suria

Yasmin akan dikenang dengan karya berkualiti

YASMIN Ahmad, yang meninggal dunia malam semalam, akan dikenang kerana setiap sentuhan karyanya, baik dalam filem mahupun iklan, begitu sinonim dengan garapan yang penuh dengan elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang disampaikan cukup bersahaja berlatarbelakangkan masyarakat majmuk di negara ini.

Pengarah filem dan iklan terkenal itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara di sini kira-kira 11.25 malam semalam selepas menjalani pembedahan pada Khamis lepas setelah diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya-karya kreatifnya.

Isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehinggalah memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett kini.

Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.

Tidak keterlaluan sekiranya ramai yang akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri September ini.

Sering dipuji sebagai pengarah iklan, nama Yasmin bagaimanapun cukup kontroversi di arena pefileman tanah air berdasarkan keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.

Malah tidak sah jika filem nukilan Yasmin tidak dikritik kerana sejak filem pertamanya Rabun pada 2003, filem-filem lain arahan Yasmin iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), turut menerima nasib sama.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sudut berbeza sehingga beberapa filem beliau termasuk Sepet diangkat untuk memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Asli Terbaik pada Pesta Filem Malaysia 2005.

Filem Sepet juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.

Filem Gubra pula memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakonlayar Terbaik di Pesta Filem Malaysia 2006.

Filem Muhsin mencatat kejayaan dengan mengungguli Generasi kplus Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.

Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.

Selain memenangi anugerah antarabangsa, filem arahan Yasmin banyak menerima pujian dan kritikan daripada masyarakat serta mendapat liputan media tempatan dan luar negara yang meluas.

Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di Festival Filem Cannes yang memberi peluang kepada Yasmin untuk terus menghasilkan filem yang dikatakan mempunyai identiti tersendiri. BERNAMA

Yasmin Ahmad...1958 - 2009

BERIKUT adalah profil Yasmin dan pencapaian yang pernah diraihnya selama ini.

Nama : Yasmin Ahmad

Jawatan: Penulis/Pengarah Filem/Penerbit

Tempat Lahir: Bukit Treh, Muar, Johor

Tarikh Lahir: 1958

Meninggal Dunia : 26 Julai 2009

Status Perkahwinan: Berkahwin

Suami: Abdullah Tan Yew Leong (berkahwin Januari 2003)

AKADEMIK

Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

PROFIL KARIER

Profesion: * Penulis, Ogilvy & Mather * Pengarah Eksekutif Kreatif, Leo Burnett

2003-2009 Pengarah Filem Filem: 2003 Rabun 2005 Sepet 2006 Gubra 2007 Mukhsin

Iklan: * Suratkhabar Lama * Makan Bola (sempena Bolasepak Piala Dunia) * Forgiving (iklan terbitan Petronas)

Berlakon Dalam Drama: 2003 Min 2006 Tai yang yue (Rain Dogs)

Penerbit: 2005 Raining Amber

ANUGERAH

* Biasiswa, Kementerian Pendidikan * Juara, Talentime Ested Fodd, Wales

PENCAPAIAN LAIN

1975 Naib Johan, Bintang RTM '75

2003 Filem ASEAN Terbaik (Rabun), Anugerah Video Malaysia ke-8, Kuala Lumpur

2004 Filem Reka Bentuk Terbaik ASEAN (Sepet), Anugerah Video Malaysia ke-9

2005 Filem Terbaik (Sepet), Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil, Perancis

2005 Cerita Asal Terbaik (Sepet), Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18)

2005 Filem Terbaik (Sepet), Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18)

2005 Poster Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM)

2005 Filem Asia Terbaik (Sepet), Festival Filem Antarabangsa Tokyo

2005 Filem Terbaik (Sepet), Global Chinese Golden Arts, Genting Highlands

2006 Filem Terbaik (Gubra), Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)

2006 Pelakon Wanita Terbaik (Gubra),Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)

2006 Lakon Layar Terbaik (Gubra), Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)

2006 Poster Terbaik (Gubra), Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)

2007 Pingat perak (Mukhsin), Netpac Festival, Jojagkarta

2007 Anugerah Filem Terbaik Kategori Generasi Baru (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57

2007 Tempat kedua Anugerah Juri Kanak-Kanak (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57

2007 Filem Cereka Terbaik Asia Tenggara (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Cinemanila, Filipina

PENERBITAN

Artikel: 2005-2006 Menulis kolum di New Straits Times Press

LAIN-LAIN MAKLUMAT

Keluarga; Bapa - Ahmad Hashim Ibu - Inom Yon

Filem yang ditayangkan dan menyertai Festival Filem Antarabangsa;

2003 Rabun, Festival Filem Antarabangsa, Singapura

2003 Rabun, Festival Filem Asia Cinemaya, New Delhi

2003 Rabun, Festival Filem Torino, Itali

2005 Sepet, Festival Filem San Francisco

2005 Sepet, Festival Filem Asia, Barcelona

2005 Sepet, Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil, Perancis

2007 Mukhsin, Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57

2006 Ahli panel Debat Budaya 1 bertajuk Filem Melayu, Filem Malaysia... Ke Arah Mana Sinema Malaysia

2006 Juri, Pertandingan Filem Pendek BMW (BMW Shortie's)

2007 Juri, Festival Filem Thessaloniki ke-48, Greece

2008 Juri, Festival Filem Antarabangsa Berlin (Berlinate) ke-58

BLOG RASMI YASMIN AHMAD

http://yasminthefilmmaker.blogspot.com/

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain