan cuba tetapi hati belum bersedia dan ada ‘feel’ untuk berlakon buat masa ini,” kata Stacy yang terkejut dengan kemeriahan sambutan majlis Hari Jadi yang dianjurkan oleh kelab peminatnya itu.

Menurut Stacy, pada mulanya mereka hanya meminta dia datang tanpa memberitahu ada ‘sesuatu’ yang mereka aturkan untuknya, biasalah namanya pun ‘kejutan’ Hari Jadi.

“Saya tak tahu yang mereka ada menyediakan ‘slide show’ yang mengumpul gambar kenangan saya sejak kecil hingga sekarang, lepas tu ada ‘game’ seperti Limbo Rock dan yang mereka aturkan.

“Saya suka semuanya kerana meriah sangat. Lagipun, ini kali pertama saya boleh mengenali peminat dengan lebih rapat dan rasa lebih dekat dengan mereka,” ujarnya mengenai kelab peminat yang telah mengumpul lebih 2,000 peminat itu.

Stacy berkata dia mendapat banyak hadiah seperti baju, anak patung, jam tangan Bonia dan aksesori seperti gelang.

Penonton yang hadir ke majlis Hari Jadi itu juga terhibur dengan persembahan nyanyian dan tarian lagu ‘Makhluk Tuhan Paling Seksi’ dua orang anak buahnya, Sin Chan dan Adel.

Selain itu, Stacy, abangnya, Chaq Mentor dan rakan seperjuangannya yang lain seperti Diddy AF, Thye Mentor, Hyrul Mentor dan Naizle turut menghiburkan tetamu yang hadir.

Terharu dengan sokongan peminat

Stacy berkata dia terharu dengan setiap sokongan peminat yang tidak putus-putus dalam menaikkan kerjayanya.

Menurut Stacy, disebabkan peminat dia telah berjaya menggondol Anugerah Popstar di Anugerah Shout! dan hampir memenangi gelaran Artis Malaysia Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2009.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu yang saya hanya kalah satu mata dengan Datuk Siti Nurhaliza untuk menang anugerah Artis Malaysia paling popular tapi nak buat macamana dah tiada rezeki.

“Tak mengapa, saya bersyukur sangat kerana telah menang Anugerah Shout!,” beritahunya dalam nada ceria.

‘FFM bukan ‘berhantu’ untuk saya’

Apabila mendapat kepercayaan kali kedua walaupun pernah melakukan kesilapan di pentas FFM ke-21 di Putrajaya tahun lalu, Stacy menganggap majlis anugerah itu memberikan banyak hikmah dan pengajaran kepadanya.

“FFM bukan ‘berhantu’ untuk saya kerana saya tetap dipanggil untuk melakukan persembahan.

“Sejak dari hari itu, selalu bertekad untuk berusaha mencari idea yang baru bagi mempelbagaikan persembahan kerana dulu saya fikir asal dapat nyanyi sahaja tanpa fikir untuk berusaha lebih.

“Saya juga meyakinkan diri yang saya boleh buat dengan menggunakan psikologi.

“Walaupun penat, tetapi sekarang saya rasa berbaloi. Saya rasa puas hati apabila dapat buat sesuatu persembahan itu kerana rasa seperti ‘Superman’ pula,” kata Stacy.

Tambahnya, “Saya rasa bangga apabila dapat fikir sesuatu idea yang baru dan hati saya sentiasa kuat untuk mencari idea yang segar.

“Saya akan memantau dan membuat kajian tentang persembahan orang dulu dan sekarang di You Tube dan gabungkan idea itu selepas berbincang dengan abang saya, Chaq.”

Stacy telah banyak melakukan persembahan yang mantap dan bertenaga seperti di Anugerah Planet Muzik 2009 dan Kemuncak Anak Wayang 2009.

Dalam perkembangan lain, Stacy telah menyiapkan klip video lagu ‘Pakai Buang’ dan bakal merakamkan single terbaru dari KRU.

Artikel Lain