suria

Kakak Tua: Air sama air menjadi satu, sampah ketepi juga...

Isu video lucah Farawahida heboh diperkatakan selepas dia buat laporan polis. foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Isu video lucah Farawahida heboh diperkatakan selepas dia buat laporan polis. foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Isu video lucah Farawahida heboh diperkatakan selepas dia buat laporan polis. foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN

GENTASNYA segala perlakuan yang dulu dianggap menjengkelkan tetapi di akhir zaman ini sudah boleh diterima. Bila foto lucah dianggap milik peribadi dan laporan polis mempertahankan maruah pula tidak lebih dari satu hak ekslusif untuk menutup kelemahan diri.

Ketika membaca rententan detik peristiwa Farawahida-Julfekar. Amelina-Ravi, foto 'bogel' Mawi, isu londeh seluar anggota band Indonesia memprotes bom di Jakarta dan banyak lagi, terdetik di hati tua ini siapakah di antara mereka yang berkata benar dan apakah cerita di sebalik cerita.

Namun bukan hak kita untuk menghukum mereka. Yang penting semua peristiwa di depan mata cukup untuk memberi pengajaran bagi kita.

Bila usia semakin meningkat, nilai berita yang dituntut lebih dari yang dapat dibaca oleh mata kasar. Jika dapat, sub teks dan hikmah kenapa dan mengapa ingin terus dicari.

Terlintas juga.... agak-agaknya berapa banyak ketepatan fakta yang tertera di dalam artikel yang dihidangkan. Dan Kakak Tua percaya, seberani mana pun pihak media, masih ada lagi sifat keperimanusiaan untuk tidak terus mendedahkan keburukan secara keseluruhan.

Namun, lidah manusia itu senantiasa tidak bertulang justeru akan ada suara sumbang yang akan terus mempersalahkan media dan akan dilabel 'jahat' bila artikel yang dikeluarkan tidak senada dengan apa yang mereka inginkan.

Walaupun sekadar menulis untuk memberi iktibar dan pengajaran, bukan semua yang dapat menerima.

Ada saja hati yang tidak sedap mula persoalkan motif. Mencelah pula pihak bijak pandai lagi bistari, seolah dapat menyelam hati manusia dan terus membuat tafsiran nawaitu artikel tersiar. "Tentu saja tersirat niat ..." kata mereka.

Tapi Kakak Tua percaya kebenaran akan pasti datang seperti pantulan cermin dan semua prasangka dan persepsi buruk pihak-pihak tertentu ini akan dipandang sepi.

Sememangnya sensitiviti itu amat sukar diukur. Apa yang dianggap sensitif oleh satu pihak, tidak pula dianggap sedemikian oleh pihak lain. Kehidupan 'bermasyarakat' menuntut kita bersabar, bertoleransi dan berkompromi.

Walaupun begitu, seandai kita ni jenis yang mudah terasa dan mudah sensitif sekalipun, salah laku dan kemungkaran tidak boleh dianggap mudah.

Dan menuduh orang yang tidak sealiran dengan puak yang berjiwa sensitif sebagai kolot dan ketinggalan zaman adalah tidak tepat.

Manusia bisa terkhilaf, kalau tidak masakan 'buah amra disangka kedondong' dan sukar sekali menyatukan orang yang berbeza pendapat tidak ubah seperti hendak kepal pasir kering sampai bila pun tidak mungkin.

Kakak Tua rasa kagum bila membaca sepotong mesej "Induk semang" di laman Twitter "Lets move on..." (maksudnya kurang lebih lupakan saja dan teruskan kehidupan). Pesanan itu ditulis oleh seorang penulis tersohor berbangsa Cina dan beragama Kristian yang terpanggil untuk mengulas tentang perselisihan pendapat tentang satu isu akhir-akhir ini.

Banyak kebenaran yang tersemat dalam pesanan itu. Walaupun datang dari orang yang bukan seagama, kemuliaan pesanan itu cukup besar ertinya bagi mereka yang mahu mendengar.

Mudahnya kita memulakan sengketa sedangkan hidup ini begitu singkat sekali. Dan bila terfikir, nyawa ini sekilas 'kelipan mata' mengapa masih mahu bersengketa dan menyemat kebencian. Tidak ada siapa yang sempurna dan tiada jiwa yang kekal.

Siapa yang benar dan siapa yang salah bukan kita yang layak menghukumnya. Dan dalam keghairahan menegakkan prinsip dan 'kebenaran' kita menghina pula pihak yang satu lagi.

'One man's meat is another man's poison'....jadi tidak perlulah sampai bermasam-masam muka, hina menghina dan saling menjatuhkan hanya sekadar satu perbezaan pendapat. Sebenarnya, perbezaan pendapat itu adalah satu hikmah. Telinga saja pura-pura mendengar tapi hati tertutup tidak guna juga.

Sikap yang ditonjolkan pula adalah cermin peribadi kita. Kalau asyik bertelingkah saja, sampai bila pun jiwa kita tidak akan aman.

KAKAK TUA: Selalunya bila bahaya datang, sengketa pun habis!

Artikel Lain