suria

Paparan istimewa "Pewarisan Yasmin Ahmad' di Majalah 3 Ahad ini

MAJALAH 3 Ahad ini tentu sekali akan dinanti-nantikan oleh peminat setia Allahyarhamah Yasmin Ahmad dengan paparan "Pewarisan Yasmin Ahmad."

Sebagai memperingati hasil kerja Yasmin Ahmad, minggu ini Majalah 3 akan mempaparkan satu jam paparan istimewa membabitkan hasil kerja dan karya seperti iklan dan filem di bawah arahannya.

Perginya pembikin filem tulen. Yasmin Ahmad, pengarah tersohor berusia 51 tahun, yang meninggal dunia pada Sabtu 25 Julai jam 11.25 malam, akan tetap diingati, sebagai insan yang sangat kreatif dalam menghasilkan iklan iklan televisyen yang cukup menggamit perasaan serta menghasilkan filem-filem kontemporari.

Majalah 3 turut berjumpa ahli keluarga Yasmin dan menyelami perasaan mereka kehilangan Yasmin yang begitu rapat dengan ibunya, Enom Yon dan kakaknya Datin Orked Ahmad.

Penggambaran juga dijalankan di pejabatnya, Leo Burnett. Program ini turut mendekati beberapa rakan-rakan rapatnya di pejabat dan turut merakamkan di biliknya yang penuh pelbagai cenderamata dan anugerah dimenangi atas kreativitinya,

Majalah 3 juga menemubual beberapa rakan-rakan rapat dalam industri yang diceburi seperti Fatimah Abu Bakar, Othman Hafsham, Azean Idrawaty, Fuad Onah dan Datuk Seri Farid Redzuan dan ramai lagi yang benar-benar rasa kehilangan sahabat yang mempunyai bakat yang luar biasa.

Turut ditemuramah Dato Seri Tony Fernandez, wakil Petronas yang sering menggunakan khidmat Yasmin Ahmad untuk menghasilkan iklan sempena Hari Raya mahupun Kemerdekaan.

Paparan "Pewarisan Yasmin Ahmad", mendekatkan penonton kepada seorang pembikin filem tanaha air yang tulen kerana baginya filem atau iklan satu medium untuk berkongsi idea, cerita dan pengalaman tanpa mengira bangsa dan agama.

Artikel Lain