suria

Noniswara-Rosman cepatkan tarikh kahwin nak elak umpatan orang

Pasangan Datuk Rosman dan Datin Noniswara telah selamat diijabkabul baru-baru ini
Pasangan Datuk Rosman dan Datin Noniswara telah selamat diijabkabul baru-baru ini
Pasangan Datuk Rosman dan Datin Noniswara telah selamat diijabkabul baru-baru ini

SINAR kebahagiaan jelas terpancar di wajah kedua-dua pasangan pengantin baru Datin Noniswara dan Datuk Rosman yang telah selamat diijabkabulkan pada 31 Julai lalu di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Namun tidak dinafikan Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, mengakui perkahwinannya ini tidak dirancang dengan baik malah keputusan dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa.

"Nonis agak tertekan dengan segala persiapan, kalau boleh nak majlis perkahwinan kami berjalan lancar.

"Kalau diikut pada perancangan awal, tarikh perkahwinan kami sebenarnya adalah lambat lagi. Kami rancang nak kahwin lepas raya.

"Tapi bila difikir semula, Nonis pun ketika itu dalam keadaan yang tergesa-gesa jadi buat keputusan pun tanpa dirancang dan kami pilih untuk percepatkan perkahwinan kami," kata aktres jelita ini.

Ketika ditanya mengapa Nonis memilih untuk percepatkan tarikh perkahwinan mereka, Nonis mengatakan dia bersama suami hanya ingin mempercepatkan perkara yang baik dari menjadi bahan umpatan orang lain.

"Nonis nak semuanya selesai cepat, orang ramai tertanya-tanya status kami jadi kami tak mahu menjadi fitnah orang dan kami fikir baik kami kahwin cepat," katanya lagi.

Bagi suami Nonis, Datuk Rosman Ridzwan, Nonis menjadi pilihan hatinya berdasarkan empat faktor yang dilihat iaitu sifat keibuan yang dimiliki Nonis, lemah lembut, kejelitaan Nonis dan yang paling penting jodoh yang telah ditentukan Tuhan.

"Bagi saya apa yang penting adalah jodoh itu sendiri. Saya tidak merancang apa-apa, semua ini ketentuan Tuhan.

"Kalau kita nak cari jodoh sendiri memang susah, tapi bila Tuhan yang tentukan dan susunkan perjalanan hidup kita, Alhamdulillah semuanya baik," kata Pengerusi U Mobile ini.

Namun berlainan bagi Nonis, perkahwinan keduanya ini adalah berlainan dari perkahwinannya kali pertama dulu kerana ketika itu Nonis masih muda dan tidak berfikiran matang dalam perkara rumah tangga.

"Waktu tu Nonis masih muda, berlainan sangat. Sekarang Nonis dah matang dan akan lebih berhati-hati.

"Nonis nak yang terbaik dalam hubungan suami isteri kali ini. Dulu Nonis memang dah terdedah dengan kehidupan korporat ini, selalu dijemput ke function besar-besar.

"Sekarang ni bila dah berumah tangga Nonis akan lebih berhati-hati dalam pergaulan untuk jaga maruah suami," katanya.

Ditanya mengenai bulan madu, pasangan ini menyatakan hasrat ingin ke Eropah namun masalah waktu kerja kedua-dua pasangan ini membuatkan mereka menangguhkan dahulu hasrat mereka.

"Selepas raya baru kami akan rancang perkahwinan kami sebab kami masih belum buat 'adjustment' atas jadual kami lagi," kata Nonis.

Pasangan ini juga tidak lari dari keinginan untuk memiliki cahaya mata meskipun Nonis sudah memiliki tiga orang anak dan Rosman pula sudah mempunyai anak seramai lima orang hasil perkahwinan dengan dua orang isteri.

"Berkenaan cahaya mata kami berserah pada rezeki tuhan, Insya-Allah kalau ada rezeki dapat seorang anak pun jadilah, kalau tak ada rezeki kami terima juga," kata kata pelakon drama bersiri ‘Dendam’ ini.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Rujuk-Nikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Abdul Malik Saleh dan adik kepada Noniswara, Bani Uzair Baharuddin menjadi wali kepada kakaknya.

Majlis resepsi pula akan berlangsung 1 Ogos pada jam 8 malam di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Artikel Lain