suria

Noryn, Atilia alunkan jazz di Istana Budaya

Atilia dan Noryn Aziz bakal adakan konsert sulung di Istana Budaya pada 30 dan 31 Julai ini - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI.
Atilia dan Noryn Aziz bakal adakan konsert sulung di Istana Budaya pada 30 dan 31 Julai ini - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI.
Atilia dan Noryn Aziz bakal adakan konsert sulung di Istana Budaya pada 30 dan 31 Julai ini - foto THE STAR oleh RAYMOND OOI.

BUKAN semua golongan mampu menerima irama jazz, apatah lagi jalur muzik ini sering dikaitkan sebagai muzik 'urban'. Malah, bagi penyanyi yang memperjuangkan genre ini sendiri, iaitu Atilia dan Noryn Aziz, mereka sememangnya tidak menafikan tentang perkara itu.

Namun, minat mendalam terhadap genre jazz ini tidak pernah luntur di dalam diri dua penyanyi jelita ini walaupun peminat-peminat mereka agak 'terhad'. Bagi Atilia mahupun Noryn sendiri, mereka yakin perjuangan mereka di dalam industri ini tetap mempunyai tempat tersendiri.

Kedua-duanya mempunyai pengikut tersendiri, malah Noryn dan Atilia juga sering mengadakan persembahan bersama di kelab-kelab. Namun, merasakan irama jazz mampu dibawa ke tahap yang lebih tinggi di negara ini, Atilia akhirnya mencetuskan ilham yang cukup menarik.

Setelah perbincangan dibuat, akhirnya Atilia dan Noryn bakal mengadakan persembahan istimewa berjudul Malam Nada Biru, yang akan berlangsung selama dua malam berturut-turut iaitu bermula 30 Julai ini di Lambang Sari, Istana Budaya (IB).

Konsert berdurasi dua jam dan menampilkan konsep yang cukup 'intimasi' itu bakal menyaksikan dua penyanyi ini beraksi selama kira-kira 45 minit setiap seorang dengan diiringi oleh band pemuzik, Mujik Majik.

"Ini adalah konsert sulung buat saya dan Noryn. Dan jika sebelum ini kami sering mengadakan persembahan bersama di kelab, tetapi kali ini senarionya berbeza kerana lokasinya lebih besar yang mana Lambang Sari boleh memuatkan sekitar 200 penonton.

"Walaupun mungkin idea untuk adakan konsert ini datang daripada saya, tetapi apa yang boleh saya katakan, seluruh 'team' bekerjasama untuk merealisasikan hasrat ini. Saya dan Noryn sendiri sering bercakap tentang perancangan seperti ini. Malah, saya rasa kami cukup 'kuat' jika lakukan persembahan bersama.

"Projek ini adalah antara perancangan bersama kami untuk jadikan ia sebagai persembahan bersiri kelak.

"Apa yang pasti, saya dan Noryn akan menyanyikan lagu-lagu kami sendiri iaitu sebanyak tujuh lagu setiap seorang dan juga kami akan berduet bersama. Kami akan membuat persembahan berdasarkan interpretasi jazz kami," kata Atilia yang ditemui pada sidang media sempena konsert itu, baru-baru ini.

Konsert Malam Nada Biru itu mendapat tajaan utama dari Mujik Productions, Bsync Productions dan On & On Productions serta beberapa tajaan pihak lain seperti Yamaha dan Eclipse.

Noryn juga turut melahirkan rasa terujanya diberi peluang untuk 'membawa' muzik jazz di IB.

"Bagi saya, konsert ini sedikit-sebanyak merupakan satu usaha untuk tunjukkan kepada masyarakat bahawa irama jazz juga mampu dibawa oleh penyanyi tempatan. Pada dua malam itu nanti, ia akan menampilkan 100 peratus muzik dan tiada lagu 'cover version' akan disampaikan.

"Sebelum ini, saya sering bawakan lagu 'cover version' pada persembahan yang saya lakukan, tetapi saya rasa kali ini, saya ingin bawakan lagu-lagu sendiri kerana saya tahu yang akan datang pada konsert itu nanti adalah penggemar muzik jazz," kata pelantun lagu Alam Maya ini.

Malah, Atilia turut menambah, konsert tersebut adalah platform yang baik untuk memperkenalkan lagu masing-masing.

"Inilah masanya kami boleh nyanyikan lagu-lagu kami. Selalunya, kami perlu memenuhi kehendak penganjur lagu yang macam mana mereka ingin kami sampaikan.

"Lagipun, lagu kami jarang sangat dimainkan di radio, jadi menerusi konsert ini, dapatlah juga untuk kami mempromosikan lagu-lagu kami.

"Apa yang pasti, ibu saya juga amat bangga dengan konsert ini dan saya yakin, dia akan datang pada kedua-dua malam tersebut untuk beri sokongan," tutur anak kepada penyanyi Salamiah Hassan ini.

Ditanya tentang sambutan terhadap jualan tiket konsert itu, kata Atilia, ketika ini, respon yang diterima amat memberangsangkan.

"Dulu, ramai sebenarnya yang beranggapan muzik jazz adalah muzik orang kaya. Tetapi saya lihat sekarang, mentaliti masyarakat sudah lebih terbuka dan ramai juga yang sudah boleh menerima muzik ini.

"Malah, kami amat gembira bila mendapat tahu jualan tiket mendapat sambutan yang amat menggalakkan," tutur penyanyi berusia 34 tahun ini.

Ditanya tentang lokasi konsert ini yang hanya dibuat di halaman IB iaitu Lambang Sari dan bukannya di dewan utama IB, Panggung Sari, kata Atilia, lokasi itu dipilih untuk disesuaikan dengan konsep konsert mereka yang ingin dilihat 'intim' bersama peminat-peminat.

"Ketika saya menyaksikan persembahan Butterfingers di Lambang Sari tidak lama dulu, saya akui amat tertarik dengan lokasinya. Ia mempunyai 'intimate layout' yang memang sesuai dengan konsep yang kami mahukan.

"Lagipun, ini adalah konsert pertama kami. Jadi, lebih sesuai di buat dalam skala yang kecil sedikit. Tetapi, kami tetap mempunyai impian untuk adakan konsert di Panggung Sari jika berpeluang kelak," tutur penyanyi yang popular dengan lagu Sangkar ini.

Menariknya, Malam Nada Biru yang diterjemahkan dari perkataan Inggeris 'Blue Note Night' yang sering dikaitkan dengan persembahan jazz di luar negara, akan turut dirakamkan dalam bentuk DVD.

"Konsert itu nanti akan dirakamkan oleh PRS Films yang pernah menghasilkan video muzik Sangkar dulu. Mereka adalah produksi yang cukup kreatif. Dan kami merancang untuk jual DVD itu nanti kepada syarikat penyiaran," kata Atilia.

Tiket berharga RM80 untuk menyaksikan Noryn dan Atilia di Malam Nada Biru boleh didapati dengan menghubungi talian 03-41498600 atau secara online di www.ticket2u.biz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain